PERKASA berharap dua undang-undang baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 mempunyai penambahbaikan dan lebih adil kepada tahanan.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pada masa yang sama, PERKASA juga mahu elemen pencegahan dalam ISA yang selama ini menjadi instrumen kepada polis bagi mengekang kegiatan subversif di negara ini dikekalkan.
Turut harus dikekalkan ialah elemen pemulihan yang juga sangat berkesan dalam menangani isu keselamatan di negara ini, katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia pada Khamis lepas mengumumkan pemansuhan ISA dan sebagai ganti dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata keberkesanan aspek pencegahan dan pemulihan dalam ISA sebelum ini dibuktikan dalam banyak kes termasuk mengekang ajaran sesat seperti Al-Arqam dan kumpulan ekstremis Al-Maunah.
"Justeru, jika ia tidak dipertahankan, bagaimana kerajaan mahu mengatasi kegiatan yang serupa, contohnya jika ada pihak yang cuba menggugat perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini kerana dalam keadaan dunia yang serba canggih, sesuatu tuduhan itu sukar untuk dibuktikan di mahkamah, ia termasuk ceramah-ceramah yang mempersoalkan hak-hak orang Melayu. Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pun sukar untuk buktikan perkara ini," katanya.
Sehubungan dengan itu katanya, PERKASA akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat bagi menyarankan elemen yang wajar dimasukkan dalam dua akta baru tersebut.
"PERKASA juga berharap sentimen politik mana-mana pihak tidak akan membayangi penggubalan akta baru tersebut, sama ada daripada pembangkang atau kerajaan sebab nak meraih undi.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk menolak dua akta baru ini jika ia dilihat tidak mempunyai elemen preventif kerana kita mahu keselamatan rakyat terus dipertahankan," katanya yang turut berharap kerajaan mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
- Bernama
18 September 2011
PERKASA: Kekalkan elemen pencegahan ISA
Dicatat Oleh
bloglist malaysia
Penanda
alat bn
,
ibrahim ali
,
ngo
,
perkasa
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment