PASIR GUDANG – Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan sikap provokasi yang dibuat sekumpulan pemuda dalam usaha dan cubaan untuk menggagalkan Ceramah Isu Semasa Bersama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Perjiranan Sembilan Taman Air Biru, di sini, malam kelmarin.
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Johor, Syed Othman Syed Abdullah mendakwa, sekumpulan pemuda dipercayai Pemuda Umno yang membuat kekecohan melambangkan sikap pemimpin di Pasir Gudang yang mengamalkan politik kebudak-budakan.
Menurutnya, PR mencabar Pemuda Umno berdebat secara terbuka untuk membuktikan siapa pengkhianat Melayu sebenar sebagai jalan penyelesaian agar insiden kekecohan tidak lagi berulang.
“Kami kesal kerana kekecohan dan tindakan provokasi ini sudah kali keempat dilakukan oleh sekumpulan anak muda yang sama.
“Kita akan membuat satu memorandum untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menghentikan politik kotor seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Syed Othman turut menyifatkan, kehadiran lebih 3,000 orang ke ceramah berkenaan membuktikan gelombang perubahan politik di Pasir Gudang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, PR yakin Johor akan membuat kejutan besar pada PRU akan datang memandangkan dalam setiap program kebajikan yang diadakan masyarakat tidak lagi segan untuk bersama PR.
“Kita yakin rakyat akan memilih PR daripada jumlah sokongan yang semakin bertambah dan gelombang perubahan akan berlaku selagi tiada taktik kotor yang digunakan dalam PRU.
“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang berjaya mengawal keadaan dari terus berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha PKR Negeri, Syukur Ayub berkata, tindakan kumpulan pemuda itu membakar bendera PKR adalah tindakan provokasi luar batasan yang boleh mencetuskan rusuhan antara ahli parti.
Menurutnya, tindakan mencalarkan dan mengetuk kereta Mohamad Sabu sehingga kemik serta merosakkan kenderaan orang ramai yang hadir tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.
“Kami kesal kerana mereka sanggup memanipulasikan remaja sekolah untuk menimbulkan kekecohan setiap kali PR membuat ceramah di Pasir Gudang.
“Kami minta hentikan apa yang berlaku kerana kami mendapat permit yang sah dan kami tidak pernah membuat kacau terhadap ceramah yang diadakan mereka (Umno),” katanya. ...SAYA AKAN DEDAH LAGI GAMBAR GAMBAR PROVOKASI PEMUDA
Syed Othman bin Syed Abdullah
0 Komen :
Post a Comment