S. Vell Paari yang merupakan anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menuduh UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Sambil merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan satu tindakan yang berbahaya.
''Adalah sesuatu yang berbahaya jika 'orang luar' terlibat (dalam urusan parti komponen). Lupakan dahulu bahawa bapa saya adalah Presiden MIC dan lihat isu ini dari perspektif demokrasi. Beliau dipilih oleh ketua-ketua bahagian.
''Jadi, apabila ada pemimpin yang tidak setuju dengan kuasa yang diberikan itu, adakah mereka menggunakan 'pembunuh politik' untuk menjatuhkan beliau?
''Apabila anda tidak gembira (dengan keadaan itu) anda gunakan orang dalam parti untuk melakukan perkara itu. Ia melemahkan asas demokrasi dan semangat BN serta keputusan ahli-ahli parti berhubung pemimpin yang mereka pilih,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today di sini hari ini.
Pada minggu lepas, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.
Pelancaran GAS dijangka dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat sama mendesak Presiden MIC itu segera meletak jawatan.
Vell Paari turut mempersoalkan adakah benar tindakan masyarakat Cina dan India tidak memilih BN dalam pilihan raya umum lalu disebabkan kepimpinan MIC dan MCA.
''Ia tiada kena-mengena dengan soal kepimpinan dua parti ini (MIC dan MCA). Ketidaksamarataan yang berlaku hari ini merupakan penyebab kepada perkara itu,'' katanya.
Dengan menggunakan metafora BN sebagai sebuah bas, Vell Paari berkata, parti-parti komponen hanya penumpang dalam bas yang dipandu oleh UMNO itu.
''Parti-parti komponen hanya penumpang. Bas itu dipandu oleh UMNO,'' katanya yang membayangkan tindak-tanduk dan polisi UMNO menjadi punca masalah berkenaan.
Beliau turut mendakwa antara sebab utama BN kehilangan undi kaum India pada pilihan raya umum lepas adalah berikutan tindakan meruntuh kuil, isu menarik kembali lesen pengedar besi buruk dan penahanan pemimpin Hindraf.
Menurutnya, semua perkara itu bukan dilakukan oleh bapanya, namun Presiden MIC tersebut dipersalahkan atas kehilangan sokongan kaum India untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.
Beliau menyeru semua ahli MIC dan masyarakat India supaya 'membuka mata' mereka terhadap perkara berkenaan kerana jika dibiarkan pada masa hadapan pemimpin parti-parti komponen akan menjadi 'kad menu' UMNO yang akan menentukan siapa yang patut menjadi presiden, timbalan presiden dan sebagainya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Timbalan Presiden, G. Palanivel akan mengambil alih jawatan presiden daripada Samy Vellu apabila bapanya meletak jawatan nanti.
25 May 2010
Umno Punca Samy Ditolak Orang India - Anak Samy
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
1 Komen :
Woi pemimpin Pakatan Rakyat.. Dok nganga apa lagi..Bila musuh dengan musuh bergaduh, jangan tunggu lagi. Pakat2 curah minyak petrol kasi panas.. kasi hancur.. Takkan macam itupun nak kena ajar? kahkahkah..
Post a Comment