Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka membuat pengumuman penting esok yang dipercayai mengembirakan para peniaga kecil di Kelantan khasnya peniaga Arked Uda dan Bazar MPKB.
Menurut maklumat tidak rasmi yang diterima Harakahdaily, pengumuman itu dijangka akan dibuat semasa kuliah dhuha beliau di Dataran Ilmu pagi esok.
Dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu lepas, Nik Aziz dikatakan bersetuju mengecualikan bayaran apa-apa sewa kepada para peniaga yang berpindah ke Bazaar Tok Guru selama antara 1 - 3 tahun berkuat-kuasa serta merta.
Menurut Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, peniaga di tingkat bawah dijangka akan dikecualikan apa-apa bayaran antara 1 hingga satu setengah tahun.
Peniaga di lot-lot tingkat 1 pula dijangka akan dikecualikan sehingga 3 tahun.
"Perincian mengenainya akan dibincangkan dengan para peniaga nanti," kata Husam.
Nik Aziz dijangka akan bertemu dengan para peniaga kedua-dua pusat perniagaan itu dalam majlis Maulidul Rasul minggu depan.
"Langkah ini adalah sebagai hadiah sempena Maulidul Rasul kepada para peniaga serta dalam rangka kerajaan Kelantan memberikan galakan kepada kepada para peniaga kecil di bandar Kota Bharu," kata Husam.
Low Yat Kelantan
Menurut Husam juga, sejumlah unit lot kedai di tingkat 1 dan 2 akan diperuntukkan kepada para peniaga kecil muda untuk memulakan perniagaan secara percuma.
"Kita akan khaskan untuk peniaga bahan-bahan berasas IT dan Multimedia.
"Tok Guru berharap, Bazar Tok Guru ini akan jadi seperti Plaza Low Yat di Kuala Lumpur," kata Husam.
Tanah Arked Uda
Dalam pada itu, Husam berkata, mesyuarat Exco Rabu lepas telah memutuskan kerajaan negeri mengambil alih semula tanah yang diberi milik kepada Uda di PT 207, Seksyen 11 yang telah diberikan pada tahun 1984 lalu.
Tanah itu sekarang menempatkan peniaga Arked Uda yang terpaksa pindah kerana Uda bercadang membina pangsapuri dan tiga tingkat ruang niaga yang tidak mampu dibeli oleh 115 peniaga Arked Uda sekarang.
"Ruang niaga ini dijangka disediakan Uda dengan kadar harga yang tinggi dan hanya 36 unit sahaja.
"Kerajaan negeri sedia membatalkan tindakan mengambil balik itu jika Uda sedia tempatkan semula kesemua 115 peniaganya di tapak yang sedia ada dalam pembangunan yang dicadangkan oleh mereka," kata Husam.
Husam baru-baru ini telah berunding dengan Pengerusi Uda untuk membincangkan bagi memastikan Uda memasukkan komponen unit-unit kedai peniaga kecil dalam pembangunan mereka.
"Jika Uda enggan, rancangan ambil balik ini akan diteruskan," kata Husam. - Hrkh
11 February 2011
Berita gembira peniaga kecil Kelantan esok
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment