Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom yang kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung dakwaan beliau terbabit dalam kes khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok, Kuantan Sabtu lalu, khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.
“(Ini) kerana pemandu/pembantu saya telah didatangi oleh enam orang yang tidak dikenali yang menawarkan ‘imbuhan lumayan’ sekiranya (dia) sanggup bekerjasama dengan mereka untuk ‘jadi saksi memburukkan saya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Badrulamin juga mendakwa beliau diberitahu oleh ayah kepada wanita yang dituduh berkhalwat dengannya itu bahawa seorang ahli parlimen Pahang yang sekarang bertugas di luar negara ada meminta nombor telefon suami wanita berkenaan melalui ketua kampung di situ.
“Untuk apa? Tentunya untuk meneruskan agenda busuk mereka menyerang Pakatan Rakyat terutama PKR melalui kes saya,” katanya lagi.
Dalam kenyataan akhbarnya selepas siasatan JAIP selama lebih dua jam, petang semalam, Badrulamin yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata keterangan yang diberikan beliau dan wanita berkenaan semasa siasatan juga tidak bercanggah.
"Bahawa kami tidak ditangkap oleh Penguatkuasa JAIP dalam keadaan berdua-duaan.
“Ketika pegawai JAIP tiba, saya berada di dalam bilik bersama beberapa orang lain sedangkan wanita itu (nama tidak disiarkan) berada di tempat lain," katanya.
'Hanya bertuala'
Sehubungan itu, kata Badrulamin, laporan media yang memetik Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai berkata mereka kononnya ditangkap oleh pegawai penguatkuasa dalam keadaan berdua-duan adalah fitnah yang jahat.
“Malah ada yang melaporkan kononnya kami bertuala ketika ditangkap. (Ini) adalah fitnah jahat dan kotor. Peguam (saya) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat itu.
Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, ketika memberi keterangan.
Sementara, wanita yang didakwa media arus perdana berkhalwat dengan Badrulamin tiba di pejabat JAIP pada jam 3.05 petang dengan menaiki sebuah kereta dengan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.
Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning dilihat keluar meninggalkan pejabat JAIP pada jam 6.20 petang.
Mereka disiasat bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Sebelum ini, Badrulamin menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan di Kuantan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR pada hujung minggu lalu.
Bagaimapun pada jam 2 pagi, beliau dihubungi wanita tersebut dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.
Katanya, beliau telah mengenali pasangan suami isteri itu sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah yang dikendalikannya dan pasangan itu juga sering berhubungan dengannya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi.
Sedia berundur
Beliau juga berkata, wanita berkenaan juga ada menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Badrulamin berkata kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau bersedia menanggungnya sendiri.
"Saya rela berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan PKR.
"Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan baik dalam parti dan negeri," katanya.
Mengulas, arahan Pejabat Menteri Besar Selangor yang mengarahkan beliau supaya bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana tidak mahu kerajaan negeri pimpinan Pakatan turut merasa tempias daripada kes itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keterangan Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar daerah.
Read More...
Summary only...
Wanita Kes Dr.Badrulamin - Beliau Berkata: 'Fitnah, Saya Tak Khalwat'
Rompin - Media digemparkan dengan berita anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan, awal pagi Sabtu lalu.
Dalam Sinar Harian semalam, Badrolamin menafikan laporan tersebut dan menegaskan, beliau hanya mahu membantu seorang wanita yang berhadapan dengan masalah keluarga.
Sinar Harian berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu. Apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian?
Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya. Ikuti pengakuan eksklusif daripada beliau.
“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!
“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!
“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.
“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.
“Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.
“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.
“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.
“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.
“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.
“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya.
Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.
Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.
“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.
“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.
Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti. -SH
Read More...
Summary only...
Apa Sebenarnya? Betul Ke Badrulamin Diperangkap?
KUANTAN, 26 Feb - Susulan kes penangkapan khalwat yang melibatkan tokoh agama dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ustaz Dr.Badrulamin Bahron
(foto) di Hotel Swiss Garden yang telah dikecohkan oleh media arus perdana semalam, maka akhirnya pemimpin terbabit tampil membuat penjelasan apakah isu yang sebenarnya terjadi kepada beliau semalam.
Kenyataan itu telah diedarkan kepada media, bagi tidak menimbulkan salah faham dan prasangka buruk semua pihak terhadap beliau. Menurut Dr.Badrulamin apa yang terjadi semalam adalah satu tindakan terancang pihak-pihak tertentu untuk memerangkap dan mengaibkan diri beliau.
"Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan. Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini. Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian", katanya.
Menurutnya lagi, pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi beliau bagi memaklumkan bahawa dirinya sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan di Hotel Swiss Garden.
JAIP bersubahat atas tangkapan Ustaz Badrulamin
"Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.
Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa", tambahnya. Difahamkan kumpulan lelaki yang bersikap ala samseng itu berhenti memukul beliau apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.
Namun mereka masih tidak membenarkan beliau keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahannya yang ketika itu berada berseorangan di dalam bilik. "Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP, Dato' Hj.Mohd Ghazali Abd Aziz (foto) bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.
Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini. Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya", tambahnya lagi.
http://sedakasejahtera.blogspot.com/2012/02/apa-sebenarnya-jaip-pula-dituduh.html
Read More...
Summary only...