BlogList Malaysia
Showing posts with label 13 mei. Show all posts
Showing posts with label 13 mei. Show all posts

29 January 2013

Tragedi 13 Mei: KEADILAN mahu SPR tarik balik ugutan ke atas rakyat

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof digesa menarik balik kenyataan meminta rakyat tidak meraikan dan membantah di jalan raya selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, tindakan Abdul Aziz itu tidak profesional dan sengaja mahu mengugut rakyat dengan kuasa yang ada padanya.


“Tidak wajar SPR buat kenyataan seperti itu. Langsung tidak profesional. Malah beliau seperti mengulangi hujah Umno yang mengatakan demonstrasi boleh mengakibatkan tragedi 13 Mei.

“Kalau Abdul Aziz rasa bertanggungjawab, beliau mesti tarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada rakyat kerana memberikan gambaran buruk kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan SPR cuba mengaitkan tragedi 13 Mei dengan keputusan pilihan raya. “Kenapa nak ugut orang awam?

Kita ada undang-undang. Mengapa SPR nak ungkit tragedi 13 Mei untuk takutkan rakyat,” soal Tian.

“Sebetulnya jika SPR ini bebas, dia (Abdul Aziz) mesti minta rakyat turun menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberi jaminan pilihan raya diadakan telus.

Tapi kenapa nak diungkit 13 Mei pula,” ujar Ahli Parlimen Batu itu. Abdul Aziz juga dilaporkan meminta pihak yang menang juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.

Menurutnya, lima kerajaan negeri bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan kononnya kebebasan SPR.

“Ini seperti SPR akan lakukan penipuan. Mana dia jaminan SPR untuk pastikan tiada penipuan dalam pilihan raya?

Kerja SPR sepatutnya tolong pastikan pilihan raya berjalan telus dan bersih, bukan jadi alat politik kerajaan,” tempelak Tian.~ kd

SPR: Jangan demo lepas p’raya, elak tragedi 13 Mei


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengingatkan kesemua parti agar tidak meraikan atau membuat bantahan di jalan raya selepas keputusan pilihan raya diumumkan, bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar berbahasan Cina Oriental Daily yang disiarkan hari ini, Abdul Aziz berkata SPR mengambil teladan daripada tragedi tersebut dan memperkenalkan peraturan yang mengharamkan sambutan atau bantahan demikian.


Katanya, pihak lain akan turut ke jalan raya dengan jumlah yang besar sehingga menyebabkan perintah berkurung terpaksa dikeluarkan.


Abdul Aziz seterusnya menasihatkan semua parti politik agar mamatuhi peratus pilihan raya dan bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan keamanan, tidak kira pihak mana yang menang dalam pilihan raya umum akan datang.


Beliau juga mengingatkan BN dan pembangkang agar tidak menggunakan isu kaum dan agama semasa pilihan raya.


Katanya, agama adalah perkara yang dekat di hati orang ramai dan ada yang sanggup menggadai nyawa demi agama mereka.


Beliau turut meminta pihak yang menang dan juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.


Katanya, lima kerajaan negeri bertukar selepas pilihan raya umum 2008 yang didakwanya menunjukkan kebebasan SPR.~ fmk



Read More...

29 November 2012

Ugutan Shahrizat: PAS Akan Buat Laporan Polis

Kenyataan Shahrizat boleh cetus huru-hara

Kuala Lumpur: PAS menyifatkan kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membayangkan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang jika Umno hilang kuasa pada PRU13 sebagai ‘bahaya’ dan ‘boleh mencetus huru-hara’.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan ketua wanita Umno itu bukan sahaja mempamerkan ketakutan Umno, malah cuba ‘mengugut’ rakyat.

“Kenyataan itu sebenarnya berbaur ancaman seolah-olah mereka akan berusaha mencetus huru-hara jika Umno kalah pilihan raya.


“Mereka cuba takutkan rakyat bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika Pakatan ambil alih kuasa,” katanya.

Kenyataan ancaman Tragedi 13 Mei akan berulang itu dimuatkan dalam teks ucapan Shahrizat di Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Merdeka hari ini.

Dalam teks itu, bekas menteri yang turut terpalit skandal RM250 juta NFC itu berkata, jika Umno tidak lagi berada ditampuk kuasa, kestabilan politik negara “akan goyang” dan pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara ini tidak akan senang.

Keadaan itu ujarnya dibimbangi akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berpendapat, kenyataan Shahrizat itu adalah hasil didikan ‘mentor politik’ Umno iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering mengeluarkan kenyataan menakut-nakutkan rakyat.

Beliau dalam pada itu meminta PAS di semua peringkat membuat laporan polis berhubung kenyataan shahrizat yang disifatkan ‘bahaya’ itu.

“Oleh yang demikian saya mewakili pimpinan PAS mengarahkan semua peringkat parti untuk membuat laporan polis di seluruh negara atas kenyataan Shahrizat itu.

“Kita minta pihak polis mengambil tindakan segera sebagai tindakan mencegah, sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya. -HD

Shahrizat selar media ‘pro pembangkang’ dalam ucapan penggulungan.

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam hari ini menyelar portal media yang dikatakan ‘pro pembangkang’ dan meminta mereka agar tidak menulis dengan sesuka hati.

“Media hari ini…. Twitterlah, FBlah, saya dah belajar dah. Belum terlambat untuk belajar.

Media sosial ini ada kebaikan dan keburukan kerana tiada ‘limit’, mereka mahu kata, mereka kata tanpa tanggungjawab.

“Tambah portal-portal ni. Guna nama Malaysian… Betul? “Apa ni? Kamu guna perkataan Malaysian, ia perlu datang dengan bangga dan maruah.

“Betul atau tidak? Janganlah, portal you (kamu) boleh nak kata saja tanpa tanggungjawab. Helah kamu — letak tajuk macam tu, kemudian orang yang dikenakan nak kena jawab, kamu tak payah jawab.

“Mana boleh macam tu, kamu yang nak perjuangkan demokrasi betul tak? Portal berita pro pembangkang pun kena bersikap adil dalam profesyen kamu, buatlah. Boleh?” kata Ketua Wanita Umno itu dalam ucapan penggulungannya.

Sebelum itu, Shahrizat turut meminta media massa agar bersikap adil kepada Wanita Umno dengan memberikan lebih bayak liputan dan bukan hanya kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang hanya mempunyai dua tiga orang ahli .

“Susah sangat untuk keluarga Wanita Umno dapat coverage (liputan).

“Saya minta media berlaku adil kepada Wanita Umno,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya pagi tadi, Shahrizat memberi amaran tentang kemungkinan berulangnya tragedi berdarah 13 Mei 1969 jika Umno kehilangan kuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

“Jika kita tidak lagi di tampuk kuasa, maka kestabilan politik negara akan goyang.

“Pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara kita tidak akan senang.

“Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

“Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi dalam negara kita? Kita pastinya tidak mahu,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno ke 66 berlangsung selama lima hari dari 27 November hingga 1 Disember.

Lebih 5000 perwakilan parti tersebut dari seluruh negara membanjiri PWTC untuk mendengar amanat pemimpin mereka menjelang pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

-Kelab Greenboc-


Read More...

20 August 2012

Jangan ungkit lagi tragedi 13 Mei, kata veteran Umno

PETALING JAYA, 20 Ogos — Veteran Umno Datuk Mazlan Harun ingin orang ramai lupakan pertumpahan berdarah 1969, semasa kontroversi politik mengenai filem tempatan “Tanda Putera” — penceritaan tentang tempoh yang paling huru-hara di Malaysia — masih berterusan.

Kontroversi itu boleh mengancam perpaduan negara sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu dipanggil pada tahun depan.

Mazlan, anak kepada menteri besar (MB) Selangor pada masa itu, telah memberi wawancara eksklusif kepada The Malaysian Insider pada minggu lalu berikutan laporan-laporan tentang satu insiden yang dikatakan telah berlaku di kediaman bapa beliau.


Dakwaan kejadian itu telah digunakan oleh beberapa blogger pro-Umno sebagai bukti bahawa pemimpin DAP, Lim Kit Siang, merupakan dalang di sebalik provokasi perkauman yang telah menyebabkan rusuhan 13 Mei, 1969, di ibu kota negara. Musuh politik Lim telah menuduh beliau yang membuat hasutan yang menyebabkan berlaku rusuhan 13 Mei yang berlaku 43 tahun yang lalu, tetapi segelintir ahli penyelidik telah menyalahkan satu perarakan diketuai Umno yang bertolak dari kediaman Datuk Harun Idris, MB Selangor pada masa itu.

Mazlan berkata beliau telah mendengar tentang kejadian tiang bendera yang dikatakan berlaku itu dari seorang bekas timbalan menteri dalam negeri, tetapi berkata diri beliau tidak dapat membuktikan kesahihan kenyataan itu.

“Saya tak mahu cakap pasal benar tak benar tapi saya dimaklumkan oleh seorang bekas timbalan menteri di dalam kementerian dalam negeri (KDN) — nama dia tak perlu disebutlah — yang membaca laporan, ini sensitif laporan ni yang mengatakan Kit Siang kencing (di bawah tiang bendera), dia bacakan.

“Kalau dia bohong saya bohonglah, itu pasal banyak orang mintak, dedahkan semua laporan tentang Mei 13,” kata beliau dalam wawancara.

Mazlan juga memberitahu, bekas timbalan menteri KDN itu membaca laporan dalaman polis berhubung dengan tragedi disebut.

“Kit Siang saya tengok dalam blog (beliau), dia buat penafian dia tak ada kat sinilah, dia kat Sabahlah,” katanya lagi.

“Mungkin polis mistaken identity (tersilap identiti) saya tak tahulah.

“Tetapi saya dimaklumkan oleh timbalan menteri ini yang Kit Siang kencing dan saya percaya Shuhaimi punya wayang ni berdasarkan pada laporan polis, laporan KDN.”
Pengarah filem “Tanda Putera”, Datin Paduka Shuhaimi Baba, berkata beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa filem durasi 117-minit itu juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin DAP sepertimana dikatakan pelbagai pihak, terutama parti politik.

“Terdapat pendakwaan bahawa terdapat watak seorang pemimpin DAP yang terkenal (prominent) dalam filem ini,” kata Shuhaimi ketika sidang media pada minggu lalu.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada watak seumpama itu dalam filem ‘Tanda Putera’.”
Lim sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut dan bohong itu yang telah dipaparkan dalam laman sosial Facebook bagi filem “Tanda Putera” kononnya beliau telah kencing di bawah tiang bendera Selangor di rumah kediaman MB Selangor semasa rusuhan 13 Mei berlaku.

Beliau menjelaskan bahawa tuduhan tersebut tidak masuk akal sama sekali kerana beliau tidak berada di Kuala Lumpur mulai 10 Mei hingga 13 Mei 1969, malah sewaktu rusuhan berlaku kerana berada di Kota Kinabalu.

Mazlan juga meminta semua pihak agar tidak mengungkit kembali kisah silam itu kerana tidak adil bagi ayahnya sudah meninggal dunia.

“Orang macam Datuk Harun dah meninggal, dia tak ada ‘chance’ (peluang) untuk cerita dia punya version,” katanya.

“So kalau kita ungkit benda-benda yang orang kata orang yang mati tak boleh jawab, dalam Islam pun kita rasa tak adillah.

“Macam Kit Siang dia boleh jawab, dia hidup, macam Datuk Harun dia tak boleh jawab.”
Di bawah serangan blogger pro-Umno yang telah berterusan menuduh Lim menghasut pertumpahan darah pada 43 tahun yang lalu, pemimpin DAP itu kekal berkata bahawa beliau tidak mungkin boleh menghasut rusuhan di ibu kota kerana beliau “tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei pada tahun 1969”.

Lim juga telah menceritakan versi beliau melalui laman web video Youtube.
Pilihanraya umum 1969 telah melihatkan perikatan yang diketuai Umno, yang pada masa itu dikenali sebagai Parti Perikatan (Alliance), hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan undi majoriti buat pertama kali selepas Merdeka.
Kekalahan Parti Perikatan yang memeranjatkan itu kemudian telah diikuti dengan rusuhan etnik yang paling teruk di Malaysia, yang dikatakan telah menyebabkan lebih dari 2,000 kematian.

Lim yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya telah menang di kerusi parlimen Kota Melaka pada tahun 1969.

Sebelum itu beliau hanyalah seorang wartawan dan bekas pembantu kepada ahli parlimen Bangsar, Devan Nair, daripada parti PAP.

Beliau, yang masih seorang ahli politik yang baru, ditahan dibawah ISA selepas berlakunya tragedi 13 Mei selama 18 bulan.

Dalam pilihanraya umum 2008, Barisan Nasional (BN) telah mengalami nasib yang serupa seperti Parti Perikatan (Alliance) dalam pilihan raya 1969, iaitu hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Tetapi BN telah berjaya kekal berkuasa kerana telah mendapat undi majoriti.
Rusuhan 13 Mei telah berulang kali dibangkitkan oleh BN untuk memujuk para pengundi supaya terus menyokong barisan pemerintah itu.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan memberitahu orang muda di Malaysia supaya bersatu padu untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan kaum seperti rusuhan 1969 itu.

Kenyataan beliau itu datang sebelum pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan akan menjadi pertempuran yang paling sengit di antara BN dan pihak pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Tetapi satu gambar yang dipapar di laman rasmi Facebook milik Pemuda Umno Sabtu lalu kelihatan mencadangkan bahawa undian untuk pihak pembangkang Pakatan Rakyat akan menyebabkan Islam diganti oleh agama

Kristian sebagai agama persekutuan. Ini menunjukkan bahawa soal agama masih digunakan untuk menakutkan pengundi dari kalangan orang Melayu-Muslim kerana pilihanraya umum ke-13 yang bakal diadakan.

Poster yang kontroversial itu menyatakan: “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu)’.”

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah menafikan pasukan beliau bertanggungjawab untuk memuat naik (upload) poster tersebut, dan juga telah menarik balik poster itu pada hari sama ia dipaparkan.

Tetapi gambar yang diposkan di Facebook itu telah pun mencetuskan perbincangan hangat di Facebook dengan segelintir pengguna Internet menyokong kenyataan itu.
Manakala pengguna Internet lain mengecam tindakan Pemuda Umno itu yang dilihatkan sebagai percubaan untuk mengapi-apikan emosi dan sentiment agama di antara penganut agama Kristian dan Islam sehari sebelum Aidilfitri, antara perayaan terbesar di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

http://razali01.blogspot.com/2012/08/jangan-ungkit-lagi-tragedi-13-mei-kata.html


Read More...

22 July 2012

Isu 13 mei yang diperbesarkan Muhyiddin

Isu 13 mei yang diperbesarkan Muhyiddin itu senjata politik yang sudah menumpul

TS Muhyiddin Yassin masih bercakap tentang isu kejadian 13 Mei dalam siri kempen beliau di mana-mana. Beliau telah mengingatkan anak-anak muda supaya bersatu di bawah BN jika kita hendak hindarkan kejadian 13 Mei dahulu. Kata-kata Muhyiddin ini tidak lebih dan tidak kurang menunjukkan yang beliau adalah dalam keadaan ‘desperado’ dan amat tertekan dengan sokongan yang merudum terhadap BN khususnya UMNO.

Di Semenanjung ini seperti yang saya telah selalu perkatakan BN itu adalah UMNO kerana parti-parti komponennya MIC dan MCA serta Gerakan sudah tidak relevan hampir seratus peratus sekarang ini. Maka UMNO itu BN, dan BN itu UMNO. Malahan UMNO kini telah terbeban dengan tanggungjawab menjaga semangat BN itu enggan menurunkan calon-calon MCA, MIC dan Gerakan walaupun UMNO tahu yang ketiga-tiga parti itu sudah lama ditinggalkan ahli-ahli dan penyokongnya.


Berbalik kepada kenyataan Muhyiddin baru-baru ini ia amat tidak bertanggungjawab dengan menakut-nakutkan orang ramai yang 13 Mei akan terjadi jika PR memenangi pilihanraya yang akan datang ini. Elok juga kita bertanya kepada Muhyiddin yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin itu, jika pun berlaku keadaan buruk itu ia akan dilakukan oleh pihak yang kalah. Mana mungkin parti-parti dalam PR melakukan kerja buruk dan hina itu jika PR adalah pihak yang menang?

Keduanya kita bertanya kepada Muhyiddin sekali lagi, mahukah Muhyiddin berada di atas forum resmi untuk menuduh yang DAP lah yang bertanggungjawab dengan kejadian 13 Mei itu? Segala penerangan dan jawapan telah diberikan oleh pihak DAP khususnya Lim Kit Siang tentang tuduhan palsu itu. Semua orang UMNO tahu siapa yang memulakan dan mahukan kejadian berdarah itu berlaku tetapi Muhyiddin masih menyalahkan pihak lain.

Di sini saya memohon supaya di adakan satu forum secara live untuk mendengar apa-apa tuduhan itu secara resmi dan meminta LKS untuk memberikan jawapan secara live kepada rakyat jelata untuk menghapuskan tanggapan palsu yang dibuat oleh Muhyiddin itu.

Sebenarnya isu 13 Mei ini memang menjadi isu berkala: ia hanya diperbesarkan apabila setiap pilihanraya tiba. Isu ini merupakan isu yang selama ini digunakan oleh BN/UMNO untuk menakut-nakutkan pengundi untuk menyokong pembangkang. Isu ini jika diperbesarkan dua puluh tahun dahulu mungkin diterima ramai. tetapi lama-kelamaan rakyat tahu juga akhirnya yang isu itu hanyalah isu pilihanraya untuk UMNO.

Isu itu merupakan senjata UMNO tetapi senjata itu sudah menumpul kerana orang ramai sudah tidak mahu lagi mendengar dongengan pimpinan UMNO yang terdesak itu. Seruan Muhyiddin supaya anak-anak muda bersatu itu memang diterima oleh mereka (anak-anak muda) tetapi mereka hendak bersatu diluar UMNO dan BN. Anak-anak muda bukan tidak nampak sejurus sahaja mereka menyertai UMNO mereka akan berhadapan dengan politik dalaman UMNO yang sentiasa berpecah belah.

Saya tidak nampak lagi UMNO boleh menjadi badan penyatuan Melayu kerana mereka yang sudah berada di dalam UMNO itu sedang merasakan pahit maung bersama aktif dalam UMNO itu. Tidak ada siapa yang tidak mahu untuk bersatu tetapi mereka tidak mahu UMNO sebagai premis mereka untuk bersatu. Mereka tahu bersatu dibawah UMNO itu bermakna mereka membantu perkembangan kegiatan rasuah dan isu rsis yang tidak ada hadnya

Anak-anak muda mahukan penyatuan itu dibawah sebuah kerajaan yang tidak rasuah kerana mereka tahu jika kerajaan dan pimpinan itu rasuah ia akan menjadi punca kepada kejatuhan tamaddun dan kerajaan itu. Rasuah merupakan musuh utama manusia dan itu sedang berlaku di dalam UMNO kini.

Anak-anak muda tahu hanya dua perkara sahaja yang boleh menyatukan rakyat disamping perkara-perkara lain. Pertamanya kita hanya akan bersatu jika isu rasis ini diberhentikan dan Muhyiddin sepatutnya belajar. Jika isu perkauman ini diperbesarkan, sampai bila-bila kita tidak akan mencapai matlamat ‘National Unity’ itu.

Keduanya ialah kerajaan yang rasuah akan akhirnya jatuh bergelimpangan dan sejarah lama dan baru telah membuktikannya. Tidak payah di ulang-ulangi lagi. Kita lihat dan anak-anak muda juga melihat yang rasuah itu sudah menjadi ‘attribute’ penting kepada UMNO. UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO.

Oleh itu kita lihat kedua-dua faktor ini menebal di dalam UMNO. Jika kita terus memberikan sokongan kepada UMNO maka ia bermakna yang kita semua mahukan negara kita dihancurkan oleh rasuah dan rakyat dipecah belahkan oleh isu perkauman yang menjadi mainan UMNO sekarang ini.

Elok kita memberi tahu pimpinan UMNO jika sudah tidak mampu untuk memperbaiki diri, elok sahaja mengangkat bendera putih: serah diri kepada rakyat dan katakan kepada rakyat yang kamu semua tidak lagi mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberikan pula peluang kepada parti-pati alternatif untuk mentadbir negara ini.

Peluang lima tahun untuk PR itu akan dapat memberikan penilaian dan diharapkan tuduhan UMNO terhadap PR itu menjadi kenyataan. Tetapi saya yakin UMNO tidak mungkin dapat menyaingi kewibawaan PR jika PR diberikan tanggungjawab mengambilalih pentadbiran negara dari UMNO dan BN itu.

Sebagaimana yang saya selalu katakan, ‘the worst of PR is a lot better than the best of BN’.

- Aspan Alias


Read More...

13 May 2010

Amaran PAS: Jangan bergurau guna tarikh 13 Mei

PAS memberi amaran kepada semua pihak termasuk Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) supaya jangan sesekali “bergurau” berhubung tarikh 13 Mei kerana peristiwa berdarah itu sangat sensitif.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei itu adalah satu sentimen perkauman yang sempit.

“Hari ini Gertak memberitahu bahawa tarikh 13 Mei dipilih kerana hanya ketika itu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masa lapang untuk hadir.

“Alasan tersebut tidak boleh diterima dan saya rasa rakyat Malaysia juga mempunyai pendapat sama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” anjuran Gertak, yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan, dipercayai ekoran tekanan daripada pelbagai pihak khususnya PAS.

Pihak penganjur berkata ia ditangguhkan selepas mendapat arahan Institut Integriti Terengganu (IIT) kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata IIT telah menasihatkan supaya perhimpunan tersebut ditangguhkan.


“Saya mendapat arahan tersebut kira-kira pukul 2 petang tadi yang meminta supaya perhimpunan ini ditangguhkan atas sebab keselamatan negara.

“Jadi kita terpaksa akur dengan arahan tersebut dan pada masa sama menghindari daripada fitnah yang dilemparkan sebelum ini,” katanya.

Salahuddin berkata PAS tidak menghalang untuk mengadakan perbincangan yang memberi sumbangan kepada orang Melayu bukan perhimpunan untuk membangkitkan semangat dan kesedaran tentang peristiwa 13 Mei.

“Kita tidak halang sebarang program yang boleh menganjak pemikiran orang Melayu melalui pentas-pentas ilmu dan motivasi yang boleh memberi impak kepada mereka.

“Selain itu, perbincangan yang diadakan perlu mempunyai intipati yang boleh menyumbang kepada masa depan negara, orang Melayu dan bangsa lain.

“Tetapi jika program ini mengenai perbincangan untuk membangkitkan semangat 13 Mei itu yang kita tentang kerana ia boleh beri kesan buruk kepada perpaduan selain bertentangan dengan semangat keharmonian negara,” katanya.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka bakal menyertai program “Melayu Bangkit” untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Tindakan Gertak yang membuat perhimpunan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei adalah tidak relevan dengan semangat yang diamalkan sekarang.

“Kita sudah berada di abad ke-21, itu bukan pemikiran orang sekarang yang sepatutnya lebih bijak berfikir,” kata Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengadakan sidang media membantah penganjuran program itu di ibu negara kelmarin.

Dewan Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis semalam berhubung penganjuran program itu.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata keputusan Gertak semalam untuk menangguhkan pertemuan hari ini adalah satu berita baik.

“Kesemua rakyat Malaysia harus sensitif dengan perasaan orang lain.

“Kita mesti sensitif dengan perkara-perkara tertentu... yang mengingatkan kita tentang pengalaman pahit masa lalu, peristiwa hitam 13 Mei,” kata beliau ketika dihubungi.

Kata beliau, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan boleh mengadakan pertemuan mereka.

“Kami tiada masalah dengan itu. Kami hanya bimbang dengan program yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei,” katanya.

Setiausaha Agung MIC S. Murugessan memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya gembira dengan keputusan menangguhkan pertemuan itu.

“Kami masih mengutuk program itu kerana perkara perbincangan masih sama. Jika mereka mahu bercakap mengenai isu 13 Mei dan mahu mendidik orang ramai, mereka seharusnya bercakap mengenai perpaduan bersama kesemua kaum,” katanya.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, kami akan menunggu dan melihat konteks perancangan mereka untuk meneruskan pertemuan itu,” katanya.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas