BlogList Malaysia

23 April 2011

Emel 1Malaysia: Siapa Punya, Siapa Kena Bayar?

APABILA Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan “Look East Policy” pada tahun 1981, pengedar tempatan satu jenama kereta Jepun menyiarkan iklan yang bunyi lebih kurang: “Pandang Ke Timur Beli Kereta Jepun”.

Adalah perkara biasa bagi kalangan perniagaan mengambil kesempatan daripada apa saja dasar, rancangan dan slogan kerajaan untuk mencari keuntungan.

Beberapa bulan sebelum Abdullah Ahmad Badawi ditekan untuk meletakkan jawatan pada awal 2009, sebuah syarikat telah membina pintu gerbang raksasa merentangi Jalan Syed Putra untuk mengiklankan Islam Hadhari.

Apabila Abdullah turun, maka iklan itu diturunkan dan kini digantikan dengan iklan mempromosikan 1Malaysia.

Apple iPod touch 32 GB (4th Generation) NEWEST MODEL
Beberapa hari kebelakangan ini, tercetus satu lagi kontroversi. Kali ini mengenai apa yang dijenamakan sebagai “1Malaysia E-mail”.

Sejak Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, memperkenalkan 1Malaysia, banyak papan iklan yang didirikan bagi mempromosi dan meniru slogan itu sehingga ada yang seoleh-oleh mempersendakannya.

Dengan menggunakan angka satu (1) sebagai logo, ada yang mendakwa merekalah cat nombor satu di Malaysia. Kalau tidak di Malaysia, di Jepun. Atau teh nombor satu di Negeri China dan syarikat telekomunikasi nombor 1 di merata dunia.

Dalam hal emel 1Malaysi ini, yang menjadi pertikaian adalah penjelasan yang bercanggah daripada pihak-pihak yang terbabit.

Mohd Najib menulis dalam akaun Twitternya: "Let me clarify that the 1Malaysia Email is a private sector project. No public money is involved, and it's entirely voluntary."

(Biar saya jelaskan yang Emel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit, dan ia adalah sepenuhnya sukarela.)

Tetapi Pengarah Perkhidmatan NKEA bagi Pengisian dan Infrastruktur Komunikasi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, pula berkata kerajaan akan membayar 50 sen bagi setiap emel kepada pemenang konsesi iaitu Tricubes Bhd.

Mohd Najib adalah Perdana Menteri dan Pemandu/NKEA bertanggungjawab kepada beliau. Jadi cakap siapa kita hendak percaya – Perdana Menteri atau budak-budak NKEA?

Kalau ikut cakap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kita kena percaya cakap Perdana Menteri kerana pada pandangan Khairy, budak Pemandu/NKEA berkenaan adalah “Little Napoleon” yang memandai-mandai.

Jadi, macam kita pegang kerbau pada cucuk hidungnya, kita akan pegang Mohd Najib pada cakapnya iaitu “Emel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit dan adalah sepenuhnya sukarela”. Wallahualam.

Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula menyifatkan kenyataan-kenyataan mengenai '1Malaysia E-mail' sebagai amat mengelirukan.

Bukan Kaedah Yang Jadi Masalah

YANG menjadi masalah dalam urusan dengan kerajaan bukan surat, emel atau urusan lisan, tetapi sikap kakitangan awam, termasuklah menteri.

Menukarkan surat dengan emel, walaupun didakwa lebih murah dan cepat, tidak akan menyelesaikan masalah kalau kakitangan awam terus curi tulang dan tidak amanah.

Dalam masa dua tiga bulan ini saya (atau pihak-pihak yang mewakili saya) telah mengutus tiga pucuk surat kepada pihak berkuasa – sepucuk kepada seorang menteri, sepucuk kepada pegawai Jabatan Akauntan Negara dan sepucuk kepada setiausaha akhbar seorang menteri.

Surat kepada menteri langsung tidak dilayan. Surat pengesahan penerimaan pun tidak ada. Bukan minta apa pun, sekadar memberi rujukan watak kepada seorang doktor swasta untuk satu anugerah.

Surat kepada Jabatan Akauntan Negara mengambil masa lebih dua bulan untuk dijawab. Itu pun selepas yang mengancam menulis mengenainya dalam blog.

Saya bertanya kepada Jabatan Akauntan Negara macam mana nama, nombor Mykad, nombor kad pengenalan lama dan alamat rumah saya boleh jatuh ke tangan sebuah agensi swasta yang mendakwa saya ada wang di bawah Akta Wang Tidak Dituntut (Unclaimed Monies Act) yang diuruskan oleh jabatan berkenaan.

Surat kepada Setiausaha Akhbar Menteri pula mengenai keruntuhan tapak pembinaan bangunan 10 tingkat di hadapan pejabat saya di Jalan Klang Lama.

Bila ditanya, pegawai itu kata sudah dipanjangkan kepada pegawai yang bertanggungjawab. Jawapan pihak berkuasa entah bila akan sampai (kalau ada), tetapi saya sudah pun berjaya menghubungi pemaju.

Itu saya. Tak apalah, kira bicara saya agak panjang. Kalau lain tak jalan, saya boleh tulis dalam blog atau mengadu kepada surat khabar. Tetapi apa halnya dengan rakyat biasa?

Sikap dan sifat buruk macam inilah yang menyebabkan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" menjadi bahan lawak jenaka rakyat jelata.

Takut-takut Emel 1Malaysia juga akan menjadi bahan lawak jenaka. Tetapi yang lebih saya takuti adalah manakala rakyat jelata ketawa terbahak-bahak, pemegang konsesi ketawa berdekah-dekah sepanjang jalan menuju bank dengan duit secekak.

Barang dijauhkan Allah satu lagi musibah.

A KADIR JASIN


KLIK UNTUK SPONSOR BLOGLIST
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas