Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melarang sama sekali umat Islam menyambut Hari Kekasih termasuklah memberi sokongan, mempromosikan, mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang berkaitan dengannya.
Dalam khutbah yang disampaikan hari ini, kedua-dua Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang mengenang hari kematian seorKang paderi mereka.
“Tiada sambutan ini dalam ajaran Islam,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid dan surau di negeri Selangor hari ini.
Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, yang kontroversi sekarang ekoran laporan bahawa Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan penguatkuasaan mengawal golongan muda beragama Islam menyambut Hari Kekasih yang jatuh Isnin ini.
Sebaliknya menurut khutbah itu, umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari tertentu sahaja.
“Keempat, pihak Media dan pengamal laman sosial adalah diminta untuk tidak mempromosikan Sambutan Hari Kekasih ini walau dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.
Bagaimanapun Jakim berkata akan mengedarkan kira-kira 15,000 kit anti-Hari Kekasih sempena pelancaran kempennya di Putrajaya malam ini.
Khutbah Jumaat Selangor berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.
“Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain.
“Ia disambut dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka,” kata teks khutbah hari ini.
Malah ia menambah, jelas dan nyata sekali bahawa sambutan Hari Kekasih bukan dari ajaran Islam yang suci, malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni manusia.
“Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan pasangan Islam di negara ini, turut meraikan Hari Kekasih ini... mereka meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa mengetahui sejarahnya,” katanya lagi.
Justeru, kata khutbah, orang Islam tidak boleh menyambutnya, menyertainya dan merayakannya. - MI
Lelaki alami masalah psikiatri maut terjun jambatan Klang
38 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment