KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar pakatan pembangkang agar berhimpun di stadium seperti yang dilakukan oleh Umno jika benar-benar mahu menunjukkan kekuatan mereka.
Najib, yang juga Presiden Umno, berkata pembangkang akan bersetuju dengan tawaran untuk mengadakan perhimpunan di stadium jika mereka benar-benar mencintai keharmonian negara dan menghormati undang-undang.
"Kita berhimpun dalam stadium ini secara aman. Kita berhimpun dalam stadium ini secara tertib. Kita berhimpun dalam stadium ini kerana Umno menghormati undang-undang negara.
"Kita tak perlu ramai anggota polis. Anggota polis kelihatan ceria belaka. Mereka kelihatan senyum belaka. Mereka tak ada tension, kita pun tak ada tension. Kenapa kalau Umno boleh berhimpun dalam stadium, pihak-pihak lain tak boleh?" katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Jumaat malam.
Najib berkata alasan yang diberi pembangkang bahawa Stadium Merdeka yang ditawarkan untuk mereka mengadakan perhimpunan pada 28 April lepas tidak mempunyai nilai sejarah, merupakan satu pembohongan. Katanya kerajaan telah menawarkan agar mereka berhimpun di stadium demi menjaga keamanan dan keselamatan tetapi ditolak dengan alasan sudah terlewat.
"Padahal ada masa tiga hari lagi. Saya boleh beritahu, mereka nak tolak tawaran Stadium Merdeka kerana apa. Kerana mereka nak merempuh, mereka nak berbalah, mereka nak tendang pihak polis.
"Kalau tak ada pergeseran, tak keluarlah cerita dalam CNN, Al-Jazeera, BBC. Inilah tujuan sebenarnya. Mereka nak tunjuk kononnya kita ni kerajaan dan pihak berkuasa yang zalim. Mereka tidak hormati undang-undang negara," katanya.
Perdana Menteri berkata kekuatan Umno pada malam ini mampu merempuh mereka (peserta perhimpunan 28 April) jika mahu mempertahankan Dataran Merdeka tetapi Umno tidak bertindak sedemikian kerana mempunyai jati diri dan menghormati undang-undang negara.
"Ini kerana negara ini telah dimerdekakan oleh Umno. Dibangunkan oleh Umno dan kerana Umnolah negara akan jadi negara maju dan berjaya. Sebab itulah kita tidak redha melihat apa-apa berlaku pada negara kita. Biar apa mereka nak lakukan, Umno tetap akan menjaga maruah dan imej negara kita ini," katanya.
-- BERNAMA
Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
3 hours ago
0 Komen :
Post a Comment