Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mendedahkan penyelewengan biasa berlaku di dalam parti itu kerana wujud segelintir pemimpin yang tidak amanah selain ketiadaan sistem pemantauan wang keluar masuk terutama membabitkan derma. Sehubungan itu, beliau tidak hairan dengan penerbitan sebuah buku bertajuk: Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali karangan Zainon Ismail atau nama penanya C.N Al-Afghani kerana perbuatan menyeleweng wang sememangnya berlaku di dalam parti berkenaan.
Ujarnya, selama beliau berada di dalam parti tersebut, itulah yang berlaku malah dalam satu peristiwa iaitu selepas berlakunya kejadian Memali pada November 1985, anak- anak Allahyarham Ibrahim Libya telah diusung ke mana-mana bagi tujuan mengutip derma.
‘‘Malangnya saya difahamkan wang itu tidak sampai kepada keluarga Ibrahim Libya tetapi telah disapu oleh pihak tertentu. Saya bercakap atas pengalaman saya di dalam Pas selama 12 tahun dan inilah kebenaran yang berlaku. ‘‘Oleh itu saya tidak hairan dengan pendedahan yang dibuat melalui buku ini. Saya yakin pendedahan ini adalah berdasarkan bukti dan asas yang kuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas forum pembaca hari ini yang menyiarkan tulisan Zainon sendiri apabila penulis buku Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali itu mempersoalkan akhbar Harakah melalui kolumnisnya Zulkifli Yahaya, keluaran 29 November-2 Disember 2010. Di dalam keluaran itu, Zulkifli mempertikaikan kononnya C.N Al-Afghani menggunakan akhbar musuh menghentam kawan dalam mengulas buku tersebut sedangkan kolumnis Harakah itu mengakui yang dia belum membaca buku itu sepenuhnya.
Buku tersebut mengundang kontroversi apabila penulisnya mendedahkan wujud penyelewengan dan penipuan berjuta ringgit milik berpuluh orang anak yatim, 14 balu dan 200 mangsa Memali oleh pihak Pas. Akibatnya seperti ada arahan rasmi, buku tersebut dilarang daripada dijual ketika berlangsungnya Majlis Memperingati 25 Tahun Memali, November tahun lalu. Mengulas lanjut, Nakhaie percaya penulis buku tersebut cuba mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam Pas dan bukannya sengaja mereka-reka cerita atau menimbulkan fitnah.
‘‘Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ini ada kaitannya dengan kredibiliti Pas sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam. Beliau mahu memberitahu rakyat dengan ikhlas hati bahawa inilah rupanya Pas yang sebenar. ‘‘Sekiranya Pas menjadikan Islam sebagai pegangan sudah pasti tidak akan berlaku perkara-perkara sebegini. Ini tidak, penyelewengan tetap berlaku di dalam Pas,’’ katanya. Dalam pada itu, beliau juga percaya pucuk pimpinan Pas akan marah kepadanya ekoran kenyataan tersebut kerana ia boleh mencalar imej parti itu di mata rakyat.
‘‘Saya bercakap atas kebenaran dan saya sedia kemukakan kebenaran itu sekiranya diminta. Realitinya, Pas tidak boleh menafikan wujudnya penyelewengan ekoran adanya segelintir pemimpin yang tidak amanah di dalam parti itu. ‘‘Ini ditambahkan lagi dengan ketiadaan sistem pengurusan yang bersistematik hingga menyebabkan penyelewengan berlaku dengan mudah,’’ katanya
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pucuk pimpinan Pas akan berusaha menyembunyikan kebenaran itu tetapi mereka jangan lupa bahawa sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha melihat setiap perlakuan mereka. ‘‘Seperkara lagi saya ingin nasihatkan Pas, sekiranya tidak mampu memelihara nama baik Islam, gugurkan sahaja nama Islam pada nama Pas. Jangan gunakan nama Islam sekiranya mereka tidak mampu menjaganya dengan baik,’’ katanya lagi.
01 February 2011
Benarkah Berjuta Wang 'Tabung Mangsa Memali' Diseleweng?
14 December 2009
Nakhaie Hanya Berani Bersuara Setelah Hilang Jawatan
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tidak menutup aurat sebagai berdosa.
“Perbuatan seperti itu satu dosa,” katanya merujuk kepada soalan seorang peserta pada satu wacana yang dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di Kelantan Trade Centre.
Penganjur bersama program itu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Perbadanan Menteri Besar.
Seorang peserta menanyakan apa hukum isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak menutup aurat dijawab bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad sebagai berdosa.
Katanya, di akhirat kelak wanita yang tidak menutup aurat akan ditanyakan di hadapan Allah Taala mengapa tidak mematuhi suruhan agama.
(Gambar: Nakhaie berkata Rosmah berdosa dan bakal dapat siksa di akhirat)
Dewan konvensyen tempat wacana diadakan penuh sesak sehingga memaksa penganjur memasang dua skrin besar di luar dewan.
Orang ramai melimpah sehingga ke atas jalan raya.
Wacana itu yang panas sepanjang program berlangsung menampilkan tiga lagi anggota panel iaitu anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Mohd Affendi Yusof.
Pensyarah kanan UKM, Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Hadir sama anggota Exco, Dr Mohamad Fadzli Hassan.
Nakhaie yang juga bekas Naib Presiden PAS memberitahu, beliau meninggalkan parti itu dan menyertai Umno kerana tidak ada program dakwah dalam PAS.
“Sebab itulah sepanjang berada bersama PAS saya gagal mengislamkan seorang pun bukan Islam.
“Sedangkan ketika menerajui Yadim saya berjaya mengislamkan kira-kira 7,000 bukan Islam di Sabah dan Sarawak,” katanya diikuti suara riuh rendah orang ramai.
Penjelasan Nakhaie dari awal sehingga akhir dipertikaikan hadirin sehingga ramai yang menyoraknya.
Kadang kala beliau kelihatan emosi kerana tidak tahan berdepan dengan penonton yang cuba mencemuhnya.
Mohd Afffendi pula tanpa menyembunyikan perasaan menjelaskan mahu hak Kelantan mendapatkan royalti minyak diberi perhatian kerajaan pusat.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, katanya apa pun istilah yang digunakan kerajaan pusat sama ada royalti atau ihsan ia perlu dinikmati rakyat negeri ini.
Kata beliau rakyat Kelantan tidak perlu didiskriminasi bagi mendapatkan hak mereka.
Sedangkan sebelum itu ketika menjawab soalan moderator katanya, royalti hanyalah istilah Inggeris yang digunakan, sehingga disorak orang ramai.
Malah katanya, perjanjian yang ditandatangani di antara Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir dan Petronas pada 1975 seperti tidak sah kerana ada perjanjian baru dibuat kerajaan Malaysia dengan Thailand pada 1990.
“Mengikut perjanjian tersebut cari gali minyak berlaku di kawasan JDA yang melibatkan Malaysia dan Thailand, di mana pembahagian dibuat 50 – 50.
“Jadi perjanjian lama pada 1975 sudah tidak terpakai kerana minyak dicari gali di kawasan JDA,” ujarnya.
Merungkai persoalan itu Mohd Amar menjelaskan kerajaan Thailand membahagikan royalti kepada Songkla memandangkan kedudukan JDA lebih dekat dengan wilayah itu.
Sedangkan katanya Malaysia tidak membahagikan royalti kepada Kelantan biar pun kawasan carigali dekat dengan negeri tersebut.
“Ini bermakna Thailand jauh lebih cerdik berbanding Malaysia kerana cuba menafikan hak royalti minyak,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.
Dr Asri pula tidak mahu ulama masuk campur dalam tuntutan royalti dibuat kerajaan Kelantan kerana silap percaturan ia boleh menghakiskan kepercayaan rakyat kepada golongan berkenaan.
“Saya kata kepada Perdana Menteri bagilah kepada Kelantan kerana itu hak mereka. Pemimpin kena bersikap adil kepada semua pihak seperti dituntut Islam,” katanya.
Ketika menjawab soalan Dr Agus, Mohd Amar berkata, halangan kerajaan pusat terhadap Kanun Jenayah Syariah diluluskan di Kelantan bukan bermakna hukum itu tidak mahu dilaksanakan.
“Samalah seperti lampu trafic light merah, kita berhenti sekejap. Berhenti pun enjin kereta kita masih hidup.
“Dan apabila lampu isyarat sudah bertukar menjadi hijau maka kita jalanlah,” katanya.
Mohd Affendi juga memuji tindakan kerajaan negeri menganjurkan wacana seumpama itu bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat dua hala.
Oleh itu katanya, Pemuda Umno sedia menganjurkan program wacana pada masa akan datang dengan menjemput wakil dari PAS.
Mohd Amar pula berkata, beliau sedia hadir pada wacana anjuran Umno jika bersesuaian dengan tajuknya.
Mula sini
