KUALA LUMPUR, 15 Jan — Pembicara kontroversi Sharifah Zohra Jabeen yang menyerang seorang mahasiswi secara terbuka dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan lagi ahli Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) kata presidennya Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dan mendakwa tingkahlaku bekas timbalan Ketua Wanita KIMMA Kebangsaan tersebut sukar dikawal.
Pembicara tersebut adalah presiden sebuah pertubuhan tidak pernah didengari dikenali sebagai Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang dilihat rapat dengan BN, dilihat didalam video mencaci seorang mahasiswi yang bangkit menyatakan pendiriannya mengenai perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 dan pehimpunan menuntut pendidikan percuma - dengan mengeluarkan kenyataan "bila dalam program kami, kami benarkan anda bercakap" dan "apabila saya bercakap, anda dengar."
"Banyak panggilan telefon saya dapat yang bertanyakan perkara sama.
"Jadi, saya ingin tegaskan beliau sudah tidak bersama KIMMA lagi. Segala yang beliau lakukan dan katakan sekarang tidak lagi melibatkan kami dan bukan pendirian kami," tegas Syed Ibrahim yang tidak menyatakan secara terperinci sama ada Sharifah Zohra dibuang daripada parti atau sudah meletak jawatan.
Ekoran kontroversi video tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan rakannya Khairy Jamaluddin juga mempertahankan mangsa sikap biadap tersebut, Bawani dalam laman Twitter mereka.
Syed Ibrahim mengakui kelantangan dan sikap agresif Sharifah Zohra semasa berada dalam KIMMA dan telah menerima pelbagai laporan negatif mengenai individu tersebut.
"Ya, kami memang tahu tentang sikap liar dan agresif beliau (Sharifah Zohra) ini dan susah nak kawal beliau ini," tambah beliau lagi.
"Namun, beliau kini tidak berada dalam parti lagi."
Forum "Seiringkah mahasiswa dan politik?" diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah pada 8 Disember lepas, akan tetapi hanya heboh selepas video tersebut dimasukkan di Youtube minggu lalu.
Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya Sharifah Zohra Jabeen menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan kepada penganjur forum apa yang dia percaya pembentangan mereka yang tidak betul mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said.
Bawani juga menegaskan sejumlah negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah turun dari pentas dan berdiri di depannya.
Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah itu dan terus bercakap.
Sharifah kemudian berkata "dengar" kira-kira 11 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar," kata Sharifah kepada Bawani.
Tindakan Sharifah telah menerima banyak kritikan daripada rakyat Malaysia yang menonton klip video tersebut.
Read More...
Summary only...
Presiden Kimma dilantik senator
KUALA LUMPUR, 17 Mei — Datuk Syed Ibrahim Kader, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), parti politik sahabat BN, dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan dijangka akan mengangkat sumpah dalam beberapa hari.
The Malaysian Insider difahamkan, Syed Ibrahim (gambar), 57, telah menerima surat pelantikan sebagai senator minggu lalu.
“Saya diberitahu Syed Ibrahim telah menerima surat lantikan tersebut Khamis lalu dan tarikh bila akan sumpah akan diketahui esok.
“Syed Ibrahim menerima lantikan tersebut dengan hati terbuka, namun saya difahamkan beliau tidak mahu perkara ini didedahkan terlebih dahulu,” kata sumber ketika dihubungi.
Syed Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas sambil meminta agar menunggu sehingga tarikh angkat sumpah.
Jelas sumber itu, Syed Ibrahim hanya akan membuat kenyataan berhubung pelantikan itu selepas mengangkat sumpah.
Ini merupakan kali pertama wakil Kimma dilantik sebagai ahli Dewan Negara. Kimma ditubuhkan pada 1976.
Penghujung tahun lalu, Syed Ibrahim memohon kerajaan melantik seorang senator daripada kalangan anggota parti itu untuk mewakili kaum India Muslim negara ini.
Beliau berkata, ini kerana parti itu tidak mempunyai saluran untuk bersuara secara langsung terutama bagi menyuarakan masalah kaum India Muslim terus kepada kerajaan.
Selain itu Syed Ibrahim berkata, Kimma juga memohon kepada kerajaan agar wakil India Muslim ditempatkan di Majlis Kerajaan Negeri dan Majlis Kerajaan Tempatan supaya mereka dapat menyalurkan masalah kaum itu kepada pihak berwajib serta mendapat maklumat tentang peluang perniagaan dan perdagangan di dalam mahupun di luar negara.
Beliau juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu dana khas perniagaan untuk industri kecil dan sederhana dan peniaga kecil India Muslim untuk memudahkan peniaga kecil itu mendapat dana pusingan modal bagi memulakan atau membesarkan perniagaan.
Kimma yang mendakwa ada 80,000 ahli negara telah menyatakan hasrat untuk menyertai BN semenjak 1984 tetapi gagal ekoran bantahan komponennya termasuk oleh MIC.
Ogos lepas, Umno bersetuju menerima Kimma sebagai anggota bergabung parti itu dengan beberapa keistimewaan seperti dijemput hadir sebagai pemerhati dalam perhimpunan agung dan persidangan di peringkat bahagian sekiranya parti itu mempunyai keanggotaan di kawasan berkenaan.
Read More...
Summary only...
KIMMA setia BN walaupun cuba disogok pembangkang
BATU PAHAT: Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu pernah ditawarkan wang berjuta ringgit, dijanjikan jawatan penting dalam kerajaan pembangkang serta pelbagai insentif dan projek jika menyertai pembangkang, kata Presidennya, Datuk Syed Ibrahim Kader.
Bagaimanapun, katanya, pelbagai tawaran lumayan berkenaan tidak mampu menggugat kesetiaan KIMMA terhadap BN kerana masyarakat India Muslim negara ini tidak sanggup menggadai maruah semata-mata mahu mengejar imbuhan, pangkat serta kesenangan sementara.
Malah katanya, seorang pemimpin pembangkang pernah menghubunginya secara peribadi dan menawarkan imbuhan sebanyak RM55 juta sekiranya beliau dan ahli KIMMA bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang.

“Dia (pemimpin pembangkang) telefon saya dan memberitahu... Datuk, saya akan beri RM5 juta sekiranya anda bersetuju sertai kami hari ini. Pagi esok saya akan masukkan lagi dalam akaun...jika selepas itu anda membawa bersama orang-orang anda (ahli KIMMA), saya akan masukkan RM50 juta lagi dalam akaun anda. Itu adalah janji dibuat pemimpin pembangkang berkenaan kepada saya beberapa tahun lalu.
“Malah, ketua KIMMA di negeri yang ditawan pembangkang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang turut ditawarkan pelbagai imbuhan termasuk projek dan jawatan penting dalam kerajaan negeri supaya menyertai mereka.
“Walaupun ahli KIMMA termasuk saya pernah dihujani tawaran lumayan supaya menyertai pembangkang, tetapi maruah masyarakat India Muslim negara ini bukan semurah itu... maruah kami bukan untuk dijual beli.
“KIMMA tidak akan terpedaya mahupun termakan pelbagai janji apatah lagi kami sudah menyokong BN mahupun UMNO sejak dulu lagi. Kami lebih mengenali dan tahu hati budi BN dan UMNO.
“Walaupun pernah berasa kecil hati kerana kesetiaan kami kurang mendapat tempat dan perhatian sebelum ini, namun di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, suara KIMMA serta masyarakat India Muslim kini sudah mula didengari dan mendapat sokongan padu kerajaan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama ahli Batu Pahat dan Muar, di sini, semalam.
Read More...
Summary only...