Thaipusam: Najib tak langgar hukum syarak, kata Harussani
BANGI - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat.
"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau redha dengan perbuatan agama lain tidak mengapa tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama Umno Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.
Dipetik Bernama hari ini, Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.
Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.
Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama.
Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh menjadi fitnah.
"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.
"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah... soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.
Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan redha dengan orang yang melakukan kufur. -SH
LAPORAN KENYATAAN MUFTI PERAK, HARUSSANI ZAKARIA SEBELUM INI
Najib ‘gadai akidah’ hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani
KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.
“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.
“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.
“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.
Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.
Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.
“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.
“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. -TMI
0 Komen :
Post a Comment