BlogList Malaysia

24 October 2012

Penapis air: Muhyiddin tidak dapat makumat tepat

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak diberi penjelasan dan maklumat yang tepat mengenai teknologi penapis air membran apabila mendakwa teknologi ini tidak praktikal kerana mahal dan tidak mampu menambah bekalan air.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mungkin tujuh tahun lalu teknologi penapis air membran ini mahal kerana baharu diperkenalkan tetapi sekarang tidak lagi.

Jelasnya, teknologi itu sangat kompetitf dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah.


“Kerajaan Selangor telah memanggil perunding daripada Kanada yang telah pun memberikan taklimat terperinci mengenai penggunaan teknologi ini yang kita anggap lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar untuk pembinaan empangan di Pahang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menerusi teknologi itu, jelasnya Negeri Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air daripada Pahang.

“Kita mampu meningkatkan kapasiti air dengan hanya membina teknologi penapis air membran di loji pembersihan air sedia ada,” katanya lagi.

Beliau menambah, penggunaan teknologi penapis air membran ini mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan 1/3 dari kos pembinaan Langat 2

Menurutnya, purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW).

Justeru, ujarnya teknologi ini mampu menampung tambahan keperluan satu juta meter padu setiap hari.

“Sekiranya Timbalan Perdana Menteri tidak faham mengenai teknologi ini, kita sedia memanggil perunding daripada Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau dan pegawai-pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pakar-pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,” katanya.

Khalid juga menjelaskan, Kerajaan Selangor mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak menentang Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

Katanya, penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna di Selangor dan Lembah Klang menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisen pada harga munasabah.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas