BlogList Malaysia

19 June 2011

Misi Gaza: Batal pidato bukti Umno mahu monopoli semua, dakwa Mat Sabu

Mohamad Sabu mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan parti pimpinannya Umno cuba “memonopoli” misi kemanusiaan kedua bagi membantu rakyat Palestin yang dilancarkan malam tadi.

Timbalan Presiden PAS itu berkata beliau dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang telah diketepikan ekoran tindakan membatalkan acara pidato yang sepatutnya diadakan pada Majlis Pelancaran Lifeline4Gaza sempena majlis pelancaran oleh Najib di Stadium Badminton Cheras.

Mohamad berkata beliau sepatutnya hadir dalam program itu bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun memutuskan tidak hadir kerana terdapat ketidakadilan ke atas beliau dan beberapa NGO lain.


“NGO ini pada asalanya menjemput Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk hadir ke satu program yang pada awalnya dijadual untuk diadakan di Dataran Merdeka, namun beliau tidak dapat hadir dan saya diminta untuk menggantikannya.

“Saya rasa amat gembira kerana dapat bersama Perdana Menteri dan NGO lain sebab isu Palestin adalah isu bersama dan kita perlu membela rakyat Palestin yang tertindas.

“Saya juga diberitahu akan berucap selama 10 minit bersama wakil NGO lain sebelum Perdana Menteri, PAS memutuskan bahawa isu Palestin adalah isu bersama, namun pada pagi kelmarin (semalam) saya dihubungi, dan penganjur mengatakan ucapan saya dan NGO lain dibatalkan... hanya ucapan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di sini.

Acara pidato yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pelancaran program itu yang turut menampilkan Mohamad dibatalkan, dipercayai mendapat tekanan Pejabat Perdana Menteri.

Selain Mohamad, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga dijemput untuk menyampaikan pidato.

Tegas Mohamad, beliau tidak kisah sekiranya berucap atau tidak, namun terkilan apabila Umno bersama NGO, Aman Malaysia mengambil alih keseluruhan program itu.

Beliau yang mesra dengan panggilan “Mat Sabu” memberitahu, program itu sepatutnya menjadi platform menuntut keadilan bagi rakyat Palestin dan bukan bermotifkan politik.

“Kita tiada masalah sama ada berucap atau tidak, tapi ada perkara yang tidak diingini apabila saya difahamkan program yang dianjurkan malam tadi seolah-olah diambil alih Umno dan Aman Malaysia.

“Kita mendapati seolah-olah Umno dan Aman Malaysia mahu memonopoli dan mengetepikan parti politik dan NGO propembangkang,” katanya.

Aman Malaysia adalah NGO di bawah Umno yang diwujudkan menghantar bantuan makanan dan barang keperluan ke nagara-negara yang berdepan dengan bencana alam.

Jelas beliau, beberapa NGO yang sepatutnya menyertai misi minggu depan dijangka akan menarik diri.

“Saya yakin Perdana Menteri sama ada tahu atau tidak bahawa kejadian semalam tidak menggambarkan kebaikan kepada kesatuan ummah dan rakyat.

“Saya juga difahamkan beberapa NGO telah menarik diri daripada menyertai misi ini, Umno dan Aman Malaysia nak memonopoli dan ia sepatutnya tidak berlaku atas dasar bersama,” katanya.

Tambah Mohamad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai misi itu ataupun sebaliknya.

“Program itu menjadi gerak Umno untuk membela rakyat Gaza dan Palestin, saya juga telah dihubungi Khalid Samad yang juga salah seorang peserta dan kini sedang membuat pertimbangan sama ada mahu tarik diri atau tidak,” katanya.

Selain Khalid, Khairy dan 10 rakyat Malaysia lain termasuk dua wakil media akan menyertai misi itu.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas