Sekumpulan kira-kira 240 orang yang dipercayai pendatang dikepung di sebuah resort dekat Putrajaya hari ini.
Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa berkata pihaknya bersama-sama penduduk kampung mengepung mereka yang berada dalam sebuah pusat peranginan kerana mendakwa mereka akan diberi kerakyatan dan didaftar sebagai pengundi.
Mohd Adram yang berada di tempat berkenaan, memberitahu demikian ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau juga merupakan timbalan pengerusi lajnah pemulihan demokrasi dan mobilisasi Rakyat Pemuda PAS.
Mohd Adram mendakwa pihaknya mendapat maklumat tersebut melalui risikan jentera mereka dan mengekori enam buah bas yang membawa kumpulan tersebut sejak jam 7.30 pagi tadi.
Dakwanya lagi, semua yang majoritinya warga Indonesia itu dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Bagaimanapun, katanya, bas-bas berkenaan telah beredar dari situ, meninggalkan kumpulan tersebut di resort berkenaan.
Mohd Adram berkata kumpulan pendatang itu berada dalam sebuah pusat peranginan dekat Kampung Bukit Dugang. Pintu pagarnya telah dikunci.
"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.
"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media kemudiannya.
Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.
Berikutan itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.
Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu ialah AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.
Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.
"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.
"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.
Malaysiakini
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Dewan Pemuda PAS Johor telah berjaya mengesan 7 buah bas yang dipercayai membawa warga asing menuju ke Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan.
Kesemua mereka diyakini dibawa masuk ke negara ini oleh pemimpin Umno BN bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih untuk mengundi bagi pihak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kesemua bas tersebut telah dikesan dari Johor dan telah sampai ke Masjid Putrajaya pada jam 8 pagi tadi untuk mengambil IC mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut beliau, tidak lama selepas itu, 3 dari 7 buah bas tersebut telah masuk ke JPM bersama sebuah kereta Perdana yang di dalamnya terdapat individu berpangkat datuk.
Sebahagian bas lagi, tegasnya, telah diarahkan keluar dari Putrajaya menuju ke arah yang tidak diketahui disebabkan mereka menyedari Pemuda PAS mengekori mereka dan ini jelas merupakan helah penghianat negara.
Katanya, setelah cerita mengenai 7 buah bas yang membawa warga asing untuk mengambil IC di JPM itu dimasukkan oleh beliau ke dalam Facebook, mereka telah lari masuk ke dalam hutan di Kajang.
"Takut juga rupanya mereka. Saya ingat mereka berani sangat. Tindakan para pemimpin Umno BN itu ternyata satu pengkhianatan kepada negara," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Maklumat mengenai warga asing mahu mendapat kerakyatan mudah itu, menurut beliau, telah diterima oleh beliau sejak petang semalam lagi dan sejak itu Pemuda PAS Johor telah berusaha mengesaninya.
"Malam tadi jam 1.00 malam, mereka singah di R & R Pagoh. Bermula di situ skuad pemuda PAS ekori mereka. Jam 6 pagi, mereka sampai di Masjid Putrajaya," katanya.
Hasil pengesanan yang dilakukan oleh Pemuda PAS, jelasnya, didapati bas-bas yang membawa warga asing untuk mendapatkan IC itu telah diturunkan di Kajang, Selangor.
"Ini jelas manipulator terancam yang dibuat ekoran pendedahan Pemuda PAS. Mereka ternyata pengkhianat yang pengecut," tegas beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sejak 3 jam lalu, katanya, kesemua warga asing yang mahu mendapatkan IC mereka itu telah ditempatkan di dalam hutan di Jalan Kajang - Istana Dugang Contry Resout.
Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai yang mempunyai kelapangan masa berkejar ke tempat itu sekarang untuk beramai-ramai bertanya kepada mereka tujuan kedatangan mereka beramai-ramai ke Putrajaya itu.
"Sekitar 30 minit lalu, penduduk di kawasan itu sedang mengepong kawasan warga asing yang mahu diberikan IC oleh JPN itu," katanya.
Kini, menurutnya, bas-bas yang membawa warga asing itu pula telah keluar dari kawasan resort tersebut dan bas-bas tersebut didapati kosong tanpa penumpang.
"Maksudnya, warga-warga asing tersebut telah ditinggalkan di dalam resort itu. Apa yang mereka buat?" tanya beliau. -Hrkh
Dipetik dari sini
Read More...
Summary only...
Ketua Pengarah JPN Perlu Letak Jawatan!
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal kerana Jabatan Pendaftaran Negara gagal mengemaskini pengkalan data sehingga menyebabkan orang bukan warganegara disenaraikan sebagai pengundi.
Apa yang sangat dikesalkan apabila pendedahan oleh Pakatan Rakyat terhadap seorang pengundi yang bernama Yusnati Haris telah dinafikan oleh JPN dengan mengesahkan kewargangeraan beliau sejak tahun 2008. Kes ini menjadi rujukan betapa lemahnya sistem pentadbiran JPN yang menjadi sebuah agensi kerajaan sangat penting terhadap negara.
DPPWP hairan mengapa JPN tidak membuat kerja secara bersungguh-sungguh dengan membuat semakan dan meneliti setiap senarai nama yang ada dalam pengkalan data mereka? Apakah JPN tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk membuat semakan dan penelitian ini. Jika demikian, kemana pula perginya duit kerajaan dan negara bagi menggaji pekerja bagi membuat kerja yang cukup kritikal ini?
Kes ini didedahkan oleh Pakatan Rakyat yang membuat sedikit ‘kerja rumah’ berdasarkan kemampuan yang ada. Bukannya terlalu payah untuk mengenalpasti rakyat tempatan mahupun asing dalam sistem pengkalan data sama ada SPR mahupun JPN. Dengan kepakaran yang ada, Pakatan Rakyat berjaya membuktikan ‘keraguan yang munasabah’ terhadap data pengundi di SPR yang turut terkait ke pengkalan data di JPN.
JPN dan SPR sepatutnya berterima kasih terhadap Pakatan Rakyat yang tidak sedikit membuat pendedahan mengenai kelemahan sistem daftar pemilih. Bahkan, Pakatan Rakyat mempunyai ramai lagi bukti pemegang kad sementara menjadi pengundi berdaftar. Bayangkan jika Pakatan Rakyat membiarkan sahaja data ini, sudah tentu SPR dan JPN tidak akan ‘perasan’ kelemahan yang ada dalam sistem pengkalan data mereka dan kelemahan inilah yang akan digunakan dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Dengan pendedahan kes seperti ini dan juga kes-kes yang lain, menunjukkan bahawa pengkalan data SPR sangat diragui, kotor dan tidak layak digunakan dalam Pilihanraya Umum ke 13. DPPWP mencabar sekiranya benar SPR tidak berat sebelah dan bertindak secara profesional, keseluruhan sistem pilihanraya perlu dikaji dan dirombak kembali khususnya data pemilih. Data pemilih sedia ada mesti dibersihkan dari sebarang penyelewengan atau penipuan.
DPPWP dengan ini mendesak Ketua Pengarah JPN meletak jawatan manakala Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap semua kesilapan ini. DPPWP dan juga rakyat tidak boleh menerima ribuan kesilapan yang telah dan akan dilakukan dengan alasan tidak mengemaskini pengkalan data. Apakah alasan yang sama akan diberikan jika banyak lagi pendedahan serupa dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap pengkalan data JPN atau SPR?
Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Read More...
Summary only...
STATUS Zainal Ratin MURTAD Salah Siapa, SPR atau MSK?
KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Zainal Ratin Zainal Abidin, 67 membuat laporan polis berkaitan namanya yang disenaraikan sebagai salah seorang yang didakwa telah murtad kerana menukar agama Islam kepada Kristian di sini, hari ini.

Zainal Ratin Zainal Abidin, 67 memberi kenyataan kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan namanya disenaraikan sebagai salah seorang yang didakwa telah murtad kerana menukar agama Islam kepada Kristian di sini, hari ini.
Seorang bekas pengetua sekolah membuat laporan polis hari ini berhubung satu laman blog yang mendakwa beliau antara kalangan individu yang 'murtad' kerana menukar agamanya kepada Kristian.
Zainal Ratin Zainal Abidin, 67, membuat laporan itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di ibu negara dengan ditemani anaknya, Zainal Azam, kira-kira jam 2 petang.
Beliau berkata perkara itu disedari oleh seorang anaknya yang ketika melayari Internet malam tadi menemui senarai 430 nama individu beragama Islam yang telah bertukar kepada agama lain, antaranya Kristian, Hindu dan Buddha.
"Nama saya ada dalam senarai itu. Ini merupakan satu fitnah yang bagi saya amat besar kerana ia membabitkan diri, akidah dan maruah keluarga saya," katanya kepada pemberita.
Zainal Ratin meminta pihak yang bertanggungjawab, termasuk polis, membuat siasatan terperinci kerana ia melibatkan bilangan umat Islam yang ramai.
- Bernama
********************************************************************

Nama Zainal Ratin antara yang disenaraikan oleh MSK di dalam blognya berdasarkan senarai Daftar Pemilih yang dikeluarkan oleh SPR.
Sebenarnya senarai yang dikeluarkan oleh MSK di dalam blog Malaysia Times itu berdasarkan rekod di dalam Daftar Pemilih negeri Perak. Jika MSK mengambil data tersebut daripada daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR, jadi rasanya tidak timbul isu fitnah di sini. Isu yang akan timbul ialah isu salah rekod olah SPR yang dinyatakan sendiri oleh pengerusinya sekitar 0.0001%. Nak marah siapa pakcik oii!!
Dipetik dari Pulakdah
Read More...
Summary only...
SHAH ALAM 27 OGOS : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa berlaku kepincangan baru dalam daftar pemilih ekoran aduan bahawa ada rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, namun nama mereka sudah terdapat dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, rakyat disarankan agar melakukan semakan bagi memastikan maklumat peribadi dalam daftar pemilih lengkap dan betul.
“Akhir-akhir ini, Bersih 2.0 telah menerima beberapa kes di mana individu-individu yang belum mendaftar mendapati mereka dimasukkan dalam daftar pemilih. Terdapat juga kes di mana kawasan mengundi telah ditukar tanpa diberi notis,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan meminta semua rakyat sentiasa peka dan mengambil langkah bagi mengelakkan kepincangan berlaku.
“Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ringkas berikut untuk memastikan setiap warga Malaysia memastikan hak anda kepada pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tidak dicabuli.
“Semak nama anda dalam daftar pemilih untuk memastikan maklumat anda dalam daftar pemilih adalah tepat, semakan boleh dilakukan di laman web SPR, Kami berharap kepada semua warga Malaysia tidak kira di dalam atau di luar negera untuk menyemak nama dalam daftar pemilih,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.
Selain itu, jawatankuasa Bersih 2.0 juga meminta agar “Individu yang belum mendaftar untuk mengundi juga digalakkan untuk menyemak nama.”
Kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, sekiranya maklumat peribadi dalam daftar pemilih tidak betul, pihaknya meminta agar dikemukakan aduan kepada badan itu.
“Sekiranya anda mendapat tahu kawasan mengundi anda telah ditukar tanpa pengetahuan atau nama anda dilampirkan dalam daftar pemilih walaupun belum mendaftar, sila berikan maklumat terperinci kepada kami di info@bersih.org atau faks kepada 03-77844978.
“Sekiranya anda masih belum mendaftar untuk mengundi, sila mendaftar di pejabat-pejabat pos yang terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri, jangan mengabaikan hak mengundi anda! Pastikan anda mengundi ketika pilihan raya nanti,” katanya.
Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Untuk memastikan pembaharuan sistem pilihan raya, pentadbiran Najib memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan dianggotai wakil daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas.
Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0.
Read More...
Summary only...
Mungkin kut aku silap, tapi bila aku type alamat
http://www.jpn.gov.my/semakic/ pun tak keluar page nak semak status MyKad tu tapi terus redirect ke muka depan web JPN.
CELAKA!!
Baca kat sini
Read More...
Summary only...
Kerajaan digesa meneliti semula prosedur pengeluaran sijil kerakyatan kepada warga asing kerana jumlah yang didaftarkan dalam tempoh tiga tahun lalu menunjukkan angka yang amat mengejutkan, sehingga 29,000 orang.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya khuatir sekiranya kerakyatan dikeluarkan terlalu mudah, Malaysia mungkin menjadi "syurga pelbagai kelompok" yang tidak menguntungkan, malah membeban dan merugikan negara.
"TERAS memberi perhatian kepada sungutan wujudnya penganugerahan kerakyatan dikaitkan dengan politik.
"Kelulusan kerakyatan akan pincang jika berlaku pertimbangan politik menjadi kriteria untuk pihak tertentu mahu memastikan pengundi memihak kepada mereka," katanya.
Mengulas dakwaan kepincangan dalam sistem pilihan raya, seperti didedahkan PAS, Azmi dalam kenyataannya hari ini berkata,TERAS percaya kesangsian banyak pihak mengenai isu itu adalah berasas.
"Ada yang berpendapat bahawa suatu kecenderungan pihak tertentu pada masa ini mengeluarkan kad pengenalan adalah disyakki berkait dengan PRU (pilihan raya umum) 13.
"Kesangsian ini akan bertambah meluas bila mana terdapat mereka yang memperolehi kad pengenalan dalam masa yang sangat sengkat membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi," katanya.
Di samping mempersoal kualiti warga asing yang diterima, TERAS menuntut penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sama ada pengeluaran sijil kerakyatan dan pemberian kad pengenalan untuk warga asing ditapis berdasarkan kelayakan dan syaratyang ketat.
"Sementara bagi mereka yang telah didapati layak untuk mendapat kad warga negara di Malaysia, kami berpendapat sangat perlu proses melulus permohonan diteliti agar ia memberi manfaat kepada negara dari segi sosio-ekonomi dan pembangunan dalam jangka pendek mahupun jangka panjang," katanya. - Malaysiakini
Read More...
Summary only...
Sikap Ketua Pengarah JPN Yang Tidak Bertanggungjawab
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus mengambil sikap berdiam diri berhubung isu kad pengenalan Mismah yang bertukar status daripada penduduk tetap (PR) kepada warganegara yang didakwa pembangkang diperolehi dalam tempoh singkat.
Sinar Harian menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung dakwaan itu kerana kakitangan JPN yang dihubungi memberitahu hanya Ketua Pengarah Datin Jariah Mohd Said boleh mengeluarkan kenyataan, tetapi beliau bercuti.
Sinar Harian juga ingin mendapatkan penjelasan beberapa perkara lain.
Ia termasuk mengenai laporan sebuah portal berita me-ngenai wujudnya nombor kad pengenalan lama 1479323 yang dimasukkan ke dalam sistem SPR yang menunjukkan dua kemasukan di bawah nama Sa’ad bin Samsudin tetapi dengan dua nombor MyKad yang berbeza iaitu 380913105681 dan 510913105553.
Juga terdapat nama Mohd Rashid bin Ismail (IC lama: 6397062) yang mempunyai dua pendaftaran di kawasan Parlimen Taiping (MyKad: 620108086991) dan kerusi Parlimen Bukit Gantang (MyKad: 620108086713).
Apabila kedua-dua nombor MyKad dimasukkan dalam sistem online JPN, keputusannya menunjukkan kad pertama telah diambil, manakala kad kedua sedia untuk diserahkan ke pejabat JPN Kuala Lumpur. -SH
Read More...
Summary only...
Sungguh mengejutkan apabila kerajaan hari ini mengumumkan bahawa sejumlah 530,625 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) didaftarkan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah, bermula pada 1 Ogos sehingga semalam. Kenyataan tersebut telah dibuat oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim. Beliau berkata pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) telah dilaksanakan di 206 pejabat Imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah serta 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan 336 syarikat pengurus.
Persoalannya sekarang, kenapa begitu ramai PATI boleh masuk ke Malaysia semudah itu?. Maka perginya pasukan imigeresen, polis marin serta lain-lain pihak berwajib yang sepatutnya mengawal keadaan ini?. Difahamkan ramai lagi akan berbuat demikian dalam masa terdekat. Jika ini berlaku mungkin PATI yang ada di Malaysia sekarang ini boleh mencecah satu juta orang. Itu belum termasuk mereka yang masuk dan bekerja di negara ini secara sah. Dari satu segi, memang kita melihat program 6P itu seolah-olah berjaya dilaksanakan.
Namun, dari segi yang lain ia membuktikan tahap keselamatan dan kepercayaan rakyat terhadap pihak yang berkenaan semakin membimbangkan sebenarnya. Nampak sangat kawalan keselamatan negara begitu rapuh dan mudah untuk dibolosi. Jika ini keadaannya, apa akan terjadi jika kumpulan subversif atau penjenayah antarabangsa masuk ke negara ini?. Bukankah ia akan memudaratkan rakyat akhirnya.
Baca seterusnya disini
Read More...
Summary only...
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menjelaskan dakwaan seorang penduduk tetap (PR) yang memegang kad MyPR merah tetapi didaftarkan sebagai pengundi baru, dan kemudiannya diberikan taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam, sebenarnya tidak benar.
Ketua pengarahnya, Datin Jariah Mohd Said berkata rekod JPN menunjukkan dalam kes Mismah, individu itu sebenarnya telah mendapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982.
“Beliau telah diluluskan taraf kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf penduduk tetap Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, semasa semakan Malaysiakini pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238).
Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.
Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang semalam menunjukkan Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.
Jariah dalam kenyataan medianya juga berkata sepanjang tempoh 9 April 2009 hingga 15 Julai 2011, kementeriannya telah menerima 72,334 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia.
Daripada jumlah itu, katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah meluluskan sebanyak 29,290 permohonan.
Jariah juga menghuraikan pertimbangan permohonan taraf warganegara tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan perkara-perkara berikut:Perkara 15 : Isteri kepada Warganegara
Perkara 16: Mereka yang lahir di Malaysia sebelum tarikh kemerdekaan (sebelum 31 Ogos 1957)
Perkara 19: Warga Asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.
PAS hari ini mempertikaikan pendaftaran 1,597 pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di lamanweb JPN sebagai penduduk tetap.
Ini termasuk Mismah, yang statusnya telah ditukar dari penduduk tetap kepada warganegara di JPN semalam, dalam tempoh beberapa jam selepas Malaysiakini melaporkan mengenainya.
Dalam reaksinya, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata ini disebabkan oleh "kecuaian teknikal" di mana sistem sistem JPN tidak dikemaskini.
Sistem akses awam di lamanwebnya, jelas beliau, adalah berasingan dari sistem sambungan secara automatik antara SPR dan JPN.
Malaysiakini
Read More...
Summary only...
PR Jadi Pengundi : SPR Kata Kesilapan Teknikal
KUALA LUMPUR 3 OGOS : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberitahu berlakunya kesilapan akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga menyebabkan seorang penduduk tetap (PR) didaftarkan menjadi pengundi.
Dalam Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Malaysiakini, Aziz menafikan bahawa ada PR yang diberi peluang mengundi pada pilihan raya akan datang.
"Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini," katanya.
Menurut Aziz, hanya rakyat Malaysia yang boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.
"PR tidak dibenarkan kecuali Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mereka sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak permohonan mereka sebagai pengundi secara automatik akan ditolak oleh sistem saringan SPR selepas menyemak status mereka dengan sistem JPN - Agency Link Up System (Alis)," katanya.
Namun, kata Aziz SPR akan mempamerkan daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan setiap empat bulan untuk tatapan umum selama seminggu.
"Pengundi di kawasan itu boleh membantah (jika mendapati ada penyelewengan),” katanya.
Abdul Aziz mengulas kontroversi di mana terdapat dakwaan bahawa penduduk tetap didaftarkan sebagai pengundi dan nama mereka tersenarai pada daftar pemilih tambahan yang baru.
Status penduduk tetap itu kemudiannya 'dinaik-taraf' sebagai warganegara dalam beberapa jam, mengikut sistem pengesahan online JPN.
Semalam portal Malaysiakini melaporkan, seorang yang bernama Mismah yang pada asalnya mempunyai status PR dan memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru.
Menurut portal itu, semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali - pada jam 5.48 petang kelmarin dan 11.30 pagi semalam - menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan bagi PR.
Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.
Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang semalam menunjukkan hasil yang mengejutkan - Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.
Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang - pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang dipamerkan oleh semakan umum. - TVS
Read More...
Summary only...
TUMPAT, 28 Mei: Program MyDaftar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah sekolah di sini agak kelam kabut apabila diserbu ramai penduduk terutamanya berasal dari negara jiran.
Ketika kaunter pendaftaran yang juga melibatkan Jabatan Imigresen dibuka jam 8.30 pagi ruang dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur diserbu orang ramai.
Sebahagian besar mereka berasal dari Thailand yang mendakwa sudah lama menetap di Pengkalan Kubur. Ada juga kelihatan datang menggunakan kenderaan berdaftar nombor kenderaan negara jiran.
Malah malam tadi Umno dipercayai melancarkan kempen supaya warga asing yang belum memiliki kad pengenalan datang ke program berkenaan.
Hebahan mengenai program berkenaan juga dibuat sejak dua minggu lalu melalui mimbar-mimbar khutbah Jumaat.
Bagaimanapun program terbabit tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sehingga menimbulkan banyak persoalan ekoran terbongkar sindiket membuat kad pengenalan melibatkan warga asing untuk mendaftar sebagai pemilih di Selangor.
Ekoran itu PAS memantau program yang berlangsung hari ini bagi memastikan tidak ada unsur-unsur tidak sihat digunakan bagi tujuan politik.
Turut memantau dari dekat program tersebut anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusli Wan Ibrahim dan penghulu.
Kehadiran orang ramai pada program itu di luar jangkaan JPN apabila sambutan hangat sekali sehingga tidak terlayan pada sebelah pagi.
Malah ada yang datang membawa surat pengesahan sebagai anak mukim hanya menggunakan surat ditandatangani Ketua Cawangan Umno Pengkalan Kubur.
Ada juga wanita dari Thailand yang datang memberitahu mereka diberitahu pihak tertentu supaya menuntut kad pengenalan di kaunter JPN pada program berkenaan.
Bagaimanapun ramai pulang hampa memandangkan proses untuk memohon kad pengenalan tidak semudah disangka.
Pengarah Bahagian Pendaftaran Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Mohd Azimin Hassan berkata, pihaknya tidak menerima pengesahan sebagai anak mukim hanya berdasar surat ditandatangani ketua cawangan Umno.
”JPN mempunyai prosedur yang ketat untuk melayakkan seseorang boleh memohon kad pengenalan,” katanya pada sidang media bersama Kamaruddin di sini.
Menurutnya program tersebut dimulakan sejak 2008 bagi memberi penjelasan mengenai proses pendaftaran kelahiran, kematian dan permohonan kad pengenalan.
Kata beliau terdapat seramai 751 kes daftar lewat kelahiran di Kelantan sekarang melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan.
Kamaruddin berkata, PAS mendapat maklumat program tersebut dikatakan memberi ruang lebih mudah kepada bukan warga negara mendapat kad pengenalan.
Katanya, sebelum ini dikesan di Selangor di mana ada warga asing mendapat taraf pemastautin tetap bagi membolehkan mereka mengundi.
”Jadi berasaskan maklumat tersebut PAS dan pemimpin masyarakat di Tumpat memantau program hari ini kerana bimbang perkara yang berlaku di Selangor boleh berulang di sini.
”Bagaimanapun berdasar kepada penjelasan dibuat pegawai kanan JPN di sini kita agak berpuas hati terhadap perkembangan setakat ini.
”Kita tidak mahu program MyDaftar direbut peluang oleh pihak tertentu bagi mendaftarkan warga asing sebagai pemilih secara mudah,” katanya.
Beliau juga berkata, Umno menggunakan sepenuhnya program terbabit sehingga ada ketua cawangan mengesahkan status anak mukim orang tertentu, sedangkan ia bukan di bawah bidang kuasanya.
Mohd Zaki juga bimbang kerana ramai warga Thailand datang ke program berkenaan semata-mata untuk memohon mendapatkan kad pengenalan.
Katanya, ramai di kalangan mereka ketika ditemui menjelaskan datang ke sini kerana diberitahu pihak tertentu JPN membuka peluang bukan warga negara mendapatkan kad pengenalan.
”Kami juga berharap kerajaan negeri mendapatkan maklumat lebih lengkap daripada JPN mengenai program MyDaftar bagi mengetahui perkara sebenar,” ujarnya.
Wan Rusdi bimbang program MyDaftar dianjur JPN dan Jabatan Imigresen tersembunyi agenda lain, biar pun diakui tidak berlaku sebarang penyelewengan seperti disebut pegawai kanan JPN.
Read More...
Summary only...