BlogList Malaysia

06 May 2011

Mufti Perlis Terlalu Melampau

Isu PAS-Umno: Mufti Perlis tak wajar label ‘pengkhianat Islam’

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tidak wajar menyamakan mereka yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam, kata seorang pegawai Jakim.

Zamihan Mat Zain, yang baru-baru ini memberikan pandangan kontroversial mengenai isu Wahabi dan Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais berkata, adalah terlalu “melampau apabila Mufti Perlis menghukum ulama Islam dan umat Islam yang tidak mahu menerima pandangannya sebagai sesat, khawarij dan pengkhianat Islam.”

“Tahukah tuan Mufti Perlis tuduhannya itu bukan hanya ditujukan kepada seorang imam terkenal atau penulis blog sahaja tetapi penghukuman tersebut dijatuhkan bersama nilai cerca dan menghina ke atas jutaan umat Islam, para ilmuan Islam dan pejuang Islam.


“Bukan perbincangan kepartian yang diutarakan di sini tetapi melampau dalam menghukum adalah sikap yang amat memalukan institusi agama negara, inikan pula dihentam secara melulu,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Sehubungan itu, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, “dengan ini diminta agar Mufti Perlis menarik kembali dan bertaubat dari kata-kata yang menghukum ulama Islam dan umat Islam secara umum sebagai sesat, khawarij dan pengkhianat Islam.”

“Mohon tarik balik dan bertaubat dengan segera sebelum terlambat,” kata beliau lagi.

“Kita sokong penyatuan Umno dan PAS, tetapi untuk mengatakan seseorang itu pengkhianat Islam hanya kerana tidak bersetuju atau tidak membantah penyatuan Umno dan Islam, saya anggap ia satu kenyataan yang tidak wajar datang daripada seorang mufti,” katanya ketika diminta penjelasan mengenai tulisan dan pandangannya dalam entri blog.

Ketika ditanya tokoh agama lain seperti Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pernah memberikan pandangan mengenai perlunya kerjasama politik PAS dan Umno, Zamihan yang pernah terlibat dalam perang kenyataan dengan Juanda (gambar) dalam isu Wahabi lebih seminggu lalu berkata:

“Ya, ada... tetapi pandangan Tan Sri Harussani tidak melabelkan seseorang itu sebagai pengkhianat Islam jika membantah penyatuan Umno dan PAS.”

“Tidak wajar sebab dalam isu PAS dan Umno ini isu politik kepartian... BN atau PAS adalah parti politik sedangkan Islam bukan parti politik, ia mempunyai nilai yang tinggi, agama yang bersifat universal,” katanya sambil menambah, perkataan “khawarij” seolah-olah menganggap seseorang itu sebagai “pengganas.”

Beberapa pihak tidak bersetuju dengan kenyataan Juanda khususnya dari PAS sendiri.

Bagaimanapun dalam kenyataan lewat semalam, Juanda yang kini berada di Arab Saudi atas jemputan kerajaan negara itu mempertahankan kenyataannya sambil berkata mengapa pemimpin-pemimpin PAS harus melenting apabila beliau mengatakan pihak yang menentang penyatuan Umno dan parti Islam itu sebagai pengkhianat Islam.

“Hairan kenapa ada yang melenting? Ini demokrasi? Saya cakap ikut nas al-Quran dan Hadis. Itu tugas saya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam kenyataan SMS.

Beliau juga berkata, jika Hamas dan Fatah boleh musalahah-berdamai hari ini di Mesir, “kenapa tidak Malaysia?”

“Golongan ekstrem dalam dua parti (Umno dan PAS) mesti disekat. Malaysia sedang menuju wajah baru. Lupakan sikap lama yang buruk,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata tidak timbul soal siapa pengkhianat Islam jika Umno dan PAS tidak bersatu.

Oleh itu katanya, apa yang perlu masyarakat faham ialah sebenarnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam tidak dibenarkan dalam agama.

“Saya rasa kita perlu faham sebenarnya kita tidak boleh putuskan hubungan silaturahim. Apa yang terjadi sekarang ialah cuma perbezaan pandangan politik dan itu merupakan perkara biasa.

“Jangan terlalu cepat mengeluarkan kata-kata pengkhianat itu. Sebuah negara demokrasi diberi kebebasan untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, terpulang kepada Mufti Perlis itu untuk berkata apa-apa sekalipun kerana ia merupakan permainan Umno.

“Dia (Juanda) nak kata apa, dia punya suka nak kata apa pun.

“Umno main sentimen ini kerana Umno sebenarnya dah tenat dan ada masalah penyakit dalam jiwa. Kita perlu sedia pakar sakit jiwa untuk pimpinan Umno kerana takut mereka akan tertekan sehingga menyebabkan mereka bunuh diri atau terjun bangunan. Jadi kita perlu bersedia,” katanya berseloroh.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad juga menganggap kenyataan Juanda sebagai seorang yang tidak memahami situasi yang berlaku antara Umno dan PAS.

Kelmarin akhbar melaporkan kenyataan Juanda yang menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu Juanda berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

“Penyatuan (Umno dan PAS) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,” katanya.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas