UMNO tak bimbang golongan Anwarinas
UMNO tidak bimbang dengan penguasaan kumpulan Anwarinas atau golongan profesional dalam Pas malah, yakin tugas untuk menewaskan parti itu pada pilihan raya umum akan datang semakin mudah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau lebih bimbang sekiranya golongan ulama menerajui parti itu kerana golongan tersebut mendapat sokongan rakyat berbanding profesional.
"Kami tidak bimbang malah, ia memudahkan tugas kita pada pilihan raya umum nanti. Kami lebih bimbangkan kepimpinan ulama kerana sedar masih wujud elemen dalam masyarakat Melayu bahawa perjuangan Pas untuk negara Islam adalah betul.
"Sekiranya mereka masih mengekalkan kepimpinan ulama, kami akan menghadapi perlawanan yang sukar dan sengit tetapi apabila pucuk pimpinan beralih kepada golongan profesional, kami yakin tugas akan menjadi semakin mudah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pemberian biasiswa 1Malaysia Development Bhd., di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kepemimpinan baru Pas yang kini dikuasai oleh golongan profesional atau kumpulan Anwarinas pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
Menurut Mohamed Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Pas akhirnya mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh UMNO dalam membangunkan negara selama ini adalah tepat.
Katanya, kini Pas mengalihkan perhatian mereka untuk membina sebuah negara berkebajikan walaupun sebenarnya konsep tersebut telah dilaksanakan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lalu.
"Kita sudah laksanakan konsep negara yang menjaga kebajikan rakyat 60 tahun lalu sedangkan mereka mula sedar mengenai perkara tersebut pada muktamar parti itu yang ke-57," jelasnya.
Menurut Mohamed Nazri, tujuan utama Pas mengubah konsep perjuangannya daripada pembentukan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan adalah kerana parti itu yakin akan memenangi pilihan raya umum akan datang.
"Ahli-ahli parti itu kini begitu dahagakan kuasa dan yakin akan memenangi pilihan raya akan datang. Oleh itu, mereka berusaha mengubah pendekatan perjuangan dengan cuba memberi keutamaan kepada rakyat seperti yang telah lama dilaksanakan oleh UMNO," ujarnya. - Utuseks Malaysia
0 Komen :
Post a Comment