BlogList Malaysia
Showing posts with label psc. Show all posts
Showing posts with label psc. Show all posts

03 April 2012

PSC cadang bubar parlimen lepas cukup 4 tahun

Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mencadangkan peruntukan undang-undang pembubaran Parlimen hanya dibuat selepas empat tahun pilihan raya umum sebelumnya.

PSC turut mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuh untuk mengawasi dan meneliti semua usaha penyemakan dan pembersihan daftar pemilih serta melaksanakan tugas-tugas lain yang dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Laporan akhir PSC yang dibentang pada persidangan Dewan Rakyat itu juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pemilih yang alamatnya diragui berdasarkan dakwaan terdapat lebih 50 pengundi di satu alamat yang sama, dalam tempoh 45 hari daripada tarikh laporan PSC dibentang.


Ini adalah untuk memberi ruang pemilih yang terlibat memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih berkenaan, kata laporan itu yang dibentang hari ini.

Mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, SPR disaran mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksana pada masa hadapan.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan agar SPR mengkaji cadangan untuk membenarkan prapendaftaran bagi warganegara yang mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih.

Laporan PSC itu mengandungi 22 syor dan cadangan yang meliputi lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan SPR dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif.

Syor-syor dan cadangan itu diperoleh PSC daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semula jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja yang dilakukan sejak jawatankuasa itu diluluskan pada Oktober tahun lepas.

Jawatankuasa itu telah mengadakan 13 mesyuarat sejak 12 Okt tahun lepas hingga 28 Mac tahun ini, selain menubuhkan lima jawatankuasa kecil yang diketuai anggota jawatankuasa PSC untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit dalam pendengaran awam yang telah diadakan.

Selain itu, sebanyak enam siri pendengaran awam juga telah diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Kota Baharu dan berakhir di Johor Baharu sejak November tahun lepas hingga Januari.

Daripada siri pendengaran awam itu, sebanyak 106 persatuan, pertubuhan berdaftar serta individu telah membentangkan pandangan dan cadangan di hadapan jawatankuasa itu.

Laporan PSC itu juga mencadangkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik untuk warganegara Malaysia di luar negara, termasuk menimbangkan kaedah pengundian awal tertakluk kepada pindaan undang-undang yang berkenaan.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Manakala bagi petugas media, SPR disyor memberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan SPR distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain.

Menyentuh mengenai persempadanan semula, PSC mengesyorkan SPR supaya menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

"Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip 'Satu Orang, Satu Undi' dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar," kata laporan itu.

Laporan itu turut meminta SPR meneliti cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti campuran atau Sistem Perwakilan Berkadaran.

"Perkara ini perlu diteliti kerana ia melibatkan dasar yang perlu dipertimbang oleh kerajaan, dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu," kata laporan itu.

Menyentuh mengenai peruntukan dana kepada parti politik, jawatankuasa itu mencadangkan kerajaan mengadakan peruntukan dana kepada parti politik mengikut jumlah kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya dalam usaha menyuburkan sistem demokrasi di negara ini, serta membendung gejala rasuah di kalangan anggota politik.

"Justeru itu, kerajaan disaran mengadakan peruntukan dana dan menggubal formula yang sesuai bagi parti politik dan calon yang menang mengikut jumlah yang sesuai dengan kerusi dan undi yang dimenangi dalam pilihan raya mengikut agihan 50 peratus untuk kerusi dimenangi dan 50 peratus untuk jumlah undi yang diperoleh," kata laporan itu.

- Bernama


Read More...

05 January 2012

Bukti SPR Memang Menipu Senarai Daftar Pemilih

PKR: SPR tolak syor PSC lantik Mimos bersih senarai pemilih

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya (PSC) supaya melantik Mimos Berhad bagi membersihkan dan mengesahkan senarai daftar pemilih.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu pertemuannya bersama beberapa pemimpin PKR dengan Pengerusi SPR Wilayah Persekutuan, Shafie Taib pagi ini.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu mendakwa perkara itu berdasarkan minit mesyuarat yang dihadiri Shafie dengan SPR pusat, tanpa dijelaskan alasan penolakan cadangan PSC itu atau syarikat yang menggantikan Mimos.


Nurul Izzah (kanan sekali) menyuarakan kebimbangannya berhubung pangkalan data pusat SPR dan sistem yang menghubungkan antara sistem Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR yang didakwanya "tidak terkini dan terdapat beberapa kelemahan yang perlu dirungkaikan".

"Kami dimaklumkan dalam pertemuan SPR yang terbaru, (mereka) memutuskan Mimos tidak akan digunapakai sebagai syarikat yang akan mengesahkan daftar pemilih.

"Ini amat membimbangkan. Cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR, supaya Mimos sebagai badan pengesahan (senarai nama pemilih)," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tersebut di pejabat SPR Wilayah Persekutuan pagi ini.

Dalam cadangan PSC, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya SPR melantik Mimor Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan

Ia membabitkan isu dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih, pengundi yang berumur 90 tahun ke atas, pemilih bukan warga tempatan, ramai pemilih dalam satu alamat, dan pengundi hilang kelayakan.

Turut menghadiri pertemuan tersebut ialah naib presiden PKR Tian Chua, pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Tan Kee Kwong.

http://www.malaysiakini.com/news/185755

Read More...

12 November 2011

Penggunaan Dakwat Kekal - Bebal Sangatkah Peguam Negara Malaysia??

Dakwat kekal: Perlembagaan tak perlu dipinda langsung, PSC dimaklum

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk membolehkan dakwat kekal digunakan ketika pilihan raya di negara ini, kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga (gambar).

Bercakap pada sesi pendengaran awam jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC), Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata sistem itu boleh dilaksanakan dengan hanya menukar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sama sekali tidak perlu (untuk meminda Perlembagaan) ... hanya perlu tukar peraturan (SPR), bukan Perlembagaan,” katanya.


“Dan, ini boleh dilakukan mengikut Sekyen 16 Akta Pilihan Raya yang membenarkan SPR membuat peraturan, membentangkannya di Parliamen untuk diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan seorang anggota PSC.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad meminta pandangan Ambiga berhubung perkara itu termasuk kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika sistem itu diperkenalkan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

SPR membatalkan rancangan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum 2008 selepas mendapat nasihat daripada segi perundangan termasuk keperluan menggubal satu undang-undang yang membenarkan seorang pengundi yang tidak mahu kuku atau jari telunjuknya ditandakan dengan dakwat, diberikan kertas undi.

Laporan Bernama Online memetik Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata beliau juga yakin sistem itu boleh dilaksanakan.

“Mungkin pandangan saya tidak tepat, namun saya mempunyai keyakinan 99.9 peratus bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda bagi membolehkan dakwat kekal digunakan,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum sistem itu boleh dilaksanakan. - TMI


Read More...

Awal-Awal Lagi PSC Sudah Dilihat Berat Sebelah.. Macam Cilake..

Wakil BERSIH tak diiktiraf PSC

Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan tetap dianggap sebagai wakil individu ke sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk penambahbaikan proses pilihan raya (hari ini walau berkeras bahawa beliau hadir sebagai wakil gabungan NGO berkenaan.

Pengerusi PSC, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, Ambiga hadir sebagai wakil individu dan begitu juga empat lagi yang mengiringi bekas presiden Majlis Peguam itu ke sesi pendengaran hari ini.

"Tidak, anda bercakap sebagai Datuk Ambiga," kata Ongkili ketika Ambiga memperkenalkan dirinya sebagai wakil BERSIH 2.0.


Malah, beliau juga enggan menerima memorandum yang dikemukakan Ambiga kerana muka hadapan dokumen berkenaan diterakan logo BERSIH.

Kecewa dengan tindakan itu, Ambiga berkata helaian muka depan berkenaan boleh saja dikoyakkan sekiranya ia menimbulkan masalah.

Maximus berkeras bahawa Ambiga tidak mewakili pertubuhan tidak berdaftar BERSIH, walau dibantah oleh seorang lagi anggota PSC, Azmin Ali.

Azmin berkata, keputusan berkenaan merupakan tindakan berat sebelah memandangkan PSC semalam turut mendengar keterangan saksi daripada Human Rights Party yang juga merupakan pertubuhan tidak berdaftar.

Ongkili bagaimanapun membenarkan Ambiga meneruskan keterangannya sebagai wakil 80 NGO yang dinaungi BERSIH.

Selain Ambiga, Ongkili turut membenarkan empat lagi wakil BERSIH - PY Wong, Andrew Khoo, Wong Chin Huat, dan Maria Chin Abdullah - untuk turut memberi keterangan selama lebih dua jam.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas