BlogList Malaysia

14 November 2009

Ariffahmi, persepsi selalu nombor satu!

Dalam berita bertajuk "Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci," Harakahdaily hari ini melaporkan, Tok Guru tidak menyatakan mengapa beliau membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini. Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS itu menyatakan, beliau dan menantunya telah difitnah dan dikhianati (lihat juga berita Malaysiakini hari ini "Nik Aziz batal ke Mekah selepas tajaan dipertikai").

Kalau saya antara yang memfitnah dan mengkhianati Tok Guru, saya memohon maaf. Harap sangat memaafkan saya.

Tetapi, yang lebih penting dari itu, tindakan Tok Guru itu sedikit sebanyak telah berjaya membersihkan imejnya. Saya harap posting saya bertajuk "Persepsi selalu nombor satu, Tok Guru" pada 9/5/08 dahulu boleh dianggap relevan terhadap apa yang berlaku kini. Saya juga berharap sangat, tindakan Tok Guru itu dapat memperbaiki persepsi terhadapnya.

Saya tidak tuduh persepsi terhadap Tok Guru telah calar. Tetapi sekurang-kurangnya ia telah dicalar-calarkan.

Kalau benar Nordin yang taja pakej RM65,000 itu, saya tau hubungan Tok Guru dengan Din macam hubungan ayah dan anak. Sejak sebelum menjadi Menteri Besar pada 1990 lagi, saya anggap hubungan Tok Guru dengan Din sangat akrab. Tak ramai orang yang saya dengar panggil Ayah Ziz (dalam slang Kelantan la) kepada Tok Guru.

Kepada saya, Din adalah kawan saya. Dia tak pernah sakitkan hati saya.

Sebelum tahun 1990 dulu juga, saya tahu tak ramai orang berani pukul dinding rumah Tok Guru dan panggil "Ayah Ziz, Ayah Ziz" bila dia bawa orang nak jumpa Tok Guru. Selepas Tok Guru jadi Menteri Besar pun, lebih kurang begitu jugalah perangai dia.

Barangkali, sebab itulah ada orang yang panggil dia Din Tebolah. Saya pun panggil Din Tebolah (harap maklum, ejaan dan cara orang Kelantan sebut dengan slang depa tak sama). Saya mohon maaf kalau Din tak suka dipanggil begitu. Tetapi, tebolah pun, Din tak pernah sakitkan hati saya.

Tak ramai orang tau Din sanggup berhabis masa dan tenaga kepada Ayah Ziz dia dan para pemimpin PAS lain ketika dia tak kaya dulu. Saya tau. Dan, bila dia dah berniaga dan kaya, dia masih berebut berkelahi dengan orang nak jadi drebar Tok Guru. Oleh kerana dia dah jenis berhabis masa dan tenaga untuk Tok Guru dan para pemimpin PAS lain ketika dia tak kaya, saya tak heran kalau dia nak berhabis duit pulak bila dia dah kaya.

Walaupun Din baik, takkan Tok Guru tak tahu dua kelemahan Din yang saya yakin Tok Guru anggap macam anak dia sendiri. Pertama, Din orang berniaga. Walau macam ayah dengan anak sekalipun hubungan Tok Guru dengan Din, orang yang tak tau tetap melihat hubungan tersebut sebagai hubungan peniaga dengan penjawat awam.

Bila Tok Guru jadi penjawat awam, kedudukan Din sebagai peniaga boleh menjadi liabiliti jika diukur dari segi persepsi. Saya sebut sekali lagi, persepsi.

Kelemahan Din yang kedua ialah dia ramah terlajak.

Ramah terlajak pun kadang-kadang boleh mengakibatkan benda-benda yang kita tak seronok dari segi persepsi.

Ramai orang tahu, Din rajin menolong. Walaupun saya tak dak jawatan apa pun, tetapi kalau saya telefon dia dan minta seribu dua, saya berani kata gerenti dapat. Tetapi saya tak berani walaupun saya tengah sesak sangat. Saya tak berani sebab dia peramah sangat.

Saya nak sambung lagi bab persepsi ni. Kalau menantu Tok Guru betul sayang mertua dia, dia kena berundur sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Menteri Besar Kelantan Berhad (PMBK). Saya tak tuduh dia buat apa-apa kesalahan. Tetapi, tindakan itu penting untuk memperbaiki persepsi terhadap Tok Guru dan PAS.

Saya tak kenal Abdul Ariffahmi Abd Rahman. Walaupun pernah dua tiga kali terserempak dengan dia, saya tidak pernah cuba untuk mendekati dia. Nak cuba bersalam pun tidak. Tetapi, orang kata dia adalah seorang jurutera yang bertaraf jurutera professional. Saya tak tahu, itu orang kata. Tetapi, sekurang-kurangnya beliau seorang jurutera. Maknanya, dia dan keluarganya tak akan mati tak makan atau miskin macam saya kalau dia meletakkan jawatannya sebagai CEO PMBK.

Tolonglah faham, persepsi selalu nombor satu!


penarik beca

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas