BlogList Malaysia

21 September 2011

Sri Perdana Dan Putrajaya Milik Umno Dan Bukannya Milik Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Tidak sampai 48 jam pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘negara demokrasi terbaik di dunia’, beliau sendiri telah menelan semula kata-katanya dengan menolak amalan demokrasi.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata bahawa buktinya adalah apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa kediaman rasminya Seri Perdana dan Putrajaya adalah hak milik UMNO-Barisan Nasional.

Menurut Kit Siang, apa yang dikatakan Najib tentang Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik dunia ibarat tin kosong yang kuat bunyinya dan tidak langsung mencerminkan ciri-ciri demokrasi.


“Beliau tidak boleh berlaku zalim dan tidak demokratik. Seri Perdana dan Putrajaya bukan milik UMNO-BN, tetapi adalah hak milik rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam laporan agensi berita Bernama semalam, Najib dalam satu majlis dengan pesatuan bekas anggota Kemas di Seri Perdana telah dipetik sebagai berkata: “Ini bukan rumah saya…ini rumah Perdana Menteri UMNO dan BN. Kita mesti pertahankan Putrajaya kerana untung nasib kita dan anak cucu bergantung kepada UMNO dan BN…pihak yang lain (pembangkang) tidak boleh harap”.

Justeru, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak lupa tentang kenyataan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010 di mana Presiden UMNO itu telah meminta ahli-ahli parti mempertahankan Putrajaya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata: “ Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan.”

Begitu juga ucapannya meminta belia Malaysia mempertahankan Putrajaya daripada ditawan Pakatan Rakyat di di Himpunan Sejuta Belia yang dihadiri kira-kira 10,000 orang pada Mei lalu.

Dengan itu, Kit Siang berkata, jika Najib benar-benar serius untuk menjadikan Malaysia negara demokrasi yang terbaik di dunia, beliau perlu:

* Menarik balik kata-kata ‘walau berkecai tulang dan badan, walau bercerai jasad dari nyawa,’ dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010; dan

* Mengumumkan secara tegas dan terbuka bahawa Najib, UMNO dan BN akan menerima keputusan rakyat, termasuk menerima perubahan kerajaan di Putrajaya, dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, jika Najib gagal menerima keputusan rakyat dan masih berhajat untuk menetap di Putrajaya selama-lamanya, beliau akan menerima kesan buruk daripada rakyat dalam pilihan raya akan datang.

“Jikalau Najib tidak bersedia menerima dengan hati yang terbuka keputusan pilihan raya, keikhlasan dan kredibiliti seperti yang dikatakannya, terbuktilah Najib hanya pandai cakap kosong,” katanya.

Dipetik dari Roketkini.com



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas