BlogList Malaysia

05 September 2011

Sejarah Malaysia versi Umno nafi pejuang Melayu lain

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Selain perlu dikaji semula, Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan sejarah kemerdekaan negara telah mengetepikan ramai tokoh pejuang Melayu dan hanya mengangkat Umno sebagai wira sebenar yang menuntut kemerdekaan.

Jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan, pihaknya amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan negara ini dikaji semula dan ditulis semula “secara berilmiah dan beradab.”

Ini kerana jelas beliau, masyarakat seolah-olah melihat sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata, tanpa membabitkan tokoh lain.


“Dewan Pemuda PAS negeri Selangor menganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki, terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah. Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan ini seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hasbullah, ramai tokoh pejuang kemerdekaan termasuk Tok Janggut di Kelantan, Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Mat Kilau dan Dato’ Bahaman (Pahang), Abu Baqar Basyir dan Dr Burhanuddin Al Helmi telah dinafikan hak sebagai pejuang kemerdekaan.

“Mereka merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan negara,” katanya.

Tambah beliau, Umno akan menggunakan isu hari kemerdekaan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat agar tidak menolak parti Melayu itu.

“Umno-BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya alat kepada penjajah,” katanya.

Justeru Hasbullah menyifatkan Umno cuba meraih simpati politik berhubung isu yang ditimbulkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong.

“Umno-BN cuba menunjukkan bahawa merekalah hero sebenarnya untuk mempertahankan ketuanan Malaysia dan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara tanpa memberi ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab.

“Kami percaya timbalan presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.

Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.

Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Muhammad, lebih dikenali sebagai Mat Indera, adalah pemimpin komunis Melayu yang melancarkan serangan gerila terhadap berek polis ketika pentadbiran British.

Tegas Hasbullah, pakar sejarah perlu mendesak kerajaan supaya membuka ruang untuk membicarakan isu kemerdekaan secara telus dan terperinci.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu menyediakan satu platform untuk membincangkan perkara itu. - TMI


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas