Timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu memberi amaran negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor, yang menjadi idaman pentadbiran Najib, sukar boleh dipertahankan jika perikatan itu gagal menangani pendaftaran pemilih baru dalam satu jumlah yang besar.
“Tumpuan utama mereka sekarang ini adalah untuk tawan Selangor. Tapi adakah kita boleh kekal Selangor jika program daftar ini giat dibuat oleh BN?” kata beliau (gambar) ketika membentangkan usul berkaitan Himpunan Bersih 2.0 pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di sini hari ini.
Usul itu mendakwa empat tuntutan utama Himpunan Bersih 2007 belum dilaksanakan.
Tuntutan itu ialah akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik, melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, memansuhkan sistem undi pos dan umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.
Tahun lalu, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta BN mempertahankan Selangor dengan apa cara sekalipun.
Dua minggu lalu, Najib menggesa hadirin Himpunan Sejuta Belia agar mempertahankan Putrajaya daripada dikuasai pembangkang.
Ketika membentangkan usulnya, Mohamad berkata, pendaftaran pemilih kini giat dijalankan oleh Umno-BN lebih-lebih lagi di Selangor.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, pada pilihan raya tahun 2004, pendaftaran pemilih mengalami peningkatan antara empat hingga tujuh peratus.
Katanya, “tujuh peratus itu berlaku apabila pendaftaran itu berlaku secara aktif.”
“Di Terengganu, pada tahun 1999 hingga 2004, pertambahan daftar pemilih meningkat sehingga 17 peratus. Tak ada parti politik lain yang mampu buat semua ini, lebih-lebih lagi dapat pertolongan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis,” katanya lagi.
Usul dibawa Mohamad disokong oleh perwakilan dari Hulu Selangor, Mohd Khairudin Osman.
Beliau berkata, pertumbuhan undi pada tahun 2010 melonjak sehingga 4,807 pengundi.
“Selain itu, jumlah keseluruhan pertambahan undi pada suku pertama tahun 2011 pula ialah sebanyak 80,000 dan peningkatan ini mengalahkan 17 peratus di Terengganu yang dicakap oleh timbalan presiden,” katanya.
Mohamad turut menyifatkan kemenangan Umno pada setiap pilihan raya adalah disebabkan adanya undi pos sebagai penyelamat.
Kata beliau, undi pos merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh Umno semasa pilihan raya.
“Sebagai contoh semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, PAS sudah mendahului dengan 1,000 undi. Tetapi bila sampai sahaja undi pos, kita kalah dengan 58 undi sahaja dari Umno,” katanya.
Oleh itu, dalam ucapan usul itu, Mohamad menyeru agar semua ahli PAS akan turut serta dalam Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2 (Bersih 2) pada 9 Julai di Kuala Lumpur.
“Saya menyeru, agar pada perhimpunan itu, ahli PAS sahaja melebihi 300,000. Kita akan bekerjasama dengan parti politik lain, NGO untuk membuat tuntutan dan berusaha agar pilihan raya umum ke-13 nanti akan diadakan secara adil,” katanya.
Hantar anak ke balai polis kerana tak siapkan kerja sekolah
10 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment