Berikutan adalah kenyataan penuh Zaid:
Sejak saya umumkan hasrat nak bertanding jawatan dalam PKR minggu lepas, sibuk sekali mereka yang tidak selesa dengan keputusan ini. Ada yang cuba memberi upah kapada seorang blogger Melayu yang popular untuk memburukkan nama saya. Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20 ribu kepada cabang yang mencalonkan saya, dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan Parti Keadilan Rakyat.
Kesetiaan saya juga dipersoalkan oleh sesetengah ahli-ahli Parlimen PKR, tapi kesetiaan terhadap siapa itu tidak dijelaskan. Mungkin saya ini tidak setia kepada perjuangan parti, atau kepada pemimpin tertinggi parti. Entahlah. Mungkin ahli-ahli Parlimen ini akan menjelaskan mengapa saya tidak boleh disokong hari Isnin ini dalam sidang akhbar mereka untuk mengumumkan sokongan mereka kepada gandingan hebat Anwar Ibrahim-Azmin Ali. Saya dengar Presiden Wan Azizah juga akan diminta berundur.
Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini. Semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada UMNO. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan. Teringat saya semasa di Hulu Selangor dulu, cuma masa itu UMNO yang membelasah saya.
Jawapan saya begini: Saya masuk Keadilan kerana saya mahukan parti ini berganding dengan Pakatan untuk mengubah budaya dan kuasa politik di negara ini supaya rakyat Malaysia mempunyai Kerajaan yang berlaku lebih adil dan saksama kepada rakyat jelata. Dalam perjuangan ini, kesetiaan saya tidak berganjak seinci pun. Malah semangat saya lebih kuat. Sebab itu saya ingin menawarkan diri untuk bertanding; manalah tahu kalau ahli-ahli Keadilan terpanggil untuk melihat perubahan dalam parti ini dan menyokong gandingan Anwar Ibrahim-Zaid Ibrahim. Kita tidak boleh mengubah budaya politik dan meningkatkan tahap pentadbiran negara kalau parti kita sendiri tidak mempraktikkan prinsip-prinsip yang kita laungkan itu. Saya akan huraikan semasa berkempen nanti.
Memang saya tidak setia membuta tuli. Saya menganggotai sebuah organsasi politik yang demokratik, sebuah parti yang terbuka untuk dikritik; bukan sebuah "cult organsation" yang sentiasa mendewakan pemimpin agung mereka. Saya sokong pemimpin yang benar dan bijak, dan saya sanggah pemimpin yang berpura-pura. Kalaulah ini bererti saya tidak setia saya rela dihukum oleh ahli-ahli nanti.
Ada yang memberi amaran bahawa saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba. Saya teringat lagi peristiwa 1993 di mana Tun Ghafar dibelasah oleh UMNO sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri. Jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk UMNO dilupakan begitu saja. Sedikit penghormatan dengan memberi pencalonan kepada dia pun UMNO tidak sanggup. Semata-mata kerana ada wira baru yang handal masa itu, iaitu Anwar Ibrahim. Saya tidak lupa melihat wajah muram dan lesu Pak Ghafar di Masjid Telipot Kota Bharu, keseorangan di tangga masjid walaupun masih lagi Timbalan Perdana Menteri waktu itu. Saya bersalam dan beritahu beliau saya tewas di Kota Bharu masa itu dalam pemilihan Bahagian dan tidak dapat menolongnya. Dia mengangguk.
Kalau nasib saya seperti Pak Ghafar pun saya rela. Dalam perjuangan politik saya, sifirnya mudah. Kalau benar saya sokong, kalau palsu saya bantah.
06 September 2010
PKR Dan Umno Memang Dari Tong Taik Yang Sama
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment