IBU Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor (gambar kecil), Naemah Abdul Majid ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya meninggal dunia terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia di rumahnya di Taman Serdang Jaya di Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang terbunuh dalam insiden tembakan di Mogadishu, ibu negara Somalia, disifatkan sebagai seorang profesional tulen yang tidak mementingkan diri dan sanggup melakukan pengorbanan berani dalam melaksanakan tugas.
Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata: "Pemergiannya akan dicatat dalam sejarah Bernama sebagai seorang profesional yang tulen dalam memenuhi tugas dan memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan tulen.
Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, katanya, Bernama akan menghulurkan segala bantuan yang mungkin untuk meringankan kesedihan yang dialami oleh keluarganya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Allahyarham merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yeng mengikuti misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dalam membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.
Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata Bernama kehilangan rakan sekerja yang rajin dan tidak pernah mengabaikan tugasnya.
"Ini adalah satu kehilangan besar kepada Bernama kerana Faizul (Noramfaizul) adalah seorang yang komited dan tidak pernah mengabaikan tugasnya, beliau juga menunjukkan sikap profesional ketika bertugas.
"Saya selalu kerap bertemu dengan Allahyarham di lobi pejabat, dan sering bertegur sapa dan beliau saya lihat ada seorang yang peramah," katanya semasa ditemui ketika menziarah keluarga Allahyarham di Taman Serdang Raya, dekat sini, Jumaat malam.
Yong berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri dan Wisma Putra mengenai prosedur membawa balik jenazah Allahyarham.
Bernama juga akan memberikan semua bantuan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham selepas ini," katanya.
-- BERNAMA
0 Komen :
Post a Comment