KUALA LUMPUR 3 Oktober: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menganjurkan himpunan mega di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November depan.
Dengan tema ‘Himpunan Kebangkitan Rakyat’, Pakatan mensasarkan kehadiran sejuta rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu atau dikenali Mat Sabu berkata, himpunan itu bertujuan untuk menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh kerajaan Umno BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.
Mat Sabu berkata, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media perdana sedangkan pendengaran awam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menunjukkan bagaimana anggota keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur operasi standad (SOP) ketika mengendalikan himpunan pada 28 April lalu.
“Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak dihiraukan, maka kami perlu lagi satu himpunan pada 3 November nanti iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat,” katanya dipetik Harakah Daily.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurutnya, himpunan itu akan melibatkan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan dan rakyat di luar sana untuk menuntut seterusnya menyambung tuntutan Bersih yang mahukan pilihan raya bebas dan telus.
“Apa terus meragukan misalnya ditemui 60,000 daftar pemilih pos yang tanpa proses semakan, yang perlu dijelaskan oleh SPR.
“Bagaimana hendak adakan pilihan raya, sedangkan daftar pemilih dan juga penglibatan pengeluaran Mykad palsu yang ditemui begitu ketara sekali,” kata Mat Sabu lagi.
Justeru, Pakatan bimbang SPR boleh mengendalikan pilihan raya yang bersih untuk pilihan raya umum kali ini.
Hadir sama dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Fuziah Salleh (Kuantan), Anthony Loke (Rasah), Tian Chua (Batu) dan Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37290
03 October 2012
Himpunan Mega 3 Nov Untuk Tuntut P’raya Bersih & Adil
25 December 2011
Antara Adam Adli dan 'panglima ludah'
Negara gempar dengan insiden 17 Disember, di mana seorang aktivis telah menurunkan bendera Perdana Menteri tatkala ratusan mahasiswa turun ke jalan raya bagi menjunjung prinsip kebebasan akademik.
Berkali-kali sahabat saya yang lain bertanya tentang isu ini, dan ini pendapat saya:
Pertama sekali saya ingin merakam tahniah di atas kejayaan mahasiswa yang berjaya membawa tuntutan mereka ke tengah untuk diberi perhatian yang lebih apabila berjaya menyerahkan dua memorandum – kepada SUHAKAM dan satu lagi kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri. Kesudian Timbalan Menteri untuk turun dan bertemu mahasiswa juga harus dipuji dan dihargai. Saya secara peribadi mengagumi cara dan toleransi yang ditunjukkan beliau, selain peribadi beliau yang berakhlak, beretika dan sifar skandal.
Namun isu yang lebih penting di sini ialah tindakan Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri sewaktu acara klimaks kepada program itu. Solidariti Mahasiswa Malaysia seperti yang dijangka telah menyokong sepenuhnya tindakan Adam dalam hal ini berdasarkan beberapa hujah.
Saya juga merasakan tidak ada masalah dengan tindakan itu. Hal ini kerana, bendera yang diturunkan langsung tidak dipijak,dikoyak atau diconteng. Bendera yang hanya diturunkan selama beberapa minit itu juga akhirnya dinaikkan semula ke tempat asalnya. Kita boleh katakan tindakan Adam sebagai kurang ajar jika dia menurunkan bendera Malaysia yang menjadi lambang kebanggaan dan imej negara kita. Dalam hal ini, Adam tidak berbuat demikian. Sebaliknya, Adam telah menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri dan bendera tersebut langsung tidak melambangkan imej negara kita. Maka, soal biadab atau kurang ajar langsung tidak wujud dalam polemik ini.
Teguran buat Adam
Sebagai teman mahasiswa, ingin saya ambil kesempatan ini untuk menegur Adam Adli dalam beberapa perkara. Pertama, jika ingin melakukan acara simbolik seperti menurunkan bendera, pastikan beliau membawa sendiri bendera yang ingin digunakan dalam acara simbolik tersebut. Adalah kurang manis sebagai orang luar yang datang ke PWTC untuk menceroboh bendera kepunyaan mereka.
Saya sertakan di sini satu analogi. Sewaktu kita berdemo menentang keganasan zionis dalam beberapa episod demonstrasi sebelum ini, kita telah mengekspreskan kemarahan kita dengan membakar bendera negara Israel dan sekutu mereka, Amerika Syarikat. Adakah para demonstran telah menurunkan bendera Amerika Syarikat yang terdapat di kedutaan mereka? Jawapannya tidak. Kita tidak menurunkan bendera yang ada di kedutaan Amerika Syarikat untuk acara simbolik membakar bendera sebaliknya membawa bendera Amerika Syarikat kepunyaan kita sendiri.
Itulah yang harus dilakukan Adam Adli agar tidak dilihat keterlaluan. Beliau perlu faham status PWTC yang merupakan ‘rumah’ UMNO. Apa yang dilakukan pada 17 Disember tempoh hari telah membuatkan beliau dilihat sebagai penceroboh dan bukannya orang yang menyatakan protes kepada kepimpinan sedia ada.
Teguran buat penyokong kerajaan
Sejurus selepas Adam Adli menurunkan bendera itu dan menaikkan bendera kebebasan akademik, maka ada pihak yang ingin menjuarai isu ini dengan kononnya menyatakan kemarahan kepada mahasiswa.
Saya langsung tidak peduli jika mereka ingin berasa marah atau apa sekali pun. Tetapi tindakan mereka yang mengugut dengan kekerasan langsung tidak mencerminkan keperibadian Melayu yang kononnya menjadi wadah perjuangan mereka selama berdekad-dekad. Sebaliknya, perangai mereka berani saya sifatkan sebagai samseng murahan dan terdesak untuk mencari perhatian!
Apakah wajar untuk seseorang yang tidak jelas jasanya kepada Melayu mengiktiraf diri mereka sendiri sebagai ‘panglima’? Apakah wajar individu-individu sebegini berniat untuk meludah mahasiswa? Apakah mahasiswa ini hanya sekadar sampah-sampah picisan untuk diludah sesuka hati?
Jika benar Adam Adli telah melakukan sesuatu yang mereka kurang senang, tegurlah beliau dengan kaedah yang berhikmah. Hal ini tidak perlu saya ajarkan di sini memandangkan mereka lebih senior dan sepatutnya tahu cara untuk menegur Adam dan kami adik-adik mahasiswa dengan pendekatan yang baik dan rasional.
Tetapi sayang, golongan ‘panglima‘ ini lebih berminat menggunakan ‘ludah’ berbanding teguran yang membina dan bermanfaat.
Ingin saya tinggalkan satu soalan kepada mereka, di mana mereka tatkala warga luar berpesta menghina negara kita dan menbakar bendera negara kita suatu masa dulu? Adakah sifat kejantanan dan kepahlawanan panglima-panglima ini hanya berkesan pada mahasiswa sahaja?
Moga semua pihak beroleh pengajaran daripada peristiwa 17 Disember 2011. Moga semua berada dalam perlindungan, petunjuk dan rahmat Allah.
Syad Adzman - Harakahdaily
14 December 2011
15 Siswa Jadi Mangsa Undang-Undang Perhimpunan Aman Ciptaan Umno
Seramai 15 orang mahasiswa ditahan polis ketika terbabit dalam perhimpunan flashmob di KL Sental dekat ibu negara bagi menuntut kebebasan akademik yang didakwa makin dikekang kerajaan.
Mereka antara kira-kira 30 orang yang menyertai bantahan senyap di depan pintu utama stesen transit itu, yang diketuai pengerusi perkumpulan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) Mohd Safwan Anang.
Namun, hanya beberapa minit selepas sempat berkumpul, kira-kira 25 mahu mereka bersurai tetapi ini tidak dihiraukan oleh mereka. Polis kemudian mula bertindak dan menangkap mereka.
15 daripada mereka dibawa ke balai polis berhampiran.
Kumpulan mahasiswa itu menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta autonomi akademik dijamin pihak kerajaan.
Mereka membawa sepanduk dan poster yang berbunyi 'Kami bersatu untuk kebebasan akademik' dan 'Berikan autonomi keada universiti' dan juga kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan 'bebas'.
Ketua polis daerah Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberi mereka dua minit untuk menyampaikan mesej dan kemudiannya mengarahkan mahasiswa berkenaan supaya bersurai.
Pelajar pada mulanya hanya mendiamkan diri dan mengikuti Mohd Safwan yang secara tiba-tiba bergerak ke arah orang ramai.
Polis bertindakbalas dan dalam pergelutan kecil itu, sepanduk dan poster pelajar dirampas dan sebahagian daripada mereka ditangkap.
Wan Bari kemudian mengarahkan anggotanya membawa Black Maria. Tetapi tidak pasti sama ada mereka yang ditangkap itu dibawa ke tempat lain.
Adalah dipercayai mahasiswa itu mungkin didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Polis.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah di laman Twitter berkata beliau sedang memantau kes itu.
08 December 2011
PBB 'Amat Kecewa' Dengan RUU Perhimpunan Aman Malaysia
Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga akses bersyarat kepada pihak media di perhimpunan awam.
Pelapor khas PBB, Maina Kiai menyuarakan rasa "amat kecewanya" kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil, tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.
Maina (kanan) berkata rang undang-undang itu mengandungi takrif yang kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan, yang menurutnya telah memberikan "kuasa berlebihan" kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.
"Banyak sekatan ini adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa saja bentuk rakaman perhimpunan," kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.
Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 November dan ia diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu - pada 29 November.
Ia diluluskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar
dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama.
Rang undang-undang itu juga termasuk larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.
Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB sehingga 2013.
Seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara,
Margaret Sekaggya (kiri), berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.
"Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya," tegasnya.
Manakala pelapor khas bagi hak kebebasan bersuara, Frank La Rue, menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula secara serius rang undang-undang itu.
"Keupayaan semua individu untuk bersuara secara bebas, termasuk dalam bentuk perhimpunan aman, merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara."
Fracois Crepeau, pelapor khas hak asasi manusia bagi pendatang,
juga menggesa supaya rang undang-undang itu segera dikaji semula.
"Setiap orang berhak terhadap kebebasan berhimpun dan berpersatuan, tanpa sebarang apa jua pembezaan, termasuk kewarganegaraan," kata Crepeau.
Kesemua pakar tersebut melaporkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Geneva, dalam kapasiti bebas dan tidak dibayar.
Julai lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan kuasa yang berlebihan terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Malaysiakini
02 December 2011
Parlimen ASEAN Kecam Undang-Undang Perhimpunan Aman Malaysia
KUALA LUMPUR, 1 DIS : Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang diluluskan Parlimen baru-baru ini bukan sahaja mendapat bantahan dari rakyat negara ini malah menerima bantahan pelbagai pihak termasuk pemerhati luar negara.Pengerusi Kumpulan Perhubungan Parlimen bagi negara-negara Asean Dr.Thomas Gambke berkata RUU tersebut merupakan usaha menghalang sebarang perhimpunan dibuat.
"Tindakan ini hanya akan menghalang protes jalanan di Malaysia dan juga sesetengah kebebasan dalam mengadakan demonstrasi selain melumpuhkan pembangkang yang seharusnya diberi kebebasan untuk mengadakan kempen sesuai dengan amalan demokrasi." kata beliau dalam suatu kenyataan media yang diterima TVSelangor.
Beliau yang merupakan salah seorang penal di Deutscher Bundestag dan juga Pengerusi Kumpulan Perhubungan Parlimen bagi negara-negara ASEAN yang berpengkalan di Berlin German.
Katanya, bagi mengadakan pilihanraya yang bebas dan adil,pihak kerajaan perlu memastikan hak untuk mengadakan perhimpunan aman tidak dibatalkan.
Menurutnya undang-undang baru ini tidak akan menstabilkan Malaysia malah akan menjurus kepada konfontasi yang menggunakan kekerasan.
"Ini akan menghantar isyarat yang salah kepada pelabur-pelabur asing yang sebelum ini mengambil kira kestabilan Malaysia sebagai faktor mereka melabur disini." jelas beliau.
RAKYAT MARHAEN
29 November 2011
Sejarah Hitam Bagi Demokrasi Malaysia Tercatat Hari Ini
Rang Undang-undang Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan Dewan Rakyat selepas perbahasan kira-kira tiga empat jam oleh enam anggota parlimen.
Rang undang-undang itu - yang mengharamkan demonstrasi jalanan dan membenarkan perhimpunan lain dengan beberapa syarat ketat - lulus dengan undi suara ketika ketiadaan anggota Pakatan Rakyat yang keluar dewan sebelumnya.
Rang undang-undang itu dibahaskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).
Ia kemudiannya diikui penggulungan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.
Ahli parlimen Pakatan bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.
Mereka juga membantah keputusan Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas.
Pada 24 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan rang undang-undangi tu di Parlimen yang didakwanya meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malah turut mengambil kira kepentingan awam dan masyarakat setempat.
Rang undang-undang berkenaan dibacakan untuk kali kedua selepas dibentang untuk bacaan kali pertama pada 24 November lalu.
Bagaimanapun, bil itu menerima bantahan daripada pelbagai pihak dan dikatakan mencabuli semangat sebenar perhimpunan aman.
Ia dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis. Antaranya, didakwa mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis.
Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan.
Jumaah lalu, Kabinet bersetuju untuk melakukan enam pindaan terhadap rang undang-undang itu selepas mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil.
