BlogList Malaysia

30 May 2011

Individu Yang Mengaku ‘Kasyaf’ Sewajarnya Bertaubat

Saya merujuk kepada laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini, 30 Mei 2011 yang memuatkan kenyataan Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Mohd Noor Deris. Sekalipun jawatan beliau adalah Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, namun Utusan Malaysia lebih selesa memetiknya sebagai bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat. Barangkali nama sebagai bekas AJK Dewan Ulama PAS Pusat itu lebih ‘mahal’ dan ‘bernilai’ dari jawatan yang dipegang beliau sekarang di dalam UMNO.

Di dalam kenyataan tersebut, beliau dilaporkan menggesa agar Murysidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bertaubat kerana mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam isu moral dan rakaman video seks. Mohd Noor Deris menambah lagi bahawa tindakan Nik Abdul Aziz itu jelas bercanggah dengan politik yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.


Saya kira kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Noor Deris itu ialah satu kenyataan yang ‘kurang waras’ dan tidak sewajarnya dikeluarkan oleh seorang yang bertaraf ‘ulama’. Barangkali demikianlah taraf pemikiran seorang ‘ulama’ di dalam UMNO. Di dalam isu video seks, perlu diingatkan bahawa di dalam Islam, tuduhan zina hendaklah dibuktikan di mahkamah melalui empat orang saksi yang adil. Barangkali Mohd Noor Deris hanya mengaji setakat muqaddam dan tidak berjumpa dengan ayat 4 daripada Surah an-Nur yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah (sebatlah) mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. dan mereka Itulah orang-orang yang fasik..”

Para mufassirin sepakat menyatakan bahawa tuduhan terhadap lelaki melakukan zina samalah dengan menuduh wanita melakukan zina iaitu hendaklah didatangkan empat orang saksi yang adil. Di dalam isu rakaman video seks, siapakah saksi yang boleh mengesahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pelaku di dalam video tersebut? Apa yang lebih penting lagi, kenapakah isu ini tidak dibawa ke mahkamah Syariah dan diadili mengikut hukum-hakam Islam? Justeru, tindakan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim tepat mengikut neraca Islam kerana beliau masih belum dibuktikan salah mengikut apa yang dikehendaki oleh Islam.

Saya kira, jika perlu bertaubat, orang yang perlu bertaubat ialah Mohd Noor Deris sendiri yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia memiliki ilmu kasyaf sehingga tidak mahu bersalam dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana didakwanya menjadi tangan syaitan ketika kempen pilihanraya kecil DUN Galas beberapa ketika lepas. Jika Allahyarham Ashaari Muhammad, pengasas al-Arqam pernah ditahan ISA kerana mendakwa mampu beryaqazah, saya kira dakwaan Mohd Noor Deris yang mempunyai kasyaf ini juga tidak kurang sesatnya.

Pada saya, kenyataan Mohd Noor Deris ini hanyalah satu sampah sarap yang hanya layak dimuatkan di dalam tong sampah yang bernama Utusan Malaysia.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 30 Mei 2011 / 26 Jamadil Akhir 1432

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas