Kerajaan Selangor akan mendedahkan tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN sebelum ini.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahan dokumen yang kini dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan dilakukan melalui bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) akta berkenaan.
Katanya, peruntukan undang-undang itu memberi kuasa kepada menteri dan menteri besar untuk membatalkan pengkelasan "rahsia" atau "sulit" sesuatu dokumen bawah OSA.
Pendedahan tersebut bertujuan mengurangkan kejadian rasuah dan penyalahgunaan peruntukan serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kelebihan berkaitan kebebasan maklumat, jelasnya.
"Apa yang kita hendak tunjuk, kita ada projek yang ditinggalkan. Rakyat tidak tahu siapa yang terlibat, berapa nilai tanah itu dan sebagainya," katanya di luar sidang DUN selepas membentangkan belanjawan negeri hari ini.
Jelasnya, projek yang akan didedahkan itu melibatkan satu projek penghutanan semula untuk tujuan komersil dan dua lagi projek, masing-masing di Bukit Botak, Selayang dan Bukit Cerakah, Shah Alam.
"Satu berkaitan projek penghutanan semula. Satu lagi mengenai kegagalan Bukit Botak, projek perumahan untuk setinggan. Ketiga adalah laporan mengenai Bukit Cerakah," tambah Abdul Khalid.
Beliau berkata, salah satu daripada kes yang akan didedahkan itu melibatkan tanah kerajaan seluas kira-kira 2,000 ekar yang telah diberikan kepada penduduk.
"Penduduk ini membuat perjanjian dengan satu pemaju untuk membina rumah di atas tanah mereka. Pemaju berjanji membayar mereka RM360,000 untuk tiga ekar. Akhirnya mereka tidak dapat aset tersebut dan mereka kehilangan semua wang," katanya.
Beliau juga berkata, beberapa laporan mengenai projek-projek berkenaan akan dikemukakan dalam sidang DUN.
"Bila kita tahu mengenai perkara ini, kita akan dapat membincangkan dengan baik dan produktif dengan mangsa-mangsa projek ini," katanya.
Sehubungan itu juga, Khalid berkata kerajaan Selangor akan memperkenalkan satu enakmen baru berkaitan hak kebebasan maklumat yang akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang.
"Apa yang kita hendak tunjuk, kebebasan maklumat memberi lebih kelebihan untuk membuat keputusan berbanding (kerahsiaan) bawah OSA pada masa sekarang," katanya.
Jelasnya, enakmen berkenaan masih perlu dikaji sebelum dibentangkan kerana mungkin akan berhadapan tentangan daripada Peguam Negara kerana dianggap mendatangkan konflik bidang kuasa persekutuan dalam akta OSA.
"Sebab di bawah perlembagaan (negara), undang-undang persekutuan boleh melebih undang-undang negeri," jelasnya. mkini
Mencari rumah berhantu untuk dibeli
2 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment