BlogList Malaysia

08 August 2011

Diam-diam Pakatan Kedah, Perlis

Semangat Pakatan Rakyat di utara Semenanjung umpama keluarga harimau, mesra menjaga anak-anak, garang menentang musuh. Di Kedah, Pakatan adalah kerajaan, di Perlis pula Pakatan sedang menanti mandat rakyat.

Dalam kunjungan Roketkini ke dua negeri tersebut baru-baru ini, pimpinan utama gabungan Pakatan bersependapat bahawa kunci untuk memenangi pilihan raya umum yang mendatang terletak kepada usaha berterusan membantu dan menangani isu-isu rakyat.

Negeri Jelapang Padi

Menurut Laporan Ketua Audit Negara pada 2009, yakni setahun selepas Barisan Nasional disepak rakyat Kedah, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya meningkatkan hasil negeri, khususnya balak sehingga 205 peratus berbanding pada 2007.

Kejayaan ini dicapai berikutan langkah kerajaan Pakatan Kedah melaksanakan pemberian kontrak secara telus dan adil melalui tender secara terbuka.


Dalam pada itu, ekoran dari perancangan strategik yang dilaksanakan, defisit belanjawan 2010, iaitu sebanyak RM16 juta telah berjaya diatasi. Dan hutang kerajaan Kedah dengan Kerajaan Persekutuan juga berjaya dikurangkan sedikit demi sedikit.

Exco Kanan Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, melalui tinjauan oleh sebuah badan bebas yang diadakan di Kedah, semenjak perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan, sokongan rakyat Kedah melonjak dengan drastik terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Apa yang dijelaskan Phahrolrazi dapat dirasai sendiri oleh penulis itu ketika bersama beberapa penduduk Alor Setar, yang rata-ratanya di bawah lingkungan umur 30 tahun sudah tergerak dengan gelombang rakyat seluruh Malaysia akan kepentingan perubahan politik di peringkat kebangsaan.

Seorang pereka grafik, yang tidak mahu namanya disebut berkata, perubahan yang dilakukan kerajaan Pakatan Kedah semenjak mengambil alih kuasa dari BN sudah menampakkan hasil.

Beliau yang mengaku sebelum ini tidak ambil peduli tentang perihal politik di peringkat negeri atau kebangsaan menjelaskan: “Barisan Nasional dah tak boleh buat apa dah… PAS punya kempimpinan lagi bagus dari BN sebelum ini. Budak-budak muda pun dah ramai sedar.”

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik pula menjelaskan penuh yakin peranan DAP sebagai rakan baik PAS dalam usaha menambahkan lagi keyakinan rakyat melalui anjuran ceramah yang diadakan bersama.

“Perkara tabu seperti sentimen perkauman yang digunakan ketika era pemerintahan BN sudah dipecahkan sama sekali,” katanya.

Mungkin ada yang menganggap kata-kata Lee hanya sebagai penaik semangat, tetapi ketika penulis berada di pejabat perkhidmatannya di Mergong, Alor Setar, tidak putus-putus kunjungan dari rakyat pelbagai lapisan kaum.

Di sini jelas sekali, walau pun penulis hanya berada di pejabatnya dalam beberapa jam, apa yang dikatakan Lee memang ada benarnya.

Bagaimana pun, Pemuda DAP Kedah lebih berhati-hati dalam mencongak sokongan rakyat terhadap DAP di negeri itu, terutamanya untuk memastikan diri tidak terperangkap dengan sikap terlalu yakin atau ‘over confident.’

Wakil Pemuda DAP Kebangsaan Kedah, KB Teoh berkata, walau pun Pakatan Kedah pimpinan PAS dijangka mendapat mandat sekali lagi untuk penggal akan datang, beliau gusar kerana penjaja-penjaja di Alor Setar dikatakan telah “dibeli” oleh MCA.

Memang mengikut sejarah DAP dan melalui apa yang dikatakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Liew Chin Tong, semenjak penubuhan DAP, kaum penjaja adalah tunjang utama kepada kekuatan DAP.

Namun realiti semasa menunjukkan rakyat dari pelbagai lapisan kaum dan status di Kedah tidak begitu mempedulikan hal-hal “kecil” sebegitu lagi kerana rata-rata, khususnya golongan muda, sudah bosan dan meluat dengan dasar-dasar BN yang tiada tiang seri.

Mereka juga sedar UMNO sebagai tonggak BN yang berangan-angan mahu merampas kembali Kedah masih tenggelam dalam kemelut rebutan kuasa dan persoalan tentang siapa mahu jadi Menteri Besar.

Jawapan untuk bukti-bukti kebencian golongan muda terhadap UMNO dan BN sudah terlampau berlambak di laman-laman Facebook.

Negeri Indera Kayangan

Berlainan dengan Kedah yang telah menyaksikan kehadiran DAP sejak 1970-an, DAP di Perlis secara rasminya mula bertapak pada 2009 dan semenjak itu dengan cepat membangun di mana sehingga sekarang sudah mempunyai tujuh cawangan.

Rekod Pakatan Rakyat atau mana-mana parti pembangkang sebelum ini di Perlis kurang cemerlang berbanding negeri-negeri lain.

Bagaimana pun, itu cerita lama. Realitinya, tahap penerimaan rakyat Perlis, seperti juga di Kedah, terhadap gelombang perubahan politik peringkat kebangsaan sudah terkesan di sanubari mereka yang tercerah hatinya.

Menurut Naib Pengerusi DAP Perlis, Abdul Manan Abdul Razak, orang sudah tidak takut lagi melihat logo Roket berbanding dahulu.

Ini kerana, menurut Manan, ketika banjir besar di utara Semenanjung baru-baru ini, anggota DAP bersama rakan-rakan dalam Pakatan banyak membantu mangsa-mangsa banjir.

“Oleh itu, logo Roket bukanlah dilihat sebagai hantu lagi,” ujarnya, merujuk kepada propaganda UMNO-BN selama setengah abad memburukkan DAP.

Ia juga membuktikan apabila sesiapa sahaja berjuang dan berkhidmat untuk rakyat dengan hati yang ikhlas, semangat budi baik dikenang juga akan timbul.

Beliau yakin Pakatan Perlis bersama rakan-rakan di Kedah akan mendapat keputusan yang lebih cantik pada pilihan raya akan datang.

Kesimpulan

Diam-diam Pakatan berisi

Diam-diam UMNO-BN buta tuli

Diam-diam rakyat tajam memerhati

Diam-diam PRU, UMNO-BN tinggal lidah dan gigi.

-Roketkini-

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas