Personaliti televisyen popular Wardina Safiyyah berkata beliau setakat ini masih belum mengetahui status kontraknya dengan stesen TV3 berhubung isu melibatkan kehadirannya di satu program anjuran PKR pada 26 Jun lalu.
"Saya masih belum bercakap lagi dengan mereka berhubung perkara itu," kata pengacara bagi program Malaysia Hari Ini (MHI) itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Difahamkan, Wardina setakat ini tidak menghadapi masalah berhubung status kontrak berkenaan walau timbul persoalan mengenai sikapnya yang kini didakwa berani menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.
Persoalan itu dimuatkan dalam beberapa laman blog pro-BN, antaranya melalui anwaraidc.com dalam tulisan bertajuk 'Wardina Safiyyah Secara Terbuka Sokong Anwar.'
Tulisan yang disiarkan pada Isnin itu antara lainnya menyebut, Wardina sebelum ini telah "dicurahkan dengan bayaran mewah oleh TV3."
Beliau turut ditanya mengapakah sesetengah pihak mempertikai kehadirannya di program berkenaan, semata-mata kerana beliau berkhidmat dengan stesen milik kumpulan Media Prima itu.
Dengan pantas Wardina menjawab, itulah juga soalan yang ingin dikemukakannya.
"Saya sebelum ini pernah berjumpa (menteri besar Kelantan) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka (penulis blog) timbulkan isu besar juga mengenai itu. Tapi kemudiannya (isu berkenaan) surut.
"Mereka faham tujuan saya berada di sana (berjumpa Nik Abdul Aziz), tiada cakap-cakap politik (berlaku)," katanya yang berharap isu yang kini panas diperkatakan itu akan kembali sejuk.
Wardina yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang apolitikal berkata, beliau turut menjadi sasaran mudah untuk dilabelkan sebagai pro-Pakatan kerana secara umumnya masyarakat Malaysia amat suka meletakkan label kepada seseorang.
"Kita juga menekan mereka jika mereka tidak bersetuju dengan kita, tapi semua orang ada hak untuk hidup di negara ini.
"Saya cuma ingin menghulurkan tangan dan menghubungkan jurang ini. Ianya OK jika kita ada perbezaan pendapat, ianya satu perkara yang baik.
"Tapi ianya menjadi isu yang sangat serius, dengan menakutkan mereka, tidak membenarkan mereka bercakap dengan orang lain, ramai rakyat yang akan ketinggalan," katanya lagi yang turut meminta maaf sekiranya kehadirannya di majlis berkenaan menimbulkan kekeliruan kepada stesen TV berkenaan.
Dalam satu sidang media pagi ini, Wardina dilaporkan berkata beliau tidak mengatahui bahawa program Karnival Mesra Rakyat di Petaling Jaya itu adalah anjuran PKR.
Mkini
0 Komen :
Post a Comment