Pengumuman pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.5 peratus bagi suku terakhir 2009 merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh kerajaan kerana ia merupakan hasil suntikan ransangan ekonomi, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, pengumuman oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga dibuat terlalu awal memandangkan kesan daripada pakej ransangan ekonomi itu hanyalah reaksi sementara dan tidak dapat dilakukan secara berterusan.
"Oleh sebab itu, saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius.
"Saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba," katanya lagi dalam kenyataan medianya hari ini.
Najib pada Rabu lalu mengumumkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lalu yang disifatkannya sebagai pencapaian di luar jangkaan, hasil permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh.
'Malaysia paling lembap di rantau ini'
Namun, menurut Anwar, pengumuman itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan paling lembap di kalangan negara-negara serantau pada tahun ini.
"Apa yang tidak diuar-uarkan oleh Perdana Menteri di sebalik anggaran pertumbuhan 5 peratus itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina, malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak," katanya.
Tambahnya lagi, ini merupakan perbezaan ketara berbanding pencapaian sebelum ini yang meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura.
"Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi.
"Walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih. Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar 2 kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50 peratus lebih pesat dari Malaysia," katanya.
Tambahnya, keadaan ini timbul hasil daripada dasar ekonomi BN dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menutup kegagalan menarik pelaburan individu dan swasta.
"Kalau sebelumnya di antara tahun 1991 hingga 1997 pelaburan individu dan swasta meningkat setiap tahun pada kadar 16.2 peratus, selepas 1998 hinggalah kini kadar ini hanya menokok 1 peratus secara purata sejak 11 tahun lepas.
"Mengambil kira kesan inflasi, maknanya di antara tahun 2005 sehingga 2008, pelaburan individu dan swasta kekal tidak berkembang pada tahap RM20.3 billion setiap tahun.
"Jumlah ini adalah lebih rendah dari jumlah pelaburan individu dan swasta semasa saya mula-mula menjadi Menteri Kewangan dalam tahun 1991, iaitu hampir 20 tahun lalu," katanya lagi.
Israel akhirnya mengaku bunuh Ismail Haniyeh
6 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment