BlogList Malaysia

27 March 2010

Mahathir - Malaysia Tiada Pertumbuhan

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara tidak mengalami pertumbuhan ekonomi sama sekali sejak beliau meninggalkan tampuk kepimpinan kerajaan manakala rakyat pelbagai kaum pula asyik mempersalahkan satu sama lain.

Sehubungan itu kata beliau, debat umum mengenai isu-isu perkaumam hanya akan menjejaskan kestabilan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Malah beliau juga meminta rakyat memilih antara kebebasan bersuara dan kestabilan ekonomi negara.

“Saya bimbang kerana sepanjang lima, enam tahun lalu, anda tidak melihat pertumbuhan negara sama sekali.

“Pada masa yang sama anda boleh melihat tuduhan (satu sama lain) di kalangan pelbagai kaum. Orang Melayu menuduh orang Cina, orang Cina menuduh orang India dan orang India menuduh orang Melayu,” kata Dr Mahathir yang bersara pada akhir 2003 selepas 22 tahun mengetuai kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang pertama di sini hari ini, Dr Mahathir berkata situasi seumpama itu tidak pernah wujud sebelum ini.

“Sebelum ini tiada bangkangan seperti ini kerana rakyat hidup dengan baik dan gembira. Kerajaan juga melakukan segala apa yang terdaya dan sudah pasti kita tidak sempurna tetapi orang ramai gembira.

“Jika rakyat tidak gembira, maka sudah tentu mereka telah mencetuskan banyak masalah,” kata bekas presiden Umno ini.

“Malah tiada persoalan siapa dapat apa dan berapa banyak.

“Dan jika ada pertikaian, kita akan menyelesaikan (dengan baik) di sebalik tabir kerana jika anda bertindak secara terbuka ia akan mencetuskan emosi dan ia adalah tidak baik,” kata pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan sejak negara merdeka..

Malah Dr Mahathir juga menyalahkan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi atas ketegangan hubungan kaum yang wujud sekarang.


“Apabila saya meletakkan jawatan, nampaknya kerajaan baru Abdullah mahu lebih banyak kebebasan (diberikan) dan ini kerana rakyat mahukan lebih banyak kebebasan untuk membincangkan isu-isu sensitif tetapi anda boleh lihat pada hari ini hubungan dengan pelbagai kaum lebih buruk berbanding zaman saya,” katanya.

Oleh itu kata beliau, rakyat Malaysia mesti memutuskan antara kebebasan bersuara dan kestabilan ekonomi.

“Jika anda mahu kestabilan dan pertumbuhan di negara ini, maka adalah lebih baik menangani ini sebagai isu sensitif tetapi anda merasakan bahawa anda mahukan kebebasan seperti di beberapa negara, maka anda tidak mengalami pertumbuhan kerana mereka bebas dan situasi di negara itu sentiasa tidak stabil,” katanya lagi.

Dr Mahathir menjelaskan, debat awam akan menyumbang kepada kebencian dan kemarahan kaum.

“Jika ada debat awam mengenai isu perkauman sudah tentu anda akan mempertahankan kaum anda. Pihak lain akan mempertahankan kaum lain dan kadangkala mereka tidak terikat dengan fakta.

“Mereka akan mengatakan perkara-perkara yang boleh menyebabkan emosi, kemarahan dan kebencian yang akan menjejaskan kestabilan negara,” katanya.

Beliau juga menyindir kepimpinan Abdullah yang hanya menyediakan koridor ekonomi tetapi bukannya pertumbuhan ekonomi sepanjang kepimpinan beliau dari 2003 hingga 2009.

Dengan merujuk kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang yang akan genap setahun 3 April iin, beliau berkata situasi sekarang adalah lebih baik berbanding zaman Abdullah.

“Ketika zaman Pak Lah, saya tidak boleh bercakap langsung. Saya tidak dijemput oleh sesiapa pun.

“Beliau lebih liberal dan demokratik tetapi orang ramai tidak boleh bercakap dengan saya,” katanya.

Bagaimanapun Najib lebih baik kerana memberikan “saya kesemua peluang untuk bercakap.”

“Najib mempunyai idea (untuk negara),” katanya lagi.

Mengenai harapan tentang kepimpinan Najib sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata, “harapan saya Datuk Seri Najib adalah lebih baik daripada penggantinya, Tuan Corridor. Ada banyak koridor tetapi adakah anda boleh melihat apa-apa di koridor berkenaan?

“Akhbar harus membuat laporan mengenai kesemua koridor ini yang diadakan sepanjang lima tahun lalu, apa yang telah dilakukan,” katanya.

2 Komen :

azman kamarul March 27, 2010 at 11:15 PM  

dAH-DAH LAH TU MAHATHIR OIII...CUKUP MENYATAKAN ORANG TU SALAH ORANG INI BETUL.....BAWA-BAWALAH BEREHAT...WAK TU DAH TUA DAH!!!

wan zakreen March 28, 2010 at 7:00 PM  

tua masih mantap fikiran kita dengar..kalau muda tapi lemah fikiran buat apa..tuamuda bukan ukuran cerdikpandai..

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas