BlogList Malaysia

14 August 2011

Larang guna pembesar suara selaras syarak

KOTA BHARU, 14 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenar masjid menggunakan pembesar suara menyiar bacaan al-Quran sebelum Subuh selari dengan syarak.

Menteri Besar berkata, Islam tidak menggalakkan bacaan al-Quran diperdengar dengan kuat terutamanya menggunakan pembesar suara kecuali azan.

"Hanya azan sahaja yang perlu dikuatkan dengan tujuan untuk menyeru umat Islam menunaikan solat dan meninggalkan sementara urusan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Rakyat Kelantan Berhad di KTC hari ini.


Beliau diminta mengulas larangan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menggunakan pembesar suara di masjid sebelum solat Subuh kerana ia dianggap mengganggu ketenteraman masyarakat berbilang kaum.

Sebelum ini media melaporkan JHEAIPP mengarahkan semua masjid dan surau menghentikan bacaan al Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh kerana bercanggah dengan hukum syarak.

Arahan tersebut juga selaras dengan keputusan masyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan pada 7 April lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam jangan begitu seronok membaca al-Quran dengan menggunakan pembesar suara kerana ia tidak elok dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak sedang tidur.

"Di Kelantan mungkin tak apa, sebab sudah menjadi perkara biasa, namun sesetengah tempat mungkin tidak boleh dan keputusan itu perlu dihormati," ujarnya.

Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, suasana masyarakat berbilang kaum perlu diambil kira apabila memperdengarkan bacaan al Quran secara kuat sebelum Subuh.

Katanya, bagi penduduk tinggal di negara yang majoritinya orang Islam perkara seperti itu tidak berbangkit kerana orang ramai sudah faham.

“Apa yang diputus di Pulau Pinang itu selaras dengan kehendak syarak kerana suasana persekitarannya bukan hanya didiami orang Islam sahaja.

“Syarak hanya membolehkan azan dilaungkan dengan kuat bagi menyedarkan orang yang tidur supaya bangun menunaikan solat,” ujarnya di sini.

Tindakan JHEAIPP turut disokong pensyarah USM, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang memberi contoh Rasulullah saw pernah melarang orang membaca al-Quran secara kuat dalam masjid kerana boleh mengganggu jemaah lain.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas