KUALA LUMPUR, 13 Sept ─ Umno dan penyokongnya berada dalam sindrom penafian apabila mengetepikan kenyataan sendiri bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh kuasa asing termasuk British, kata pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.
Merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri semalam, Aziz berkata, “tapi apa yang berlaku beberapa hari ini menunjukkan Umno dan juak-juak mereka tidak berprinsip; mereka berdolak-dalik. Sekejap begitu, sekejap begini.”
“Semua orang Umno dan para penyokong mereka benar-benar dalam sindrom penafian. Nafi kenyataan dan nafi apa yang mereka sendiri pernah katakan,” kata beliau.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.
Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”
“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.
“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.
“Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan,” kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat.
Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Kenyataan itu yang menyusul pandangan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengundang kontroversi baru sementara menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”
“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” kata beliau.
Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
Penelitian ucapan beberapa perdana menteri dan juga tulisan mereka menunjukkan negara ini dijajah oleh British dan beberapa kuasa Eropah yang lain.
Antara lain, dalam ucapan ketika upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj antara lain berkata, “... hari ini satu bab baru dibuka dalam hubungan kita dengan Britai; status kolonial kita telah diberikan tempat sama rata yang penuh...”
Memoir terbaru Dr Mahathir berjudul “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad” juga menyenaraikan perkataan kolonial atau penjajahan beberapa kali.
Maklumat yang diperoleh dari laman web pertubuhan Komanwel pula menyebut, “menerusi siri perjanjian antara 1983 dan 1930, pentadbir-pentadbir kolonial British menguasai hal ehwal luar sembilan kesultanan Melayu di Semenanjung.
In 1896 the Federated Malay Sates (Selangor, Negeri Sembilan, Perak and Pahang) came into existence, with Kuala Lumpur as the capital. The sultanates of northern Borneo ─ Brunei, Sabah and Sarawak ─ also became British protectorates.
Laman itu juga menyebut, “reaksi ke atas pemerintahan kolonial bermula awa abad ke-20.”
Dr Mahathir ketika membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 juga menyebut soal British dan penjajahan.
Kata Dr Mahathir, “sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.”
“Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.
“Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali,” kata bekas perdana menteru keempat ini.
Dalam ucapannya itu, beliau juga dipetik berkata, “Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan. Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat.”
Mengulas lanjut, kata Aziz, “dalam isu ini yang jadi punca Umno melatah dan defensif ialah (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) Mat Sabu.”
“Sedangkan isu pokok yang Mat Sabu timbulkan ialah soal sambutan kemerdekaan yang sudah jadi sambutan Umno dan bukan sambutan nasional, rakyat.
“Umno terjerat dan tak boleh jawab, dan buat isu lain seperti Mat Sabu sokong komunis dan lain-lain,” kata beliau sambil menambah, dalam proses penafian itu Umno tergamak menuduh Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera sebagai komunis tanpa bukti.
Kemunculan Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 menjadi isu apabila nama itu dibangkitkan oleh Mohamad dalam ucapannya di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
0 Komen :
Post a Comment