BlogList Malaysia

22 December 2009

“Marah anak sindir menantu…”

Salam Pencerahan!

“Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah perlu disebarkan begitu saja walaupun ianya benar, benar tapi jahat…kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul,” jelas Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang


1. Saya yakin, untuk memahami kenyataan Hadi tentang fitnah bohong dan fitnah benar yang disampaikan dalam Konvensyen Bloggers PAS Ahad lalu memerlukan tahapan firasat yang mendalam dan meninggi.

2. Dalam firasat saya, kenyataan Hadi itu ditujukan kepada Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat – dilihat tidak sampai hati menasihatkan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman supaya meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), walaupun perlantikan tersebut sesuatu yang tidak salah.

Disebabkan perlantikan itu, banyak pihak mula mempunyai pandangan yang serong tentang kezuhudan Nik Aziz sehingga sekarang.

3. Sebelum ini pun, Hadi pernah mengutus firasat yang lunak kepada Nik Aziz sebagaimana yang dilaporkan Harakahdaily sebelum ini.

“…Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas. Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru…” [1 Dis.'09]

4. Pada zaman Nubuwwah, kebanyakan Sahabat melahirkan rasa gembira apabila mendengar Rasulullah s.a.w menyampaikan wahyu Allah yang bermaksud, “…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku telah redhakan Islam menjadi agamamu…“ [3:5].

5. Hanya Abu Bakar as-Siddiq atau nama sebenarnya Abdullah bin Qohafah segera bergegas ke rumah dalam perasaan berkecamuk bercampur hiba.

Sikap aneh Abu Bakar as-Siddiq menggamit pelbagai tanda tanya dalam benak para Sahabat r.a.hum yang lain.

6. “Sesungguhnya ayat ini menandakan bahawa usia Rasulullah s.a.w tidak panjang…tidak kekal suatu yang sempurna kecuali akan datang suatu yang kekurangan…” Mendengar firasat as-Siddiq, para Sahabat yang lain mulai membekam duka.

7. Pada zaman Khalifah Umar bin Khattab aka Abu Faruq (Bapa Pemisah antara Haq dan Batil), seorang perempuan muda datang mengadu, “Aku mempunyai seorang suami yang baik, malamnya bertahajud dan siangnya berpuasa.”

Umar terus memuji Si Suami itu manakala muka perempuan itu terus berubah dan pergi.

8. Mendengar pujian Umar itu, Kaab bin Thur yang dianugerahkan firasat yang mendalam menegur, “Wahai Umar, apakah kamu tidak faham perempuan muda itu sedang menceritakan masalah peribadinya (iaitu sudah lama tidak disetubuh oleh suaminya).”

Disebabkan itu, Umar mengarahkan Kaab menyelesaikan kes perempuan muda itu. Kaab berijtihad, “Si Suami itu diharamkan berpuasa dan bertahajud pada hari keempat.”

Umar menjadi hairan dan meminta Kaab menjelaskan sandaran ijtihad itu.

“Sesungguhnya aku berpegang dengan firman Allah, ‘Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi (sama ada) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut dia tidak berlaku adil, maka (cukup) kawinilah seorang sahaja (isteri).‘ [4:3] seperti seorang lelaki dibenarkan beristeri empat orang, maka hari keempat diumpakan isteri malam bersama isterinya itu.”

Mendengar firasat Kaab, Umar berkata, “Sesungguhnya aku lebih mengagumi pandangan kedua, walaupun aku sudahpun mengagumi firasatmu yang pertama…”

9. Umar juga sebenarnya merupakan antara Sahabat Rasulullah s.a.w yang dianugerahkan firasat.

Sebab itu, beliau boleh menyelami firasat Kaab bin Thur. Lihat sejarah:

(i)Umar menegur isteri-isteri yang memboikot Rasulullah sehingga turun wahyu (66:5);

(ii)Umar mencadangkan isteri Rasulullah berpurdah sehingga turun wahyu (33:53);

(iii)Umar mencadang makam (tapak kaki) Nabi Ibrahim a.s dijadikan sebagai tempat solat sehingga turunnya wahyu (2:125); dan

(iv)peristiwa menghukum tawanan Perang Badar al-Kubra; sehingga turun wahyu (8:12).

10. Kalau firasat saya tentang kenyataan Hadi tidak salah, saya yakin itulah yang disebut dalam rumpun melayu sebagai PUKUL ANAK SINDIR MENANTU.

Saya berkongsi firasat ini kepada seorang Bloggers di Restoran Haslam, beliau katakan bahawa rakyat tidak faham bahasa-bahasa firasat ini.

Sebab itu, banyak mediawan dan Bloggers menghentam Tok Guru Presiden PAS sehingga sekarang.

“Kalau Hadi boleh berkata: fitnah itu ada bohong (dan) ada benar; tidak salah kan aku mengatakan babi itu ada yang halal dan ada yang haram…” jelas Bloggers tersebut.

Ada sesiapa nak bantu saya menjawab soalan ini, sebab petang esok saya ada janji temu lagi dengan Bloggers tersebut di Restoran Haslam.

“KEFAHAMAN MENGASAK PERUBAHAN”

Zainulfaqar Yaacob

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas