BlogList Malaysia

09 November 2009

Seminar Memperkasakan Parti - Beberapa Mulahazah

SATU - JANGAN JADI SOKONG BAWA REBAH

Kalau diibaratkan gulai, sama sahaja dengan gulai yang pernah dimakan sebelum ini. Mungkin yang menjadikan gulai kali ini istimewa ialah tambahan dua ramuan lain. Demikian seminar memperkasakan parti di Taman Melewar, Ahad, 7 November. Kalau tiada Aziz Bari dan Abu Hasan Hasbullah, tiada yang baru kepada seminar itu kecuali mengulangi komitmen-komitmen lama yang memang telah diketahui umum.

Sebahagian pembahas dikuasai emosi termasuk seorang pembahas dari kalangan AJK PAS Pusat. Istilah ‘tidak mahu tengok muka’, rasanya kurang manis diungkapkan di hadapan tetamu seperti Aziz Bari. Kita menjemputnya, kemudian kita ‘tidak mahu tengok muka’nya.

Benar, Presiden perlu dibela apabila ada usaha mencemarkan wibawanya, tetapi rasanya bukan begitu. Bela dengan hujah dan fakta, bukan dengan serangan melulu. Kalau Aziz pernah menyerang Presiden dengan serangan yang ‘kita sukar menerimanya’, itu terpulang kepadanya. Dibimbangi, bukan serangan itu yang menjejaskan Presiden, tetapi pembelaan sembrono yang akan menjatuhkan reputasinya.

Kata orang Melayu, ‘sokong yang membawa rebah’.

DUA - TIADA PENEGASAN BARU

Terus-terang, saya dan beberapa sahabat menyertai seminar itu dengan harapan menggunung. Harapan untuk mendengar penegasan-penegasan yang lebih meyakinkan. Bukan meyakinkan ahli PAS sahaja tetapi penyokong PAS.

Penegasan melalui ucapan dan resolusi sahaja dalam menangani isu yang selama ini menghantui PAS tidak memadai. Itu sudah berulang kali dibuat.

Apa yang saya maksudkan dengan penegasan meyakinkan ialah penegasan dalam bentuk tindakan seperti pecat, gugur, amaran dan sempamanya. Penegasan yang boleh menimbulkan kewaspadaan dan kegerunan kepada mana-mana pemimpin atau ahli yang ‘menyiram, membaja atau mengairi’ kembali isu yang menjadi agenda seminar itu.

Saya ingin mendengar penegasan itu dalam ucapan penutup Presiden, tetapi saya pulang dengan hampa.

TIGA – PENYERTAAN TUAN IBRAHIM DALAM FORUM ADALAH BIAS

Penganjur mungkin berpendapat Tuan Ibrahim perlu dalam forum bersama dua jemputan untuk mengimbangi pandangan mereka yang agak kritikal dengan PAS. Bagi saya itu tidak perlu kerana banyak pembahas yang bakal mengimbangi pandangan kedua-dua penalis itu.

Tuan Ibrahim adalah Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Keberadaannya di situ boleh mengganggu tugasnya. Bayangkan kalau ada ketika itu pembahas yang mempersoalkan orang yang bakal disiasat, apa sikapnya?

Samada dia mengulasnya atau tidak, persepsi sebahagian audiens terhadapnya bakal serong.

EMPAT - MASIH DALAM ZON SELESA

Kecuali PAS tidak mahu menyertai pilihanraya, PAS bukan sekadar pengurus ahlinya sahaja tetapi penyokong dan pengundinya. Justeru, hasilan seminar itu perlu melegakan penyokong dan pengundi juga.

Sebahagian besar peserta seminar mungkin lega dengan resolusi seminar itu tetapi bagaimana dengan yang bukan ahli?

PAS ada masalah dengan persepsi ahlinya terhadap beberapa pimpinan tertentu. Namun, apa pun persepsi ahli, itu kurang membimbangkan berbanding persepsi penyokong dan pengundi. Kita mungkin selesa dengan kelegaan ahli kita, tetapi berjayakah kita melegakan pengundi dan penyokong? Pada hal, PAS tidak mampu memenangi pilihanraya kalau sekadar bergantung kepada ahlinya sahaja.

Bagi saya resolusi dan penegasan seminar itu tidak mampu mententeramkan pengundi dan penyokong. Apa yang boleh mententeramkan mereka? Sudah tentu satu bentuk ‘tindakan’ atau ‘action’ yang mereka nampak dan mampu mengembalikan keyakinan mereka kepada PAS dalam isu yang sedang dihadapi ini.

Berdasarkan kesudahan seminar, nampaknya data-data yang dikemukakan oleh Abu Hasan tidak mengeluarkan PAS daripada zon selesa. Kalau masih di dalam zon itu, mampukah prestasi kita sehebat sekarang dalam PRU 13 akan datang?

LIMA - SAKIT TELINGA

Saya duduk berhampiran kumpulan peserta dari sebuah negeri. Saya mengenali mereka dan begitu pula sebaliknya. Ada yang bekas wakil rakyat dan sekarang memegang jawatan kanan dalam organisasi PAS negeri berkaitan.

Saya sakit telinga (dan sakit hati juga), semasa Aziz Bari dan Abu Hasan berhujah, mereka bercakap sesama sendiri dan sekali-sekali menyanggah hujah Aziz Bari dan Abu Hasan. Kadang-kala mereka iringi hujah penalis itu dengan ketawa. Mereka berhujah menyokong Presiden di tempat duduk masing-masing. Tumpuan saya terganggu, tambahan pula saya berusaha untuk mencatat semua hujah Abu Hasan.

Di penghujung pembentangan Abu Hasan barulah mereka agak diam apabila mendapati hujah-hujah Abu Hasan semakin mantap. Selepas makan tengahari, mereka tidak lagi duduk di tempat asal mereka.

Kalau beginilah mentaliti (dan akhlak) sebahagian pimpinan PAS (walau pun pimpinan negeri) apabila berhadapan dengan pangan yang mereka tidak persetujui, saya fikir PAS negeri itu tidak akan kemana. Mereka perlu tahu etika (sebenarnya adab) ketika berada di dalam majlis.

Kalau mereka sendiri tidak tahu untuk beradab dengan orang lain, bagaimana mereka boleh berharap orang lain beradab dengan mereka?

ENAM - SEKALUNG TAHNIAH

Apa pun, sekalung tahniah untuk semua pimpinan PAS Pusat yang hadir dan mendengar singgungan-singgungan yang kadang-kadang menusuk hati itu. Ada pimpinan PAS Pusat yang tidak hadir, mungkin uzur.

Janji Presiden untuk mengambil tindakan berkesan ke atas resolusi seminar, mudah-mudahan mampu mengembalikan keyakinan penyokong dan pengundi kepada PAS. Masyarakat menunggu dan memerhati kita.

Namun saya pulang dengan sedikit rasa ralat. Aziz Bari bukan segala-galanya, tetapi apabila dia disinggung dengan keras sepanjang seminar itu oleh sebahagian peserta, dia mungkin agak kecewa.

Katanya, dia tidak akan menulis lagi mengenai PAS mulai Isnin ini tetapi akan menulis pula mengenai MCA. Kita lihat pula apa respon orang-orang MCA terhadap Aziz Bari selepas ini.

Sekeras sebahagian orang PAS atau tidak.

Zolkharnain Abidin

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas