LID: Patut berhenti dialog cam ni, tulis Khairy
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menjadikan presiden kontroversial Zimbabwe Robert Mugabe yang tiba di negara ini untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi Kesembilan (LID) di Putrajaya sebagai sasaran bidasannya.
Dalam mesej di akaun Twitter, beliau juha mahu dialog antarabangsa yang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya dihentikan.
"Robert Mugabe tiba di Malaysia. Apa yang kita dapat dengan menjemput pemimpin macam dia? Dah lama dah... patut berhenti dialog cam ni," tulisnya.
Bagaimanapun tidak jelas apa yang dimaksudkan oleh Khairy dengan "dah lama dah...”. Ketua Pemuda Umno itu enggan memberikan sebarang respon apabila dihubungi oleh Malaysiakini.
Mugabe tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini.
Pemimpin berusia 87 tahun itu adalah antara pemimpin yang sentiasa menghadiri forum LID yang pertama kali diadakan di luar Langkawi.
LID dimulakan pada tahun 1995 dan merupakan ilham mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu memperkukuhkan kerjasama di kalangan negara selatan-selatan.
Inflasi terburuk di Zimbabwe
Mahathir yang juga sahabat karib Mugabe, akan menyampaikan ucapan dasar di mesyuarat berkenaan.
Dr Mahathir bersara pada 2003 tetapi Mugabe, 87, masih memerintah Zimbabwe sejak negara itu merdeka pada 1980 dan dikatakan sedang mengalami krisis ekonomi dan inflasi yang paling buruk.
Inflasi di Zimbabwe berada pada paras 7 peratus pada 1980, tetapi mencatatkan 231,150,888.87 peratus pada 2008. Satu dolar Zimbabwea (ZWD) bernilai US$1.25 pada satu ketika dulu tetapi hari ini ia hanya bernilai 361 ZWD bagi setiap US$1.
Sebelum ini, seorang lagi pemimpin, iaitu Presiden Sudan Omar al-Bashir - yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga sepatutnya tiba tetapi membatalkan lawatannya itu.
Bashir berdepan dengan waran tangkap ICC berhubung tuduhan penghapusan kaum, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di kawasan barat Sudan - Darfur.
Waran tersebut telah menjejaskan pergerakan Bashir di luar Sudan. ICC mengarahkan negara-negara anggotanya supaya menangkap Bashir jika beliau melawat, tetapi Malaysia bukan negara anggota ICC.
0 Komen :
Post a Comment