Tidak syak lagi, di bawah kepimpinan MB Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agama Islam dapat terus dipertahankan di negeri itu di tengah-tengah usaha mengekalkannya sebagai negeri termaju.
Oleh itu, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemakmuraan dengan penuh adil di negeri kaya ini di bawah Pakatan Rakyat. Dengan demikian tertolaklah segala fitnah dan tuduhan Umno/BN yang kini berusaha keras untuk merampasnya dalam PRU Ke-13 akan datang.
Kemajuan pesat Selangor ini telah ditegaskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Selangor kali Kedua belas baru-baru ini.
Baginda melahirkan rasa syukur kepada Allah, apabila Selangor berjaya mengekalkan status negeri maju di negara ini. Menurut baginda lagi, kejayaan ini adalah berkat usaha gigih kerajaan dan rakyat, dalam pada itu kerajaan negeri, perlu berusaha dan terus bertindak untuk mengagihkan hasil pembangunan dan limpah rezeki kepada rakyat secara adil.
Sultan Selangor turut menyatakan bahawa ekonomi Selangor terus merekodkan pertumbuhan positif tahun 2011 walaupun dengan persekitaran luar yang sangat mencabar.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri masih berjaya dicatat pada 5.9 peratus dibantu peningkatan dalam penggunaan domestik dan pelaburan swasta merangsang eksport output dan komoditi.
"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka seperti insentif cukai dan langkah liberalisasi untuk menarik pelaburan terutama sektor perkhidmatan," titah baginda.
Baginda turut bertitah, sebagai negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan anggaran 22 peratus, Selangor perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing masuk ke dalam negeri.
Sidang Dewan Undangan Negeri itu berlangsung ketika PRU Ke-13 sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak, malah ada yang menjangkakan akan berlangsung awal Jun ini, namun segala-galanya belum pasti.
Dengan kekayaannya yang ada, Selangor terbukti menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Negara, iaitu dengan anggaran 22 peratus. Ini bermakna Selangor dan rakyatnya menjadi pembayar cukai terbesar kepada negara.
Oleh itu pemimpin Umno/BN yang mengungkit bahawa rakyat di Selangor menerima paling banyak pemberian RM500 baru-baru ini sewajarnya melihat fakta sumbangan Selangor ini dengan rasional dan fikiran terbuka.
Tidak lama dulu, dalam pertemuan saya beserta Dinsman dan Bara Jiwa dari Seniman Paksi Rakyat dengan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim di pejabatnya, Menteri Besar itu optimis bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan dapat mengekalkan prestasinya, malah akan terus meningkatkannya.
Yang menjadi fokas percakapannya dengan kami ialah hasrat kerajaannya untuk mengagihkan kemakmuran Selangor ini kepada rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama. Ini kerana, katanya, keadilah menjadi paksi utama kesyumulan Islam.
Beliau telah melawat pelbagai tempat di seluruh Selangor, menyaksikan kehidupan pelbagai golongan masyarakat. Antaranya, beliau melawat dan menyaksikan kehidupan kawasan flet murah yang penuh sesak, kawasan pedalaman yang jauh di utara Selangor dan pelbagai lagi. Beliau mendengar secara langsung masalah rakyat dengan penuh pengertian dan simpati.
Sebagai tokoh ekonomi yang pernah menjadi tokoh korporat terkenal, Tan Sri Abd Khalid sangat berhati-hati dalam mengendalikan pengurusan kewangan negeri yang kaya itu, supaya pengurusan kewangan itu berjalan dengan betul, kerana, katanya, ‘ini adalah amanah rakyat yang mesti dipegang sekukuhnya.
’
Adapun jumlah pelaburan tahun 2011 di Selangor dicatatkan sebanyak RM8.74 bilion dengan 263 projek berjaya dimajukan serta membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih 15 ribu rakyat Selangor untuk bekerja di pelbagai sektor pekerjaan. Ini suatu kemajuan yang sangat memberansangkan.
Juga sangat menarik dalam titah Sultan Selangor itu ialah baginda turut percaya dengan Menteri Besar yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mampu memartabatkan lagi agama Islam dan umat Islam di Selangor.
"Cara kerja yang profesional dapat menangkis segala fitnah dan tuduhan jahat sekaligus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam.” kata baginda.
Pada pendapat saya, dengan kemajuan negeri Selangor yang pesat, dalam masa yang sama dapat terus mempertahankan Islam seutuhnya, jelaslah bahawa kerajaan Selangor akan dapat terus memperkukuh harapan rakyat untuk membina kehidupan yang cemerlang baik di dunia mahupun akhirat.
Tan Sri Abd Khalid dan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor sudah sewajarnya dipertahankan dalam PRU ke-13 nanti. Inilah sebuah kerajaan yang sangat menjanjikan.
(Harakah Daily)
0 Komen :
Post a Comment