Speaker Dewan Negara berpendapat tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan Majlis Peguam kononnya ia telah gagal membersihkan peguam-peguam bermasalah, sehingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Menurut Tan Sri Abu Zahar Ujang, berdasarkan maklumat sebelum Majlis Peguam itu turut telah mengambil tindakan tegas ahli-ahlinya termasuk salah seorang suspek kejadian tersebut.
Abu Zahar yakin Majlis Peguam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah atau salah laku ketika mengamalkan perkhidmatan guaman mereka.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) semalam yang menyalahkan Majlis Peguam yang didakwa gagal membersihkan peguam-peguam yang bermasalah.
Bekas Presiden Persatuan Peguam Muslim ini bagaimanapun berkata, Majlis Peguam perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas mana-mana peguam jika didapati bersalah.
“Ada jawatankuasa disiplin yang akan mengambil tindakan sewajarnya (ke atas manmana peguam),” kata beliau.
“Kita memandang serius terhadap perkara ini dan memandang serius terhadap semua ahli peguam yang melakukan kesalahan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna Parlimen hari ini.
Abu Zahar berkata sebagai pengamal guaman setiap peguam perlu menjalankan tugas dengan penuh kredibiliti dan tidak mencemarkan imej Majlis Peguam.
“Saya tidak menyangka apa yang berlaku dan setiap ahli peguam perlu faham tindakan bakal dikenakan ke atas mereka jika disabitkan salah,” katanya tegas.
Selain itu beliau berkata, undang-undang di negara ini jelas dan tidak boleh diperkotak-katikkan untuk kepentingan individu.
Semalam Pengerusi Pekida, Shahril Abdul Aziz bersama anggotanya menyalahkan Majlis Peguam yang didakwanya gagal membersihkan peguam-peguam bermasalah.
Mereka juga membakar kain rentang mengecam Majlis Peguam. Noorhisham Mohamed, seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.
Semalam, polis memperoleh perintah tahanan reman ke atas dua peguam adik-beradik yang merupakan suspek kes bunuh mereka.
Sepatutnya Majlis Peguam mengambil langkah-langkah lebih tepat dengan mengeluarkan peguam bermasalah dengan membuat penyataan terbuka dalam media ataupun memperkenalkan kad kuasa yang mesti diperbaharui setiap tahun sebelum mereka mahu menjalankan perniagaan mereka, kata Shahril.
Shahril mencadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat majlis berkenaan.
Dijangkakan semua suspek akan dibicarakan dalam masa terdekat ekoran terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar ketika dihubungi berkata, Majlis Peguam sebelum ini sudah mengambil tindakan terhadap ramai ahli peguam, malah suspek pembunuhan kejam itu juga telah dipecat oleh badan peguam tersebut.
“Majlis Peguam sudah ambil tindakan pada tahun lepas memecat mereka, sudah ada tindakan daripada Majlis Peguam terhadap ahli peguam yang bermasalah.
“Untuk melakukan dan pemantauan 24 jam sehari terhadap semua ahli Majlis Peguam, memang susah sedikit kerana kita tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka setiap minit dan tidak menjangka apa yang dilakukan dan terjadi kemudiannya,” katanya.
Bagaimanapun beliau meminta Majlis Peguam melipatgandakan pendidikan akhlak, moral serta spritual kepada semua ahli peguam secara lebih kerap bagi mengelak perkara jenayah dilakukan dalam kalangan peguam.
Zainul berpendapat tindakan Pekida yang membakar kain rentang itu merupakan tindakan ekspresi mereka yang tidak boleh dilarang.
Beliau berkata selagi tunjuk perasaan itu tidak mengganggu keamanan negara, ia dibolehkan.
“Kalau Pekida hendak membakar kain rentang ke, logo peguam ke, semuanya adalah tindakan ekspresi mereka dan mereka berhak menunjuk perasaan selagi keamanan terjaga,” katanya.
Kelmarin, Majlis Peguam meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam menyeleweng dan terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.
Presidennya, K Ragunath berkata setiap tahun, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam dan laporan polis terhadap mereka juga telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.
Ketika dihubungi hari ini, Ragunanth berkata pihak akan mengadakan sidang media mengenai isu tersebut.
19 September 2010
Pekida Diminta Jangan Jadi Bodoh
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
2 Komen :
Bukan Pekida saja bodoh. Ali Rustam pun sama. Nasib baik orang-orang Melayu/UMNO tidak sebodoh Ali Rustam atau tidak sebodoh sepertimana yang disangkakan oleh Ali Rustam. Kalau tahap pemikiran macam itu menjadi Timbalan Presiden UMNO/Timbalan Perdana Menteri, alamat jahanam dan kalut lah lah negara tercinta ini.
Belum lagi selamat....mungkin suatu hari nanti jika umno terus memerintah tak mustahil orang-orang bodoh dan bengong ini akan menjadi PM , TPM ,NP dan MP.
Alamat celakalah negara ini lagi.Sekarang inipun dah macam cacamarba dah!!
Post a Comment