Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus diperkudakan oleh Umno-Barisan Nasional menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13.
Terbaru, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendedahkan taktik agensi kerajaan itu meminta RM48,000 daripada parti berkenaan untuk memberikan maklumat daftar pemilih yang setelah diteliti, tidak mengandungi maklumat lengkap pemilih.
" Ini amat mengejutkan. Keadilan telah diminta untuk membayar RM48 ribu ringgit untuk mendapatkan daftar pemilih induk 2010, yang diwartakan pada 19 Mei lalu. Namun daftar pemilih yang dibekalkan tidak mempunyai alamat yang lengkap,"kata Azmin pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Azmin lagi, keadaan semasa ini begitu mengecewakan memandangkan SPR sepatutnya menyediakan maklumat yang bersih dan telus mengenai daftar pemilih kepada parti.
Merujuk apa yang berlaku di kawasannya, Azmin mendakwa hal ini bertujuan untuk memudahkan Umno memasukkan pengundi hantu ke kawasan tersebut.
" Hampir ke semua nama-nama yang dibekalkan oleh SPR hanya mempunyai nombor rumah sahaja. Tidak ada alamat yang penuh. Tidak ada blok, tidak ada jalan, tidak ada alamat yang lengkap.
" Bagaimana mungkin kita dapat mengesahkan sama ada pemilih-pemilih ini benar-benar duduk di kawasan berkenaan sekiranya alamat-alamat tidak diberikan. Ada pemilih yang diberikan alamat tetapi lebih 90 peratus pemilih tidak ada alamat dalam daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR yang perlu dibeli oleh parti politik,"katanya lagi.
Jelas Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, hal ini terbongkar apabila beliau sendiri bertemu Ketua Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed bagi mendapatkan penjelasan perkembangan terakhir PRU.
Beliau diberitahu, ada arahan baru diterima berhubung pemberian maklumat daftar pemilih dan beliau percaya ahli-ahli politik Pakatan Rakyat tidak lagi dibekalkan alamat-alamat pemilih.
Walau bagaimanapun ujar Azmin, meski pelbagai halangan diterima daripada SPR mahupun Umno, beliau yakin rakyat Malaysia bijak dalam membuat pilihan pada pilihan raya umum nanti.
Malah menurut Pengarah Pilihan Raya PKR itu, beliau berpuas hati dengan persediaan jentera parti menghadapi pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa PKR berpuas hati dengan jentera parti itu menjelang pilihan raya umum yang disifatkan Azmin tarikhnya menjadi hak mutlak Perdana Menteri, tidak seperti negara lain.
" Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang begitu penting bagi rakyat Malaysia keseluruhannya kerana ia bukan sekadar menentukan tempoh pentadbiran lima tahun akan datang tetapi hala tuju negara untuk satu tempoh yang lebih panjang lagi.
" (Malah) Keadilan juga menyedari Umno kini dalam keadaan tenat untuk terus berkuasa. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang menyebut Umno akan menggunakan apa jua senjata yang ada untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor,"katanya.
14 June 2011
SPR Minta RM48,000 Untuk Beri Maklumat Daftar Pemilih
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment