BlogList Malaysia

16 August 2012

Sebab Sebenar Kenapa Nasharuddin Marah sangat Dengan Pas

SHAH ALAM, 16 Ogos — Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan Nasharuddin Mat Isa berhubung PAS perlu keluar Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang pelaksanaan hukum hudud adalah disebabkan rasa kecewa beliau yang gagal melihat parti Islam itu bergabung dengan Umno.

Menurut Khalid, bekas timbalan presiden PAS itu berkemungkinan mengharapkan impak yang besar daripada cadangan penggabungan PAS-Umno kerana beliau mungkin akan beroleh jawatan yang tinggi sekiranya penggabungan itu berjaya.


“Nasharuddin ini mungkin kecewa kerana PAS tidak mahu bergabung dengan Umno. Kalau penggabungan itu berjaya mungkin dia mengharapkan akan dapat menjawat jawatan tinggi, mungkin jawatan di Kabinet,” kata Khalid.

Tambah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu lagi, kenyataan Nasharuddin itu dilihat berkisar berkenaan hudud, dan beliau turut menggesa Nasha agar melihat kembali kepada kenyataan Umno yang turut menolak hudud sebelum ini.

“Dia kata PAS perlu keluar PR kerana DAP tak terima hudud, adakah Umno menerima hudud?” soal Khalid lagi.

“Nasharuddin sengaja menimbulkan isu ... dan mungkin itulah dia lihat (peluang) terlepas dan pada masa yang sama dia pun kecewa kerana dia kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden.

“Dan ini menyebabkan dia tidak seperti dulu dan dia memang nampak semakin rapat dengan pimpinan umno walaupun di parlimen,” jelas Khalid lagi.

Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am parti komponen PR itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ketika Muktamar Agung PAS tahun lepas, Nasharuddin juga gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tewas kepada Mohamad Sabu.

Nik Aziz juga sebelum ini berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Jelas Khalid lagi, keputusan sama ada nasib Nasharuddin bakal menjadi seperti Adun Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali juga tidak berasas, kerana dalam PAS, keputusan itu adalah hak individu.

“PAS bukan parti yang akan menentukan nasib sama ada nak pecat, lucut jawatan ahlinya, terpulang kepada mereka sendiri,” tambah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.

Dr Hasan Ali sebelum ini telah dipecat keanggotaan daripada PAS kerana dikatakan mempunyai matlamat yang berbeza dengan perjuangan parti.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas