|
|
Pentagon mahu mempercepatkan penyediaan bom raksasa yang direka untuk memusnahkan kubu-kubu senjata yang tersembunyi di bawah tanah dan dilindungi dengan konkrit bertetulang seberat 4.5 tan.
Bom tersebut boleh disifatkan sebagai Pelan B atau pelan alternatif untuk menangani program nuklear Iran.
Teheran baru-baru ini mendedahkan kewujudan tapak nuklearnya yang tersembunyi jauh di dalam sebuah gunung dekat kota suci Syiah, Qom.
Bom seberat 15 tan itu, dikenali sebagai 'penembus ordinans raksasa atau MOP' akan menjadi bom bukan nuklear terbesar dalam persenjataan Amerika Syarikat (AS).
MOP yang mengandungi 2.4 tan bahan letupan adalah kira-kira 10 kali lebih kuat daripada bom yang bakal digantikannya.
Pentagon sudah memberi kontrak bernilai hampir AS$52 juta (RM182 juta) untuk mempercepatkan pemasangan bom berkenaan di dalam pesawat pengebom Stealth B-2, dan pegawai menjangka senjata itu boleh dipasang seawal pertengahan tahun depan.
Pegawai Pentagon mengakui bom baru itu bertujuan untuk meletupkan tapak-tapak berkubu seperti yang digunakan oleh Iran dan Korea Utara untuk program nuklear masing-masing, tetapi mereka menafikan ada sasaran tertentu yang termasuk dalam perancangan.
"Saya tidak fikir ada sesiapa yang boleh meramalkan sasaran yang berpotensi diserang. Bom ini hanya memberikan keupayaan yang kami anggap perlu disebabkan situasi dunia yang kita hadapi sekarang," kata setiausaha akhbar Pentagon, Geoff Morrell.
Pentadbiran Presiden Barack Obama masih menghadapi kesukaran untuk menangkis tanggapan yang timbul sejak zaman Presiden George W. Bush bahawa AS sama ada merancang untuk mengebom kemudahan nuklear Iran atau akan membiarkan Israel melancarkan serangan sedemikian. - AP
0 Komen :
Post a Comment