'Bangkang, jangan tak bangkang‘. Momokan itu sejak sekian lama dipalitkan kepada parti-parti pembangkang negara. Secara sinis ungkapan itu kerap diulas sebagai tabiat parti-parti lawan kepada Barisan Nasional (BN), yang didakwa hanya tahu membangkang apa saja dikemuka atau dilakukan parti pemerintah itu.
Sejak sekian lama para pemimpin BN, dibantu media kroni dan berbagai alat propaganda, dianggap berjaya membentuk persepsi umum sebegitu. Bahawa kewujudan parti-parti pembangkang tidak mendatangkan faedah kepada negara.
Gambaran dilihat seolah-olah mereka tidak ada kerja lain untuk negara kecuali membangkang apa sahaja,” catat seorang kolumnis sebuah tabloid harian, Khamis (16 Jun) lalu.
Sepertimana lazimnya, komentar yang secara jelas dibuat untuk mengampu BN itu hanya memberatkan cerita keburukan parti pembangkang. Penulis terbabit malah secara sinikal memperlekeh kualiti minda dan tahap kesedaran politik anggota pembangkang.
Cuma beliau barangkali terlupa bahawa kecenderungannya terlampau merendahkan pembangkang itu sebenarnya ikut memakan diri sendiri. Mana tidaknya jika diambil kira perkembangan terkini dalam masyarakat, khususnya setelah BN menjadi pembangkang di beberapa negeri.
Tidak keterlaluan dikatakan BN pula yang seakan tidak ada kerja lain selain membangkang apa juga yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.
Lihat saja apa kerja mereka di Kelantan. Usaha kerajaan negeri menaik taraf sebuah pasar lama, contohnya, hanya dicari kelemahan dan kekurangan, bukan yang positif. Tidak cukup sekadar merungut dan memberikan nilaian negatif, BN malah menggalakkan segelintir peniaga terus membantah dan mengadakan demonstrasi memburukkan imej kerajaan negeri.
Di Perak, sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat dulu, berbagai isu dimanipulasi untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan negeri. Satu contoh agak ekstrem, sehinggakan perancangan membina sebuah stesen minyak pun dijadikan bahan kontroversi dan dimanipulasi menerusi media massa.
Kononnya ia mengganggu masyarakat setempat. Beberapa warga emas yang tinggal berdekatan tapak cadangan pembinaan itu ditemubual. Mereka mendakwa kononnya pembukaan stesen minyak boleh menyebabkan gangguan kesihatan, terutama ekoran terpaksa menghidu bau minyak, gangguan bunyi bising kenderaan dan berbagai lagi hujah remeh.
Nampak sangat BN sengaja memanipulasi emosi penduduk secara negatif. Semata-mata kerana pembinaan stesen itu di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, terus sahaja BN mengusahakan agar ia dibangkang. Jahatnya BN, bukan?
Begitu juga apa yang berlaku di Terengganu sewaktu di bawah PAS dulu. Kita masih ingat bagaimana sekumpulan manusia yang mendakwa sebagai nelayan bersama anak-anak dan isteri dipercayai didalangi Umno berkumpul di depan banguan pentadbiran kerajaan negeri.
Ia berlaku ketika sidang Dewan Undangan Negeri Terenganu sedang berlangsung yang antara lain bercadang meluluskan usul kenaikan elaun wakil rakyat. Itulah yang dibantah para ‘nelayan’ tadi.
Kononnya itu bukan masanya untuk kerajaan negeri menaikkan elaun wakil rakyat, kerana nasib mereka (nelayan) belum terbela dan hidup dalam kemiskinan.
Kes terpencil itu diperbesarkan media kroni BN. Gambaran dan ulasan diberikan hanya segala yang negatif. Sedangkan sepertimana diketahui umum, kelulusan anjakan elaun wakil rakyat itu adalah sejajar tindakan sama diluluskan BN di peringkat Pusat.
Ia malah turut dilakukan kerajaan negeri-negeri lain diperintah BN. Mengapa tidak ada pun pihak membantah? Nampak sangat bantahan itu hanya kerana ia dibuat kerajaan PAS.
Dalam perkembangan berkaitan, yang menjuarai bantahan terhadap pembaharuan terbaru diperkenalkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dalam kaedah pemilihan Jawatankuasa Masjid ialah penjuak-penjuak Umno. Sekali lagi dapat kita simpulkan bahawa Umno mempamerkan sikap ‘bangkang, jangan tak bangkang’ apa juga yang diperkenalkan kerajaan parti lawan.
Etinya, menilai kehangatan pentas politik negara kini, gelagat ‘membangkang apa sahaja’ itu agak ketara bukan lagi menjadi milik mutlak parti-parti pembangkang. Ia sebaliknya dapat dilihat semakin menjadi kegemaran dan kecenderungan di kalangan pendokong BN sendiri.
Kes hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan raksasa kali kedua awal Julai nanti adalah contoh nyata. Tidak sukar dibuktikan betapa para pemimpin BN khususnya Umno berada di belakang bersemarak dan menyeluruhnya bantahan terhadap hasrat Bersih itu.
Sehingga rencana ini ditulis, ada maklumat mengatakan sudah lebih 400 laporan polis dibuat pelbagai pihak menuntut pihak berkuasa bertindak menggagalkan perhimpunan tersebut. Ertinya, yang kalut dan ghairah membantah dan ‘membangkang’ usaha Bersih itu ialah ‘tangan dan kaki’ BN.
Amat malang sekiranya kecenderungan yang begitu menyerlah dan diperkatakan seluruh negara kini gagal dilihat dan dinilai mana-mana pemerhati dan pengulas politik. Justeru, andainya ungkapan ‘membangkang apa sahaja’ masih mahu dimomokkan hanya kepada parti-parti pembangkang, ia menandakan kualiti minda dan tahap kesedaran politik orang berkenaan amat rendah dan sempit!
Akuilah bahawa kerja membangkang kini semakin banyak diambil alih BN
Oleh: Mat Zain Mat Isa
Guru ditahan disyaki simpan senjata, bahan letupan
30 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment