BlogList Malaysia

15 January 2013

Apabila teringat Mahathir, teringat pula kelindan lori

UMNO begitu gusar dengan apa yang berlaku di Stadium Merdeka pada Sabtu lepas. HKR112 sangat berjaya dan kejayaan perhimpunan itu bukannya kejayaan menghimpunkan seramai ratusan ribu umat semata-mata, tetapi kejayaan rakyat yang mahukan perubahan menunjukkan manifestasi mereka hendak mengalih dan menganjak kepimpinan negara dengan pimpinan dari parti pilihan mereka. Kalau kita ikut hukum akal UMNO telah pun merudum jika pilihanraya ke-13 di adakan setahun sebelum HKR112 itu atau bila-bila selepas perhimpunan bersejarah itu.

Tetapi ada seorang bekas pemimpin kita yang lebih gusar dari pucuk pimpinan yang rakyat hendak ambil alih ini. Nama pemimpin itu ialah Dr Mahathir Mohammad dan beliau secara deras telah memberikan reaksi beliau tentang HKR112 itu. Beliau menyamakan himpunan itu sebagai bukti yang parti-parti pembangkang sedang membina gerakan untuk menumbangkan kerajaan BN seperti yang berlaku dalam siri Arab Spring di negara-negara Timur Tengah.


Komen Dr Mahathir itu tidak melambangkan beliau sebagai seorang pemimpin yang berpuas hati setelah begitu lama menjadi Perdana Menteri negara ini. Walaupun masyarakat dunia telah menganggap beliau sebagai bekas pemimpin yang kedua terkaya di dunia ini, nampaknya masih ada yang merunsingkan bekas PM yang ‘famous’ ini.. Semua tindakan dan pemikiran beliau amat mudah dibaca oleh sesiapa yang berkemampuan untuk berfikir. Rakyat sudah mahir membaca Dr Mahathir dan rakyat faham apa yang mencelarukan pemikiran beliau.

Kata perpatah, rakyat ‘sudah dapat menyelam air dalam tunggak’. Apa yang terselindung dalam hati dan benak beliau itu difahami oleh rakyat yang ramai dengan mudah. Otak beliau nampaknya belum bersara lagi walaupun tubuh dan fizik beliau sudah bersara. Pemikiran beliau lebih kencang berfikir dari semasa beliau dalam jawatan lagi. Sesungguhnya Mahathir sememangnya sudah terlalu susah untuk bersara seperti PM-PM lain yang telah tamat perkhidmatannya.

Tetapi itu semua bukannya dilakukan oleh pembangkang yang bakal mengambilalih pimpinan kerajaan ini, tetapi itu adalah hasil dari tingkah laku politik beliau sendiri. Bukan tidak pernah rakyat khususnya ahli-ahli UMNO sendiri pernah berusaha untuk menyelamatkan beliau menghadapi apa yang beliau sedang hadapi sekarang. Partinya sendiri pernah cuba untuk merehatkan beliau untuk mengelakkan beliau terus-terusan untuk merosakkan diri beliau sendiri dengan cara memberhentikan beliau.

Beliau tidak mahu akur dengan kehendak sebilangan besar ahli-ahli partinya sendiri dan sebaliknya beliau telah membunuh partinya itu semata-mata untuk beliau melakukan kerosakan bukan sahaja kepada negara tetapi terbukti beliau merosakkan pemikiran dan kehidupan beliau sendiri.

Kekalahan UMNO itu merupakan igauan beliau kerana beliau telalu takut dengan perbuatan beliau sendiri. Menganggapkan himpunan Sabtu lepas sama seperti Arab Spring yang telah menjatuhkan banyak Ketua Kerajaan di Timur Tengah adalah tidak bermoral. Rakyat keluar untuk ke Stadium bagi menunjukkan sikap mahu berubah dengan pihak kerajaan membetulkan sistem pilihanraya kita yang terlalu ‘out moded’ yang berat sebelah itu. Kita hendak merubah melalui pilihanraya dan kita hendakkan pilihanraya terlaksana dengan telus dan adil.

Perarakan ke Stadium Merdeka itu adalah untuk berkumpul dan tidak boleh menganggap perjalanan ramai-ramai ke stadium itu sebagai demonstrasi jalanan. Kita telah berarak dengan aman kerana tiada provokasi dari pihak FRU seperti yang berlaku semasa perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Dr Mahathir terlalu banyak agenda. Selain dari agenda mempertahankan UMNO untuk mempertahankan diri beliau, beliau juga mempunyai agenda tersendiri di dalam UMNO itu sendiri. Beliau sedang bertindak untuk menjatuhkan seorang pimpinan UMNO dan diambil alih pimpinan itu oleh seorang yang lain. Mahathir telah sentiasa bermain politik ‘intra-parti’ sejak dari dulu sampailah sekarang.

Tetapi sekarang Mahathir berhadapan dengan masalah kerana permainan politik intra-parti beliau tidak pasti menjadi kerana UMNO itu sendiri dijangka akan gugur dalam pilihanraya itu nanti. Justeru kekuatan PR yang bertambah-tambah itu sangat menggusarkan Mahathir kerana keadaan itu merupakan ‘spoiler’ kepada rancangan beliau untuk menaik dan menurunkan pimpinan UMNO sebelum pilihanraya kali ini.

Beliau ini tidak ubah seperti seorang kelindan lori yang menaikkan dan menurunkan barangan dari lori yang beliau naiki itu. Itulah kerja beliau selama ini. Justeru adalah penting bagi rakyat melakukan sesuatu yang baru dalam politik negara khususnya dalam pilihanraya nanti .

- http://aspanaliasnet.blogspot.com/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas