KUALA LUMPUR, 21 Jan — Wanita “listen, listen, listen”, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, tidak akan menghadiri untuk berkongsi pentas dengan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani KS, dalam forum “Kebebasan Akademik dan Hak Asasi” esok.
“Confirm Sharifah Zohra tak akan hadir,” kata Ema Lee Abu Samah, ahli majlis tertinggi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), terhadap forum dianjurkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM.
“Baru-baru ini Cik Yati yang juga penggerak SW1M ada terima panggilan dari wartawan menanyakan berkenaan email yang tersebar mengatakan presiden kami akan turut serta dalam sebuah forum anjuran SAMM tersebut.
“Saya nak tegaskan itu tidak benar, Sharifah Zohra tidak akan datang,” kata Ema Lee apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Apabila ditanya tentang mengapa presiden SW1M tidak mahu hadir ke forum tersebut, Ema Lee mengatakan sebabnya sudah dijelaskan oleh Sharifah Zohra (gambar) didalam klip video yang dimuat naik di laman Facebook SW1M.
Ema Lee turut mengesahkan oraganisasinya membuat laporan polis terhadap beberapa ahli SAMM yang dikatakan menceroboh masuk pejabat mereka.
“Sah memang kita ada buat laporan polis terhadap tiga lelaki yang memecah masuk ke pejabat kita dan buat sesuka hati seperti mengambil gambar dan guna cop pengesahan penerimaan kita,” katanya.
Dalam kenyataan terbukanya semalam, Sharifah Zohra berkata, selain Bawani, beliau sudah memaafkan kenyataan pemimpin-pemimpin politik negara yang mengutuknya dengan pelbagai dakwaan, yang dibuat secara sengaja atau tidak sengaja.
“Saya amat kesal kenyataan-kenyataan yang mengkritik saya secara peribadi dibuat tanpa menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya.
“Bagi saya kenyataan-kenyataan seperti ini adalah amat tidak profesional, namun saya maafkan mereka.”
Menurut beliau, penyebaran klip video tersebut adalah percubaan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta tanpa mengambil gambaran yang lebih besar.
Persepsi negatif ini juga menurutnya menyebabkan orang ramai tidak melihat video yang mempunyai empat bahagian itu dan hanya bahagian terakhir menjadi “fenomena”.
“Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M. Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak kecil saya.
“Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima ancaman SMS tidak bertanggungjawab dari individu, kumpulan dan parti politik,” katanya.
Sharifah Zohra turut mempersoalkan mengapa sumpah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti “listen, listen, listen”.
“Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.
Gambar Bawani diambilkan dari klip video.
Klip video “listen,listen,listen” selama 24 minit itu memaparkan seorang Sharifah Zohra menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan kepada penganjur forum kerana memberikan informasi yang tidak betul mengenai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk A Samad Said.
Bawani juga menegaskan negara mampu untuk menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah Zohra turun dari pentas dan berdiri di depannya.
Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah Zohra itu dan terus bercakap.
Sharifah Zohra kemudian berkata “listen” kira-kira 11 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar,” kata Sharifah Zohra kepada Bawani.
Tindakan Sharifah Zohra telah menerima banyak kritikan daripada rakyat Malaysia yang menonton klip video tersebut sehingga menyebabkan berlaku apa yang digelar fenomena “listen, listen, listen”.
0 Komen :
Post a Comment