KUALA LUMPUR, 20 Nov — PAS berharap sambutan 25 tahun memperingati peristiwa berdarah Memali selama tiga hari yang bermula malam tadi akan membuka mata generasi muda terhadap kezaliman kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno, kata Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah berkata, kesemua mereka yang terbabit — yang terbunuh dan ditahan — dituduh oleh kerajaan pusat sebagai pengkhianat agama, penentang kerajaan dan pelampau kerana rata-rata mereka adalah aktivis PAS.
“Generasi muda, saya ingat ramai yang tak tahu atau mendapat maklumat yang tidak sahih berhubung peribadi Ibrahim Libya serta peranan pusat pendidikan Islam yang diasaskannya.
“Generasi muda ini wajar diberitahu tentang kemuncak kezaliman yang dilakukan oleh Umno pada 1985,” kata Mahfuz ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Ibrahim Mahmud yang lebih popular dengan panggilan “Ibrahim Libya” serta 13 pengikutnya terbunuh ketika menghadapi lebih 3,000 anggota polis.
Seramai 35 pengikut yang lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya mengangkat mengangkat senjata memerangi kerajaan pusat. Peristiwa tersebut turut mengorbankan empat anggota polis.
Polis memanggil operasi itu sebagai Operasi Angkara/Operasi Hapus.
Peristiwa ini terjadi ketika Tun Musa Hitam ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri berada di China.
Peristiwa ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling — daerah yang dikaitkan dengan pertemuan berseajrah antara Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng dari Parti Komunis Malaya pada 1955.
Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.
Menurut Mahfuz, kehilangan jiwa yang dialami mereka yang terbabit sebenarnya bukanlah disebabkan mereka itu pengganas atau mengangkat senjata menentang kerajaan.
Tetapi dakwa Mahfuz, mereka yang terbabit dijadikan “kambing hitam” oleh kerajaan pusat demi menutup beberapa kelemahan Umno dan Barisan Nasional.
“Mereka (Umno) cuba mengalih tumpuan rakyat dari melihat kelemahan mereka. Memali pada sesetengah pandangan dari kita hanya kambing hitam.
“Perkembangan Islam di Memali dianggap ancaman pada Umno sebagaimana Umno melihat PAS sebagai ancaman padanya,” ujar Mahfuz lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan cakap-cakap umum kononnya perayaan jubli Perak ini demi menenggelam beberapa kemelut politik yang melanda pentadbir Umno pada ketika itu.
“Tak timbul mengapa dibuat sekarang sebab setiap tahun kita buat, istimewanya pada tahun ini kerana sambutan sempena 25 tahun.
“Kalau dahulu pun Umno memutar belit tentang isu Memali, sekarang pun Umno akan buat lebih dari itu kerana ia fobia dengan Islam dan kepimpinan Islam,” tambahnya.
The Malaysian Insider difahamkan selama tiga hari ini, karnival Memali sarat dengan aktiviti seperti ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.
Lebih pada itu, pantomim mengisahkan rakyat Palestin turut akan dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada rakyat.
Perasmian pembukaan malam tadi disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri perhimpunan malam ini.
Pada malam terakhir esok, ceramah akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Azman Shapawi Abd Rani dan ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria berkata kemuncak program ini ialah apabila Setiausaha PAS Kedah Senator Yusof Husin membaca satu pengkisahan mengenai peristiwa berdarah itu.
“Ini kerana beliau terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit,” katanya sambil menambah pengkisahan itu akan berlangsung esok.
Program sambutan berlangsung di Madrasah Islahiah Diniah — sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Sementara itu dalam ucapannya, Hadi berkata, tragedi Memali adalah kemuncak ketakutan Umno untuk berlawan hujah dengan PAS.
Mengkisahkan semula sejarah hitam tersebut, Presiden PAS itu berkata, ia bermula dengan isu kafir-mengkafir di mana PAS pada waktu itu dituduh mengkafirkan Umno. Ekoran itu Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad mencabar PAS berdebat.
“PAS setuju berdebat. Umno bagi pelbagai syarat yang dijangka PAS akan tolak, tetapi PAS berani menerima.
“Antaranya Umno yang menetapkan tajuk debat dan Umno yang menjadi pengerusi debat. “Apabila tiba masa dijanjikan, PAS bersiap untuk ke RTM, tiba-tiba Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu isytihar debat dibatalkan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dipetik Harakahdaily.
Hadi menambah Dr. Mahathir kemudiannya menghimpunkan pemimpin Umno dalam satu himpunan dan memarahi ulama-ulama Umno kerana tidak berani berdebat.
Kerajaan kemudiannya mula memberi tekanan terhadap PAS dengan mengganggu ceramah PAS dan ISA mula digunakan untuk menahan pimpinan PAS, kata beliau. Menurutnya, ramai pemimpin PAS yang berjaya ditahan polis melainkan Ustaz Ibrahim Libya.
“Kerajaan BN berunding dengan pimpinan PAS mohon dipujuk supaya Ustaz Ibrahim menyerah diri, namun PAS membantah.
“Sebaliknya kita mendesak supaya arahan menangkapnya ditarik balik.
“Oleh kerana mereka tidak mampu berhujah, kemuncaknya berlakulah pembunuhan Memali,” kata Hadi lagi.
Menurut Hadi lagi, tragedi Memali juga antara lain dirancang bagi mematahkan kebangkitan PAS melawan Umno ketika itu.
Namun ujarnya, semangat perjuangan PAS tidak pernah mati seperti yang diinginkan pemerintah, malah terus subur dan semakin ramai orang mendokong PAS termasuk bukan Islam.
Oleh Dzulfikar Mashoor
Kelantan: Pengedar dadah menyamar jadi pegawai risik tentera
17 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment