BlogList Malaysia

13 February 2011

Pengguna terpaksa belanja lebih RM400 juta meskipun MRT operasi

Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang yang akan menelan RM36.6 bilion didakwa dibangunkan menggunakan data pengangkutan lapuk dan boleh menyebabkan peningkatan kos tambahan RM403.5 juta dari segi perbelanjaan bahan api dalam tempoh lima tahun pertama ia operasi.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (Awer) S. Piarapakaran berkata, beban tambahan ke atas pengguna adalah ekoran ketiadaan sistem pengangkutan yang baik untuk mengangkut pengguna dari rumah ke stesen-stesen MRT.

“Ini mengenai soal akses ke stesen, bukan mengenai sistem MRT itu sendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.


Sementara MRT kemungkinan akan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat tetapi negara masih ketinggalan di belakang dari segi kemudahan pengangkutan kepada pengguna ke stesen-stesen agar mereka dapat menggunakan kemudahan itu dengan sebaik mungkin.

Piarapakaran berkata Awer telah mengadakan kajian kewangan dua minggu lalu bagi menentukan kemungkinan kerugian jika sistem MRT beroperasi kelak.

Kerugian tambahan itu, menurut beliau, adalah berdasarkan penggunaan bahan api oleh mereka apabila pergi ke dan balik stesen-stesen MRT.

“Kami mempertimbangkan anggaran kerajaan bahawa 20 peratus pengguna jalan raya akan menggunakan pengangkutan awam seperti teksi dan bas dan baki 80 peratus akan menggunakan kenderaan masing-masing,” katanya.

“Jadi, berdasarkan yang itu, kami menganggarkan bahawa kesesakan jalan raya dijangka akan wujud apabila pengguna-pengguna ini berulang alik dari rumah ke stesen,” katanya lagi.

Mengikut anggaran Awer, kos tambahan bahan api kepada pengguna jalan raya sepanjang lima tahun pertama, antara 2016 dan 2020, dijangka mencecah RM403.5 juta.

Anggaran itu hanya berdasarkan pertimbangan kesesakan selama 30 minit dan kemungkinan itu akan bertambah.

“Jumlah itu kemungkinan lebih tinggi,” katanya.

Piarapakaran juga mendakwa projek berbilion ringgit itu belum memperoleh kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan juga belum ada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi saya tertanya-tanya mengapa mereka mengumumkannya dengan begitu cepat sedangkan ia kemungkinan tidak akan memperoleh lampu hijau untuk diteruskan.

“Proses EIA juga belum dijalankan dan ia akan memakan masa,” katanya.

Kerajaan menjangkakan projek pembinaan akan dijalankan Julai ini.

Menurut sumber-sumber, kata Piarapakaran, Jabatan Alam Sekitar dijadual menerima laporan EIA akhir bulan ini.

Gambaran tentang projek MRT sejauh 51 kilometer (km) melalui pameran yang diadakan untuk kepada orang ramai selama tiga bulan bermula esok.

Pameran itu akan membentangkan kepada orang ramai maklumat terperinci tentang jajaran landasan Sungai Buloh-Kajang, rancangan pengambilan tanah, maklumat tentang pembinaannya dan ciri-ciri yang akan terdapat pada stesen yang akan dibina.

Hari Terbuka MRT Lembah Klang, yang akan diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Mid Valley, akan menjadi pembuka tirai kepada pameran mengenai laluan Sungai Buluh-Kajang, yang 9.5km daripada landasannya akan dibina di bawah tanah.

Ia dipamerkan di tujuh lokasi selama tiga bulan yang berakhir pada 14 Mei ini.

Lokasi berkenaan ialah premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang serta Stesen LRT Bangsar dan pejabat SPAD di Menara Dayabumi.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas