Menteri: Mansuh PTPTN bebankan kerajaan
Cadangan pakatan pembangkang hendak menghapuskan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia berkuasa adalah tidak relevan buat masa ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata penghapusan pembiayaan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.
Malah, kata beliau, tindakan itu juga akan mengurangkan permintaan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara, seterusnya menyebabkan ia terus ditutup.
"Kalau kita hapuskan (PTPTN) maknanya universiti awam dalam negara mesti beri secara percuma, takkan kerajaan nak bayar IPTS, siapa nak bayar IPTS?
"Maknanya IPTS akan tutup dan semua orang akan minta belajar dalam IPTA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam portal berita tempatan untuk menghapuskan pembiayaan PTPTN jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang.
Menteri Pengajian Tinggi itu berkata kerajaan sebaliknya telah mengambil pendekatan lain dalam mengurangkan beban pelajar dengan menukar status pembiayaan PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama untuk terus mecapai matlamat membentuk rakyat yang berdaya saing.
"Kalau kita pandai dapat kelas pertama, PTPTN itu tukar jadi biasiswa pada akhirnya... Kalau kata semua pelajar pun dapat kelas pertama, semua pun dapat biasiswa, jadi macam hapus jugalah PTPTN itu," katanya.
http://www.malaysiakini.com/news/193428
0 Komen :
Post a Comment