BlogList Malaysia

07 June 2011

Aku Melayu Keliru

Aku belia Melayu, rakyat Malaysia. Ibubapa aku dua-dua Melayu, rakyat Malaysia.

Masa aku kecil, ayah aku selalu cakap, bila aku sudah besar nanti, mesti tolong bangsa aku. Tapi dia juga cakap, tolong dengan cara majukan bangsa sendiri, dan jangan jatuhkan orang lain. Tapi bila aku sudah besar, banyak aku tengok pemimpin negara aku cuba nak tolong bangsa aku, tapi mereka sekat peluang bangsa lain. Aku keliru.

Ibubapa aku cakap sekolah itu penting, dan perpaduan juga sangat penting. Bila sudah besar, aku dapat masuk sekolah asrama penuh, ada Melayu, India, dan Cina. Siam pun ada. Aku tiada masalah nak bergaul. Aku jarang dengar pasal masalah perkauman, cuma daripada buku teks sejarah. Tapi bila aku keluar, aku jumpa ramai kawan lain. Bila borak-borak, mereka kata sekolah mereka dipenuhi satu bangsa saja, sama ada Melayu, Cina atau India. Mereka jadi terlalu selesa bergaul dengan bangsa sendiri. Aku keliru lagi.


Bila cerita pasal dakwah, aku bukanlah mahir. Tetapi yang aku faham, dalam dakwah, Muslim mengingatkan sesama muslim tentang Islam, dan menceritakan kepada yang bukan Muslim tentang keindahan agama ini. Betapa indahnya konsep ini. Namun, bila aku sudah celik mata, lain yang aku nampak. Jarang dilihat rakan sebaya aku yang kuat berdakwah rapat bersama rakan kaum-kaum lain. Sebahagian mereka hanya hidup sesama mereka, hanya segilintir sahaja yang muncul kehadapan, berkongsi idea dengan rakan-rakan daripada agama yang lain. Aku jadi keliru.

Kini aku belajar di United Kingdom atas budi tak terhingga oleh MARA. Dalam isu biasiswa, ramai pihak, terutamanya kaum bukan Bumiputera, ingin melihat sistem meritokrasi digunakan dengan lebih meluas dalam pemilihan pelajar. Ada juga mempertikaikan kewujudan MARA yang membantu Bumiputera namun tiada agensi untuk membantu kaum-kaum lain. Namun sejak kecil lagi, aku difahamkan pembahagian kuota untuk biasiswa adalah penting untuk mengurangkan jurang ekonomi di antara Bumiputera dan kaum-kaum lain.

Yang buat aku keliru adalah kenapa ada rakan Bumiputera aku yang bijak akademik dan tinggi sahsiah diri tidak mendapat biasiswa untuk perubatan ke luar negara, tapi ada kenalan Bumiputera yang sederhana akademik dan mempunyai pelbagai masalah disiplin mendapat biasiswa untuk pilihan yang sama?

Bila cakap pasal bangsa dan peluang, tak habis-habis debat sama ada pertolongan patut diberikan mengikut bangsa atau mengikut keperluan. Kalau ikut bangsa, kononnya kena adil dan tolong Bumiputera. Kalau ikut keperluan, mesti tolong siapa-siapa yang memerlukan tanpa mengira bangsa. Tapi berdasarkan fakta kemiskinan tahun 2009, semestinya jauh lebih banyak Bumiputera yang miskin (5.3 peratus) berbanding kaum Cina (0.6 peratus) dan kaum India (2.5 peratus).

Jadi, di kalau kita memberi pertolongan mengikut keperluan, sememangnya pertolongan ini akhirnya akan diberikan kepada Bumiputera juga. Maka apa lagi halangan untuk kita untuk dengan terbuka memberi bantuan ekonomi, kepada yang miskin terutamanya, berdasarkan siapa yang memerlukan? Oh mungkin pertolongan yang dimaksudkan adalah untuk Bumiputera yang sudah kaya untuk jadi lebih kaya. Aku jadi keliru.

Namun begitu, harapan masih ada untuk Malaysia. Masih ada Melayu yang percaya bangsanya perlu digalakkan untuk berjaya, bukan hanya disuap semata-mata. Ada juga Melayu yang sentiasa memperkasakan diri supaya mampu menjadi pemimpin bagi semua bangsa. Ada juga Melayu yang tidak hidup dalam kepompong Melayu dan rapat dengan rakyat Malaysia yang tidak berbangsa Melayu.

Namun, tindakan sesetengah mereka yang terlalu liberal hingga melakukan aktiviti-aktiviti yang haram di sisi Islam menjadikan mereka terlalu asing untuk dicontohi masyarakat Melayu konservatif. Aku bukanlah alim ulama dan aku sedar perkara ini tidak salah daripada segi kebebasan individu, namun secara jujurnya, sikap ini akan sedikit sebanyak mencacatkan imej mereka yang sepatutnya dicontohi.

Lebih teruk, imej kurang elok ini dianggap imej ideal untuk dicontohi masyarakat Melayu yang lain. Arak dijadikan wacana untuk bersosial dengan kaum-kaum lain walhal banyak lagi cara yang lebih dihormati.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang konservatif. Berlandaskan kepada faktor sejarah dan demografi, aku percaya negara ini perlu di pimpin oleh Bumiputera beragama Islam. Perlu, bukan wajib. Namun, untuk merealisasi perkara ini, Malaysia memerlukan pemimpin-pemimpin Bumiputera Islam yang boleh menjaga kebajikan bukan sahaja Bumiputera Islam, namun juga kepentingan bangsa-bangsa lain. Konflik kepentingan antara kaum akan sentiasa wujud, tetapi aku percaya, jika Malaysia dipimpin oleh pemimpin Bumiputera yang adil, bebas rasuah dan juga tidak mementingkan diri sendiri dan juga keluarga, pemimpin ini akan lebih dihormati dan dapat menyelesaikan konflik-konflik vital ini secara muhibah.

Siapa kata konsep 1 Malaysia jadikan aku bangsa Malaysia?

Aku bangsa Melayu, rakyat Malaysia. Aku sayang bangsa aku, aku hormat semua rakyat Malaysia, jika mereka saling hormati aku.

* Ezlan is a 2nd year medical undergraduate at Queen Mary, University of London. He tweets at @ezlanmohsen.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas