KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mendakwa kehadiran orang luar ke Lembah Pantai menjadi salah satu punca tercetusnya keganasan semasa ceramah PKR dan NGO 24 Mei lalu.
Katanya, semasa malam kejadian ramai orang luar yang ‘diimport’ masuk ke Lembah Pantai untuk melakukan provokasi dan menimbulkan suasana kecoh sehingga menimbulkan rasa tidak senang penduduk tempatan.
“Saya rasa kalau program libatkan orang tempatan tiada kekecohan akan berlaku.
“Bila bawak import ini yang selalu berlaku sebab ada cabar mncabar. Orang tempatan kalau ada cabar mencabar kita pun susah nak kawal kemarahan mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Santai Pemimpin Bersama Pesara Lembah Pantai di sini hari ini.
Katanya, ini dibuktikan dalam kejadian pemindahan penduduk Flat PKNS Kampung Kerinchi April lalu apabila kehadiran orang luar termasuk wakil pelajar pro pembangkang Adam Adli cuba untuk menimbulkan provokasi.
Isu tempatan
“Sepatutnya orang luar tak perlu terlibat langsung…ia isu tempatan tak payah libatkan orang luar sebab orang dalam tiada pun yang agresif,” katanya.
Keadaan itu sekaligus menurut Raja Nong Chik jelas menunjukkan Pakatan Rakyat gagal mengawal emosi penyokongnya apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian.
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai ini berkata, PKR sepatutnya mencontohi kumpulan Indraf yang mengadakan mogok lapar dan membuat himpunan di Brickfields sejak Sabtu lalu secara aman dan tertutup.
Beliau turut mencadangkan mana-mana pihak perlu memikirkan cara untuk membuat program dalam kawasan tertutup apabila berada di kawasan yang panas dan sensitif.
“Kalau buat ceramah secara tertutup, sekurang-kurangnya tak bagi kesan pada pihak berdekatan. Sama juga dengan Bersih, kalau dia buat di stadium tak akan menjejaskan suasana disekeliling,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tetap kesal dengan kejadian terbabit sehingga membabitkan kecederaan penduduk tempatan dan menyerahkan kuasa kepada polis untuk menyiasat.
Beliau juga berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan dan dijadikan alasan untuk modal fitnah pembangkang.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/28/nong-chik-orang-luar-punca-kecoh/
0 Komen :
Post a Comment