PAS Perak mencadangkan mufti negeri itu Tan Sri Harussani Zakaria sebagai "pemerhati" bagi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Timbalan Ketua Pemudanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss (kanan) berkata, cadangan itu dibuat kerana mereka amat bersetuju dengan nasihat Harussani kepada perdana menteri supaya membenarkan undang-undang itu dilaksanakan.
"Kami juga mencadangkan agar kerajaan negeri Kelantan melantik Tan Sri Harussani sebagai pemerhati bagi pelaksanaan hukum hudud tersebut.
"Malah kami yakin pandangan Tan Sri Harussani terhadap hukum hudud di Kelantan sudah tentunya ia sepertimana yang dijelaskan dalam Al-Quran itu sendiri," kata Dr Raja Ahmad yang juga naib ketua Pemuda PAS di peringkat pusat.
Harussani (bawah) pada 6 Oktober lalu dilapor menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membenarkan hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai “percubaan” dan memberi peluang pada undang-undang yang digubal pada tahun 1993 itu.
Katanya, oleh kerana Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri sudah mengaku bersedia, beliau menyokongnya dan menasihatkan prosedur pelaksanaannya supaya lengkap.
Lagi pun, tindakan pusat melarangnya juga akan menyebabkan kemarahan orang ramai, katanya kepada sebuah portal berita.
Dalam kenyataannya hari ini, Dr Raja Ahmad berkata, pihaknya bersedia mengadakan pertemuan Harussani demi menjayakan perlaksanaan hudud.
"Malah kami tekankan sekali lagi bahawa kami sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja asalkan untuk menjayakan perlaksanan Islam dan bukan seperti Umno yang bertarik tali dengan MCA di dalam isu Hukum Hudud ini," katanya.
Harussani sebelum ini mencetuskan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat ekoran berusaha mewujudkan kerajaan perpaduan PAS-Umno di Perak selepas pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.
0 Komen :
Post a Comment